Rabu, 26 Oktober 2016

PENDERAAN KANAK-KANAK

Penderaan Kanak-Kanak

Pengenalan
Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup sihat dan bebas dari keganasan. Setiap tahun, sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan menjadi mangsa penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Penderaan kanak-kanak adalah masalah global yang besar. Ia memberi impak serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak, kesejahteraan dan perkembangan sepanjang kehidupan mereka, dengan itu ia menjadi masalah masyarakat secara amnya. Mitos dan Realiti Penderaan Kanak-kanak

Apakah Penderaan Kanak-kanak?
Penderaan Kanak-kanak merujuk kepada penderaan secara fizikal dan emosi, penderaan seksual, kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak, termasuk sebarang bentuk eksploitasi atau komersial
  • Merangkumi semua jenis penderaan fizikal dan/atau emosi, penderaan seksual, pengabaian atau kelalaian atau eksploitasi komersial atau lain-lain eksploitasi, yang boleh atau telah menyebabkan kerosakan, kepada kesihatan kanak-kanak, dari segi ‘survival’, perkembangan atau harga diri. Ini adalah dalam konteks di mana pendera ada perhubungan tanggungjawab, kuasa atas kanak-kanak berkenaan atau pendera ialah seseorang yang dipercayai oleh kanak-kanak – WHO Pasukan Pencegah dan Kecederaan Keganasan,1999.
  • Penderaan Kanak-kanak secara amnya dibahagikan kepada empat jenis penderaan termasuk :
    • Penderaan fizikal
    • Penderaan seksual
    • Penderaan emosi
    • Pengabaian
Jenis-jenis Penderaan Kanak-kanak
  1. Penderaan fizikal
    • Kecederaan fizikal (dari kecederaan ringan sehingga kecederaan teruk seperti patah atau kematian)
      • Disebabkan oleh tumbukan, tamparan, sepakan, gigitan, goncangan, campakkan, tikaman, tercekik, pukulan (menggunakan tangan, kayu, atau sebarang objek) ,atau apa-apa yang mencederakan kanak-kanak.
      • Dikenal pasti sebagai penderaan tidak kira sama ada penjaga berniat untuk mencederakan kanak-kanak atau tidak.
    • Tiada selalunya ada niat untuk menyakitkan atau menyebabkan kecederaan
      • Ia mungkin disebabkan dari tujuan untuk mendisiplinkan yang berlebihan atau hukuman fizikal
      • Gangguan dari tangisan bayi dan ketidakupayaan untuk mengendalikannya
    • Buli, dan “shaken baby syndrome” adalah sejenis penderaan fizikal
  1. Penderaan Seksual
    • Sebarang aktiviti yang bermaksud untuk mendapat kepuasan dan memenuhi kehendak orang dewasa atau kanak-kanak remaja di mana mengikut umur atau perkembangan boleh mengambil tanggungjawab dan dipercayai. Ini termasuk:
      • Mempengaruhi atau memaksa kanak-kanak dalam aktiviti seksual yang bertentangan dengan undang-undang.
      • Ini termasuk eksploitasi komersial melalui pelacuran atau penghasilan gambar lucah
    • Setiap kanak-kanak berhak mempunyai seorang dewasa yang dapat menyayangi dan menyokong mereka untuk membesar
  1. Penderaan emosi
    • Biasanya sukar untuk dibuktikan
    • Biasanya berlaku apabila penderaan jenis lain dikenal pasti:
      • Pelbagai cara memperkecilkan seseorang (termasuk kaki buli di sekolah)
      • Tabiat suka mengenakan orang lain
      • Memperkecil dan memalukan
      • Menolak perawatan
      • Mengurung kanak-kanak di dalam almari gelap
  1. Pengabaian
    • Pengabaian berlaku apabila kanak-kanak menginap dirumah di mana orang dewasa tidak memberi keperluan asas
      • Fizikal – (contohnya, kegagalan untuk menyediakan keperluan seperti makanan, tempat perlindungan, atau kekurangan pengawasan yang teliti)
      • Perubatan – (contohnya, kegagalan untuk memberi rawatan atau perawatan kesihatan mental)
      • Pendidikan dan penyeliaan – (contohnya, kegagalan untuk memberi pendidikan atau menawarkan perkhidmatan khas)
      • Emosi
        • Kurang perhatian terhadap keperluan emosi kanak-kanak
        • Kegagalan untuk menyediakan penjagaan psikologi
        • Membenarkan kanak-kanak untuk minum alkohol atau menggunakan dadah
      • Diambil kira nilai budaya, piawaian penjagaan dan tahap kemiskinan sebelum kes dilaporkan sebagai kes pengabaian.
Apakah ukuran permasalahan ini di Malaysia?
  • Penderaan kanak-kanak berlaku di mana-mana termasuk di Malaysia, bagaimanapun ianya masih kurang dilaporkan sama seperti mana-mana bahagian lain di dunia. Kes yang dilaporkan ini hanyalah sebahagian kecil berbanding dengan kes-kes penderaan yang tidak dilaporkan. Seterusnya sila lihat perbezaan dalam bilangan kes yang dilaporkan mengikut negeri ( lihat jadual di bawah), yang mana mungkin menunjukkan insiden penderaan dalam negeri yang sebenar dengan bilangan yang tinggi atau kadar laporan kes yang tinggi atau jumlah populasi dalam negeri yang tinggi.




Shaken Baby Syndrome


Definisi
Selain daripada kecederaan kepala yang teruk disebabkan oleh kemalangan jalan raya, 95% adalah disebabkan oleh penderaan kanak-kanak yang berusia 1 tahun. Pendarahan yang berlaku di bahagian lapisan luar otak kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah dipanggil “subdural haemorrhage”. Pendarahan subdural berserta dengan keretakan tulang dada (ribs) dan pendarahan dalam mata dipanggil ‘Shaken Baby Syndrome’.
Sebab-sebab
  • Goncangan yang kuat berulang kali adalah penyebab kepada keadaan “Shaken Baby Syndrome”, penyebab ini telah diterima pakai buat masa sekarang. Oleh kerana kanak-kanak mempunyai kawalan leher yang lemah disertai dengan tekanan yang kuat, keadaan ini boleh menyebabkan kecederaan. Goncangan yang kuat terhadap bahagian lembut tengkorak dan otak boleh menyebabkan tekanan kepada saluran darah dan ianya akan pecah menyebabkan perdarahan subdural. Pada ketika ini, keadaan kanak-kanak yang mengalami “Shaken Baby Syndrome” disebabkan oleh goncangan yang kuat dan berulang, lalu mengalami kecederaan akibat dari goncangan tersebut.
  • Kesan Kecederaan – apabila kanak-kanak di campak dengan kuat ke dinding, ke lantai atau pada objek lain atau terkena kepada kepala/muka.
  • Keadaan ini biasanya terjadi apabila ibu bapa atau penjaga tidak tahu berbuat apa-apa terhadap bayi yang menangis berterusan sehingga kehendak/keperluan mereka dipenuhi. Ini menyebabkan ibu bapa atau penjaga menjadi bosan dan tidak sabar semasa menjaga bayi tersebut. Ibu bapa atau pun penjaga dengan tidak secara sedar akan menggoncang bayi tersebut dengan kuat beberapa ketika atau pun menampar bayi tersebut dalam usaha untuk membuatkan bayi tersebut berhenti menangis. Terdapat beberapa kejadian di mana penjaga menggoncang buaian anak dengan kuat menyebabkan bayi terjatuh keluar daripada buaian.
Epidemiologi
Terdapat 20-30 bayi “Shaken Baby Syndrome” dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Ini mewakili sebahagian kecil sahaja sedangkan sebahagian mungkin kanak-kanak mati di rumah atau sebelum ianya dirujuk di hospital lain. Lain-lain bayi berkemungkinan juga mempunyai “Shaken Baby Syndrome” yang ringan dan dirawat disebabkan oleh keadaan resah gelisah, muntah-muntah yang diklasifikasikan sebagai “infantile colic”.
Tanda-tanda dan gejala
Bayi yang dimasukkan ke hospital biasanya memberi sejarah seperti berikut ;-
  • kurang menyusu, muntah-muntah, demam yang rendah dan kemudian diikuti dengan sawan.
  • keadaan resah gelisah yang akut, muntah-muntah, sawan, kurang tindak balas, tidak sedarkan diri (koma) dan pernafasan yang tidak sekata.
Kebanyakan bayi-bayi ini kelihatan sihat, tiada keretakan di tengkorak dan tiada lebam-lebam di badan. Lain-lain tanda di badan adalah ;
  • kanak-kanak ini selalunya kelihatan pucat
  • 75-90% bayi mengalami perdarahan di dalam lapisan mata “retinal haemorrhage”
  • vitreous haemorrhage (bleeding in the vitreous part of the eye)
  • Retakan-retakan di tulang dada (disebabkan oleh tekanan di dada)
  • Retakan tulang tengkorak (kesan daripada kecederaan)
Kesan/Akibat
Akibat daripada keadaan ini adalah bergantung kepada keterukan goncangan yang dilakukan kepada kanak-kanak tersebut. Oleh kerana otak bayi ini sangat sensitif dan mudah lebam, dengan itu kecederaan daripada goncangan yang kuat dan kekurangan bekalan darah kepada otak semasa kanak-kanak mengalami sawan yang berpanjangan, berkemungkinan besar boleh menyebabkan kematian, kesukaran untuk belajar atau fungsi motor berkurangan. Akibatnya akan menjadi lebih teruk lagi sekiranya kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri (unconscious).
Pencegahan
“Shaken Baby Syndrome” boleh dicegah daripada berlaku. Sekiranya ibu bapa atau penjaga merasa tertekan atau kecewa dengan bayi mereka. INGAT! JANGAN sekali-kali anak anda tersebut digoncang. Sekiranya anak anda menangis dengan tidak berhenti-henti, dan anda dalam keadaan kebingungan, dapatkan bantuan dengan;
  • Tempatkan bayi anda di tempat yang selamat seperti di atas katil bayi yang mempunyai pengadang di kedua-dua belah, atau di bilik permainan, dan pastikan bayi dalam keadaan selesa. Tinggalkan bayi sebentar dan tenangkan fikiran anda.
  • Dapatkan bantuan daripada kawan ataupun saudara-mara untuk menjaga bayi tersebut buat sementara waktu, ataupun membantu anda dalam kerja-kerja di rumah atau menjaga anak-anak anda yang lain.
Ibu bapa atau penjaga seharusnya tidak merasa bersalah kerana tidak dapat memujuk bayi mereka supaya berhenti daripada menangis setelah beberapa kali mencuba. Kajian telah menunjukkan bahawa keadaan bayi menangis yang berterusan ini adalah perkara biasa terutama yang berumur 6-8 minggu. Ini dikenali sebagai ” PURPLE cry
  • P : Peaks around two months.
  • U : Unpredictable, often happening for no apparent reason.
  • R : Resistant to soothing.
  • P : Pain-like expression on the baby’s face, even without any source of pain.
  • L : Long bouts, lasting 30 to 40 minutes or more.
  • E : Evening crying is common – what many parents know as the “witching hour” is now a scientifically proven fact
Bayi tidak akan mati disebabkan oleh menangis yang berpanjangan tetapi berkemungkinan mati disebabkan oleh goncangan.
Bayi anda janganlah dilambung ke atas atau diayun semasa anda bermain dengan mereka.

Rawatan
Bagi bayi yang mengalami “Shaken Baby Syndrome” mereka ini memerlukan rawatan perubatan yang berterusan untuk memastikan kemajuan perkembangan dan tumbesaran bayi tersebut. Begitu juga dengan rawatan penyakit sawan atau sawan babi (epilepsy), fisioterapi dan ‘occupational therapy’ untuk cerebral palsy. Hanya peratusan yang kecil di kalangan bayi dapat disembuhkan kerana otak mereka hanya mengalami sedikit pembengkakan dan kecederaan semasa kejadian.

Kumpulan Sokongan
Bayi boleh dibawa ke klinik atau hospital. Anda boleh membuat permohonan untuk memasukkan anak anda ke hospital sekiranya anda tidak dapat menjaga anak anda di rumah.



Penderaan Fizikal

Definisi
Penderaan fizikal kanak-kanak, juga dikenali sebagai kecederaan tidak sengaja atau dipukul/dera. Keadaan ini berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari perlakuan (atau pengabaian) ibu bapa, penjaga atau mereka yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak.
Di bawah undang-undang Malaysia, seperti mana terdapat di dalam akta kanak-kanak 2001, seorang kanak-kanak dikira sebagai mengalami kecederaan fizikal jika terdapat tanda-tanda kecederaan yang boleh dilihat di tubuh kanak-kanak dan kecederaan ini bukan disebabkan oleh kemalangan dan terdapat bukti seperti luka, calar, melecet, berparut, patah atau kecederaan tulang, terseliuh, pendarahan, luka di kulit, kebakaran, melecur, hilang kewarasan atau hilang fungsi psiko logikal atau kehilangan rambut dan gigi. (Akta kanak-kanak 2001 seksyen 17 (2)(a) )
Dalam definisi ini, memukul kanak-kanak tidak dikira sebagai penderaan fizikal kecuali terdapat kecederaan. Walau bagaimanapun, menggunakan disiplin fizikal tanpa penjelasan dan garis panduan tingkah laku akan mengakibatkan peningkatan kanak-kanak yang hiperaktif dan agresif. Beberapa negara di Eropah telah meluluskan undang-undang melarang hukuman fizikal oleh ibu bapa ke atas kanak-kanak. Di Malaysia, hukuman sebat masih dibenarkan di sekolah.

Hukuman fizikal (rotan)
Kebanyakan ibu bapa merasakan anak mereka perlu dirotan atau merasa kesakitan bagi tujuan mendisiplinkan mereka. ‘Simpan rotan dan manjakan anak’ adalah pepatah yang biasa digunakan oleh ibu bapa atau pengasuh kanak-kanak. Kajian terus menunjukkan memukul kanak-kanak masih diamalkan oleh ibu bapa di semua peringkat sosial, melibatkan kanak-kanak di semua peringkat umur (Newson & Newson 1986, SCAN Data). Kebanyakan kanak-kanak menerima hukuman yang ringan bagi tujuan disiplin fizikal seperti tamparan atau ditarik telinga. Walau bagaimanapun, kebanyakan tamparan atau pukulan adalah disebabkan ibu bapa atau penjaga merasa sakit hati atau kemarahan yang tidak terkawal. Walaupun terdapat perbezaan di antara hukuman fizikal dan penderaan fizikal, kebanyakan ibu bapa yang mendera anak mereka bermula dengan niat untuk menjalankan hukuman fizikal. Bagaimanapun, kecederaan adalah disebabkan oleh kehilangan kawalan ibu bapa.

Epidemiologi
Dari tahun 1999 hingga 2006, kes penderaan fizikal yang dilaporkan kepada Jabatan kebajikan Masyarakat adalah lebih kurang 100 setahun. Di United Kingdom, 1-2% kanak-kanak telah mengalami penderaan fizikal ketika peringkat kanak-kanak lagi. Lebih 3 juta orang dewasa (1 daripada setiap 12 orang dewasa) menyatakan bahawa mereka telah kerap kali atau kadangkala mempunyai tanda lebam akibat penderaan fizikal semasa kanak-kanak dan 9% dari mereka menderitai kesan jangka panjang.
Jumlah kes yang dikendalikan oleh jabatan bergantung kepada jumlah kes yang di laporkan. Laporan kes penderaan fizikal bergantung kepada persepsi seseorang sama ada ia adalah disiplin fizikal atau penderaan, kurang kesedaran tentang bahaya kepada kanak-kanak atau tidak peduli.
Daripada 1660 kes penderaan fizikal yang menerima rawatan di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur daripada tahun 1985-2006, 42% daripada pendera adalah ibu bapa sendiri. Bapa merupakan 22% daripada jumlah pendera dan 16% pendera adalah di kalangan ahli keluarga.
Cara mengenal pasti penderaan fizikal

Aduan terus
Aduan dari kanak-kanak itu sendiri, ibu bapa atau orang yang prihatin

Kecederaan yang boleh dilihat
Kesan dari kecederaan tersebut, ibu bapa biasanya akan membawa anak-anak mereka ke hospital, klinik kesihatan atau pengamal perubatan am.

Kecederaan yang dilihat secara kebetulan
Kecederaan seperti bengkak, benjol atau lebam di kesan oleh guru atau pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak. Biasanya ibu bapa akan menafikan kecederaan, menunjukkan rasa tidak puas hati atau memberi penjelasan yang tidak jelas. Guru-guru dan pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak dimestikan membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika mengesyaki penderaan fizikal.
Apabila seorang kanak-kanak diperiksa untuk kecederaan yang berlaku, kadang-kala tidak terdapat tanda kecederaan fizikal yang jelas, terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah umur kerana mereka tidak boleh bercakap atau takut untuk bersuara.
Kemungkinan ia adalah penderaan fizikal jika:
  • Terdapat kesan bakar, bengkak, patah atau lebam di mata
  • Terdapat kesan bengkak atau tanda yang kelihatan terutama selepas tidak hadir sekolah
  • Takut kepada ibu bapa dan memberontak atau menangis apabila tiba masa pulang ke rumah
  • Merasa takut bila dirapati oleh golongan dewasa
  • Laporan kecederaan oleh ibu bapa atau penjaga
Kemungkinan ia adalah penderaan fizikal jika ibu bapa atau penjaga:
  • Memberi penjelasan yang berbeza, tidak meyakinkan atau tiada penjelasan mengenai kecederaan anak mereka
  • Menjelaskan bahawa anak mereka nakal atau sukar dikawal
  • Mengamalkan disiplin fizikal yang tegas/ keras
  • Mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol dan keganasan rumah tangga
  • Sering mendapat rawatan di hospital atau klinik kesihatan
  • Kurang rasa tanggungjawab terhadap keperluan emosi kanak-kanak
Kecederaan Penderaan Fizikal

Kesan lebam:
Bengkak, benjol atau lebam adalah tanda utama yang kelihatan jika kanak-kanak didera. Corak yang tipikal dalam kes penderaan adalah tanda lebam yang dapat dilihat di beberapa bahagian tubuh kanak-kanak, selalunya berbeza-beza saiz dan bentuk serta tempoh. Terjatuh dari tangga tidak akan menunjukkan tanda-tanda seperti ini. Penderaan fizikal perlu diambil kira jika terdapat bengkak dikalangan bayi yang masih tidak boleh bergerak aktif.
Kesan bengkak, benjol atau lebam di bahagian muka, telinga, paha, punggung dan di belakang selalunya berkaitan dengan penderaan fizikal.
Bagi kanak-kanak yang sering mengalami bengkak selepas terhantuk, doktor biasanya akan membuat pemeriksaan bagi mengesan masalah pembekuan darah jika mereka tidak mempunyai rekod penderaan fizikal. Kadang-kala tanda lebam menyerupai peralatan yang digunakan seperti tali pinggang dan rotan dalam kes sebegini, kecederaan bukan disebabkan kemalangan (non-accidental injury).

Patah tulang:
Patah tulang biasanya melibatkan penderaan yang lebih teruk dan merupakan kecederaan yang serius. Patah tulang boleh berlaku di semua bahagian badan, mungkin hanya satu atau lebih daripada satu tulang yang patah dengan umur kecederaan yang berbeza-beza. Mungkin juga tidak terdapat tanda luaran semasa patah dan hanya dapat dikesan melalui imbasan X-ray jika patah itu telah lama berlaku.
Bagi kes penderaan kanak-kanak, kebanyakan patah tulang berlaku di kalangan mereka yang berusia di bawah tiga tahun. Untuk kanak-kanak yang tidak mengalami penderaan, kajian telah menunjukkan bahawa 85% daripada yang mengalami patah tulang berlaku selepas umur 5 tahun.
Bagi penderaan fizikal, patah tulang biasanya berlaku di bahagian tulang rusuk dan tulang selangka, di kalangan kanak-kanak berusia di bawah dua tahun, biasanya di tulang panjang.
Keretakan di tempurung kepala di kalangan kanak-kanak boleh terjadi akibat terjatuh jarang berlaku dan mereka biasanya sihat/tidak sakit. Ini dibandingkan dengan kes penderaan di mana terdapat pendarahan di dalam otak, kanak-kanak tidak sihat dan boleh mengakibatkan kematian. Ini adalah kerana penderaan melibatkan hentakan yang lebih kuat berbanding dengan kes kecederaan yang tidak disengajakan.

Terbakar dan melecur:
Kecederaan akibat terbakar dan melecur biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak dan disebabkan kecuaian ibu bapa di mana kanak-kanak diberi perhatian yang kurang atau diabaikan. Kesan lecur yang dilakukan oleh orang dewasa ke atas kanak-kanak biasanya telah dirancang terlebih dahulu contohnya lecuran dalam bentuk seperti seterika. Kanak-kanak yang telah di dera dengan cara begini biasanya akan mengalami ketakutan dan mempunyai masalah untuk menceritakan apa yang telah berlaku ke atas mereka.
Kesan bakar perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan jangkitan dan parut. Kanak-kanak yang mengalami kecederaan sebegini perlu diberi perlindungan. Ahli keluarga juga mungkin perlu diberi pertolongan.
Terdapat pelbagai jenis kecederaan akibat terbakar ataupun melecur seperti ‘contact burns’ (kecederaan yang sama bentuk dengan objek yang diguna seperti seterika), terbakar akibat puntung rokok, terbakar akibat tercelup dalam air panas dan kecederaan akibat terbakar dengan api (pemetik api).


Kecederaan abdomen:
Sesetengah kanak-kanak di tumbuk di bahagian abdomen seperti di perut. Ini boleh menyebabkan kecederaan organ dalaman yang penting seperti hati, pankreas dan usus. Biasanya tiada tanda luaran di bahagian abdomen. Kanak-kanak ini mungkin akan muntah dan bahagian abdomen akan kelihatan kembung serta kelihatan tidak sihat. Kanak-kanak ini perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan dengan segara. Rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa.
Kesan/akibat
Antara akibat penderaan fizikal atau emosi ialah:
  • Sikap hiperaktif, agresif, panas baran dan mudah terangsang menjadi perbuatan ganas/kasar.
  • Tidak boleh faham perasaan orang lain.
  • Masalah emosi seperti buli atau ponteng sekolah.
  • Menyalahkan orang lain.
  • Lemah dalam perhubungan sesama sendiri, akademik dan juga pekerjaan.


Pencegahan

Bagaimana untuk mengelakkan penderaan kanak-kanak?
Cara mengelakkan penderaan – nasihat untuk ibu bapa
  • Berhati-hati apabila memilih/mengambil pengasuh kanak-kanak atau penjaga.
  • Pastikan anda tahu nama penuh mereka dan sekiranya perlu, minta rujukan yang perlu
  • Pilih pusat penjagaan kanak-kanak yang didaftar dengan penjaga yang terlatih
  • Dapatkan orang dewasa lain seperti ahli keluarga anda contohnya nenek atau memasang CCTV sekiranya anda mendapatkan khidmat pembantu rumah
Contoh-contoh cara mendisiplinkan anak anda termasuk;
  • Tekankan cara-cara lain mendisiplinkan anak selain dari menggunakan hukuman fizikal yang melibatkan tekanan fizikal dam emosi. Hukuman “Corporal” menggunakan kawalan luar dan boleh melibatkan penggunaan kuasa dan dominasi dan sama seperti penderaan.
    • Menarik perhatian dan mengubah pandangan
    • Menentukan jangka masa untuk ditenteramkan
    • Menetapkan had peraturan yang sesuai dengan tahap perkembangan dan umur kanak-kanak
    • Penyelesaian masalah
    • Menarik balik kemudahan sementara waktu
  • Sesetengah ibu bapa merotan anak mereka untuk menggalakkan mereka belajar dengan tekun. Sekiranya anak anda tidak mencapai seperti yang diharapkan atau kelihatan lambat dalam pembelajaran dan perkembangan, dapatkan bantuan, anak anda mungkin memerlukan penilaian dari pakar psikologi atau pakar kanak-kanak atau mengalami masalah pembelajaran spesifik seperti Dyslexia.
  • Sekiranya anda mengalami kesulitan dengan bayi anda contohnya tangisan tiada henti dapatkan pertolongan dari perkhidmatan komuniti.
  • Sekiranya anak anda di luar kawalan anda patut dapatkan bantuan.
  • Sesiapa yang mengesyaki penderaan perlu melaporkan segera kepada polis atau Talian Nur hotline.
Bagaimana untuk mencegah berlakunya penderaan seksual kanak-kanak
  • Tingkatkan kesedaran umum berkenaan gangguan/ancaman seksual.
  • Sikap yang positif terhadap mangsa penderaan seksual.
  • Mengajar kanak-kanak berkenaan nilai moral dan sosial dan menghormati orang lain.
  • Elakkan perbezaan peranan antara jantina.
  • Elakkan stigma atau perasaan segan dan malu untuk laporkan gangguan seksual.
  • Apabila kanak-kanak mencapai umur tiga tahun, ibu bapa perlu mula mengajar tentang sentuhan yang baik dan yang tidak dan memberitahu orang dewasa yang sesuai sekiranya mereka tidak selesa dengan sentuhan atau layanan yang diberi terhadap mereka oleh sesiapa pun.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan