Usahawan Sosial – Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia
Pengenalan
Tabung
Kebajikan Perubatan Malaysia (TKPM) adalah di bawah kelolaan Persatuan
Pegawai Pembangunan Masyarakat (Perubatan) Malaysia [PPPM(P)M] atau
lebih dikenali sebagai Persatuan Pegawai Kerja Sosial Perubatan
Malaysia, sebuah persatuan berdaftar di bawah Pendaftaran Pertubuhan
(No. 2452/96 W.P.). TKPM ditubuhkan pada 4 Januari 1997 dan mendapat
taraf pengecualian Cukai Perbendaharaan No.: 01/35/42/51/179-6, 4650.
TKPM diurus oleh Jawatankuasa Tadbir dan pengurusan PPPM(P)M dan
ahli-ahlinya adalah terdiri daripada Pegawai Kerja Sosial Perubatan
(PKSP) di seluruh Malaysia yang kini seramai 325 orang. TKPM diaudit
oleh Juruaudit Bertauliah iaitu Tetuan Al & Partners.
Objektif
Memberi
bantuan segera kepada semua pesakit warganegara malaysia yang miskin
dan layak tanpa mengira kaum, agama dan keturunan yang menerima rawatan
di hospital-hospital kerajaan.
Mengapa Perlunya TKPM?
Kebanyakan
pesakit miskin memerlukan bantuan peralatan perubatan dan bantuan am
seperti kerusi roda, glucometer, blood pressure set, tongkat, lampin
pakai buang, tambang untuk rawatan susulan, makanan/susu khas, keperluan
asas, bantuan kecemasan dan lain-lain.
Signifikan Dan Faedah TKPM
- Bantuan segera dapat diberikan kepada pesakit yang layak
- Dapat membantu pesakit-pesakit dalam situasi krisis dan trauma kerana wang yang dijana disalurkan terus ke hospital yang mempunyai Pegawai Kerja Sosial Perubatan
- Dapat mengurangkan tekanan emosi, anxiety, kemurungan dan beban penderitaan pesakit
- Pesakit boleh discharge segera selepas mendapat bantuan segera (kewangan dan peralatan perubatan)
- Mengurangkan kadar default treatment dan relapse
- Membantu hospital mengurangkan kos membiayai pesakit yang tinggal di wad
- Memudah cara dalam pengurusan kes dan meningkatkan sistem penyampaian bantuan kepada rakyat
Sumber Dana TKPM
- Projek perniagaan di premis hospital-hospital kerajaan dan klinik kesihatan iaitu Hospimart Shoppe (kedai sebaneka), Hospi Corner (Kedai pastri), Hospi Gift (kedai cenderahati), Hospi Café (kafetaria) dan Kedai Kesihatan.
- Sumbangan daripada Baitulmal/Majlis Agama Islam dan Lembaga Zakat Negeri.
- Derma daripada syarikat korporat/swasta dan orang ramai.
Projek penjanaan dan smart partnership
oleh TKPM dan kerajaan di hospital-hospital / klinik kesihatan sangat
menepati dan selaras dengan dasar penjimatan kerajaan iaitu melalui National Blue Ocean Strategy (NBOS), Social Entrepreneurship dan Corporate Social Responsibility (CSR).

Sokongan Sosial kepada Pesakit dan Ahli Keluarga yang Mengalami Kecederaan Saraf Tunjang
Pengenalan
Kecederaan
saraf tunjang adalah berpunca dari tulang belakang yang tercedera
akibat kemalangan atau kecederaan trauma, jangkitan kuman dan penyakit
yang teruk seperti kanser atau tumor yang telah menghimpit saraf
tunjang. Keadaan ini mengakibatkan saraf tunjang bengkak, terluka
ataupun tercedera. Kecederaan seperti ini akan menyebabkan perubahan dan
kecacatan yang kekal kepada pesakit dari segi kekuatan, sensori dan
fungsi anggota di bawah paras kecederaan atau penyakit.
Kecacatan
kekal yang dialami oleh pesakit ini akan meninggalkan kesan yang
mendalam ke atas emosi, sosial dan sosio-ekonomi pesakit dan keluarga
kecederaan saraf tunjang. Sehubungan itu, Pegawai Kerja Sosial Perubatan
sebagai pengurus kes perlulah mengenalpasti keperluan pesakit dan
keluarga serta menilai semula keperluan ini sepanjang proses pemulihan.
Matlamat utama penilaian ini dilakukan mengetahui keperluan emosi dan
sosial pesakit dan keluarga. Hasil penilaian ini, digunakan sebagai alat
untuk membantu pesakit dan keluarga berada dalam keadaan yang bersedia
untuk hidup dan berdepan dengan masyarakat setelah pesakit discaj dari
hospital. Persediaan ini merangkumi memaksimumkan pengetahuan dan
mengenalpasti serta menangani halangan fizikal, ekonomi dan emosi secara
optimum kepada pesakit dan keluarga.
Oleh
yang demikian, pesakit dan keluarga yang mengalami kecederaan saraf
tunjang ini amat memerlukan sokongan sosial untuk menghadapi dan
meneruskan kehidupan mereka di dalam masyarakat.
Ada 4 aspek sokongan sosial yang amat penting untuk pesakit dan keluarga kecederaan saraf tunjang.
1. Sokongan Emosi dan Moral
Kecederaan
yang dialami oleh pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang akan
menyebabkan mereka mengalami pelbagai masalah fisiologi, fizikal, mental
dan emosi. Perubahan hidup dari seorang yang normal kepada kehilangan
kekal yang berlaku ke atas keupayaan fizikal, mental dan psikososial
akan menyebabkan pesakit akan menjadi murung dan menyendiri, hilang
semangat dan malu untuk kembali dan berdepan dengan masyarakat luar.
Jika keadaan ini berterusan, pesakit akan kehilangannya kualiti dan
kuantiti kehidupannya.
Sehubungan
itu, pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang amat memerlukan
sokongan emosi untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. Sokongan ini
termasuklah empati, kebimbangan, penyayang, kasih sayang dan amanah.
Sokongan emosi merupakan satu kaedah adalah penting untuk membantu
mereka mengharungi perubahan total dalam kehidupan.
Sokongan
emosi yang berlaku dalam aspek-aspek yang berbeza dan dalam pelbagai
keadaan dapat mengurangkan tekanan emosi pesakit yang berada dalam
keadaan krisis. Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlu mengadakan satu
sesi khas luahan perasaan bersama pesakit. Sesi ini penting untuk
menggalakkan pesakit berkongsi perasaan dan beroleh kelegaan. Proses ini
dapat membebaskan pesakit dari berada dalam keadaan krisis dan
seterusnya dapat membantu beliau bekerjasama untuk merancang rawatan dan
kehidupan selepas discaj.
Pegawai
Kerja Sosial Perubatan juga perlu memberi sokongan yang mendalam semasa
proses membina emosi dan mental berkenaan dengan kesihatan mental
individu. Membantu pesakit agar mereka dapat menerima dan menyesuaikan
diri dengan keadaan diri yang hilang upaya kekal dengan tabah. Sokongan
ini adalah untuk membantu pesakit dan keluarga untuk meningkatkan
potensi kekuatan beliau dan juga membantu perkembangan beliau dalam
aspek sosial dan dalam keadaan peribadi yang berbeza dari keadaan
sebelum ini.
Perkhidmatan
susulan kes melalui lawatan ke rumah pesakit adalah juga merupakan
sokongan emosi kepada pesakit dan keluarga. Lawatan ke rumah akan
dilakukan bersama – sama ahli pasukan rawatan multidisiplin untuk
sesuatu tempoh masa tertentu bagi sesi penyuntikan semangat pesakit dan
keluarga. Malahan Pegawai Kerja Sosial Perubatan juga boleh melakukan
pemantauan dan mengkaji keperluan pesakit dan keluarga mereka pada masa
yang sama. Penambahbaikan terhadap keperluan pesakit dan keluarga boleh
diambil tindakan selepas sesi ini.
Sokongan
emosi yang diberikan kepada keluarga pesakit dapat menangani ketegangan
dan mendorong semangat dalam keluarga. Pegawai Kerja Sosial Perubatan
juga boleh membantu keluarga dalam memberi sokongan emosi dalam bentuk
yang berbeza kepada pesakit. Ini kerana sokongan emosi daripada keluarga
mempunyai peranan yang lebih tinggi dalam mewujudkan pemulihan
perasaan. Pesakit akan lebih berpuas hati dalam kehidupan mereka jika
melakukan aktiviti-aktiviti harian mereka bersama-sama dengan ahli
keluarga sendiri. Pesakit yang mempunyai kecederaan saraf tunjang, yang
menerima lebih banyak sokongan daripada keluarga, mempunyai kehidupan
yang lebih panjang dan kurang mengalami komplikasi selepas trauma.
Sokongan suami atau isteri dan keluarga berperanan penting dalam
mewujudkan rasa lebih sihat dan peningkatan dalam kualiti hidup pesakit
kecederaan saraf tunjang.
Oleh
yang demikian, Pegawai Kerja Sosial Perubatan perlulah memperkasakan
dan membangkitkan semangat keluarga pesakit agar mereka memainkan
peranan yang penting untuk membina keyakinan dan memulihkan emosi
pesakit. Memberikan cadangan dan panduan kepada mereka tentang apa yang
mereka perlu lakukan sebelum dan selepas pesakit discaj dari wad.
2. Sokongan Keluarga / Kawan-Kawan / Rakan Sekerja / Komuniti
Sokongan
penilaian melibatkan penyaluran maklumat kepada pesakit untuk berikrar,
memberi maklumbalas dan membuat perbandingan sosial. Sumber maklumat
ini datang dari keluarga, kawan-kawan, rakan sekerja atau sumber dalam
masyarakat .
Perubahan
pendapat secara relatif tentang penyakit kecederaan saraf tunjang dalam
kalangan pesakit dan keluarga lebih mudah terjadi dengan berlakunya
perubahan pada kemampuan dalam diri mereka. Pegawai Kerja Sosial
Perubatan perlulah mendorong pesakit untuk menilai pendapat dan
kemampuan mereka sendiri. Semasa sesi ini, pesakit akan didorong untuk
menilai pendapat dan kemampuannya sendiri dengan cara membandingkan
pendapat beliau dengan kemampuan orang lain. Melalui cara ini, pesakit
akan mengetahui bahawa pendapatnya benar atau tidak dan berapa jauh
kemampuan yang dimilikinya. Di samping itu, pesakit juga dapat
menggunakan pendapat dan kemampuan orang lain sebagai ukuran untuk
memotivasikan diri mereka.
Membangkitkan
semangat pesakit untuk membuat satu ikrar dan melafazkan ikrar yang
berkenaan. Ikrar adalah merupakan satu perjanjian pesakit dengan diri
sendiri boleh membangkitkan jiwa yang kental dan bersemangat serta
berkeyakinan untuk mendorong mereka meneruskan kehidupan tanpa berasa
ragu – ragu dengan keadaan fizikal mereka.
3. Sokongan Khidmat Nasihat
Sokongan
ini boleh membantu pesakit dan keluarga untuk bertindakbalas kepada
permintaan peribadi atau keadaan. Antara aktiviti sokongan ini ialah
penyaluran senarai maklumat tentang rakan sebaya masyarakat atau
kumpulan sokongan dan organisasi seperti pertubuhan kebangsaan, kumpulan
sokongan dan pusat-pusat hidup berdikari yang berkaitan dengan
kecederaan saraf tunjang kepada pesakit dan keluarga. Maklumat ini
mungkin membantu pesakit dan keluarga dalam mencari maklumat tambahan,
perkhidmatan dan sokongan yang dapat membantu dalam proses rawatan dan
merancang kehidupan pesakit.
Penyaluran
maklumat tentang pusat rawatan untuk rawatan rehabilitasi pesakit luar
yang berdekatan dengan rumah pesakit sama ada di hospital kerajaan
ataupun swasta kepada pesakit dan keluarga. Sumber maklumat ini boleh
menolong pesakit dan keluarga mencapai perkhidmatan rawatan kesihatan
lebih dengan mudah dan cepat.
Pegawai
Kerja Sosial Perubatan juga boleh menggalakkan pesakit dan keluarga
terlibat dengan kelab sokongan pesakit kecederaan saraf tunjang. Kelab
sokongan ini boleh membantu mereka yang mengalami masalah emosi dari
pelbagai aspek sebab kecederaan saraf tunjang dengan menyediakan tempat
untuk pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang untuk berkongsi
pengalaman dan belajar daripada ahli – ahli kelab yang juga mengalami
penyakit kecederaan saraf tunjang. Aktiviti – aktiviti di dalam kelab
ini juga akan membantu pesakit dan keluarga berkongsi maklumat yang akan
membantu dalam proses rawatan. Misalnya, pesakit dan keluarga boleh
dirujuk kepada Malaysian Spinal Injuries Assosiation, Kiwanis Disability
Information and Support Centre, Persatuan Kecederaan Saraf Tunjang Sibu
dan lain – lain.
Menggalakkan
penyertaan pesakit kecederaan saraf tunjang dalam bengkel – bengkel
khas bagi untuk memberi pendedahan kepada mereka cara untuk menyesuaikan
diri dengan keadaan tersebut supaya mendapat kualiti hidup yang lebih
baik. Bengkel – bengkel ini dapat menjadikan jiwa mereka kuat dan
kental. Pesakit akan dapat menerima dan beradaptasi dengan baik walaupun
pada mulanya begitu sukar untuk menerima kenyataan. Mereka juga akan
didedahkan dengan posisi tidur yang bersesuaian untuk pesakit, sokongan
penjaga dan sahabat amat penting untuk membantu pesakit menjalani
kehidupan biasa dengan kualiti yang optimum. Program tersebut banyak
membantu kehidupan pesakit untuk menjalani kehidupan seharian seperti
insan yang normal.
Sokongan
komuniti dalam talian dalam dan luar negara. Kebanyakan pesakit
kecederaan saraf tunjang yang berhubungan atau berinteraksi dengan orang
lain akan menyediakan sokongan emosi dan inspirasi untuk mereka pada
bila – bila masa mereka memerlukan. Penyertaan pesakit dan keluarga
mereka dalam sokongan komuniti dalam talian juga memudahkan mereka
mendapat kawan dan berkongsi dan memaklumkan tentang keadaan semasa
mereka.
4. Sokongan Bantuan Praktik
Sokongan
Bantuan Praktik adalah bentuk yang paling konkrit langsung dengan
sokongan sosial yang merangkumi bantuan dalam bentuk wang, masa,
barangan bantuan dan campurtangan yang jelas bagi pesakit dan keluarga.
Bantuan
untuk menganalisis dan meneroka bantuan praktikal (material) sesuai dan
berkenaan dengan keperluan pesakit sama ada bantuan daripada agensi
kerajaan ataupun bukan kerajaan. Penerokaan ini penting untuk memastikan
jenis bantuan material yang sesuai diberikan kepada pesakit mengikut
sumber bantuan yang pesakit layak dan sepatutnya perolehi.
Pesakit
yang mempunyai caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang
memenuhi kriteria boleh dirujuk terus ke PERKESO untuk bantuan peralatan
perubatan seperti kerusi roda, commode chair dan roho cushion. Di
samping itu, rujukan untuk mendapatkan pencen ILAT jika caruman pesakit
mencukupi syarat yang telah ditetapkan oleh PERKESO. Pegawai Kerja
Sosial Perubatan perlu menggalakkan pesakit yang masih produktif dan
muda untuk menyertai program Return To Work yang dikendalikan oleh
PERKESO.
Manakala
bagi pesakit yang tidak mempunyai caruman PERKESO akan dirujuk kepada
sumber – sumber bantuan yang lain untuk mendapatkan bantuan peralatan
perubatan yang berkenaan. Di antara sumber rujukan yang lain ialah
Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Tabung Bantuan Perubatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Agama Islam atau Baitulmal,
Yayasan Kebajikan Negara dan lain – lain sumber bantuan.
Pegawai
Kerja sosial Perubatan juga boleh merujuk kepada pesakit kepada Jabatan
Kebajikan Masyarakat untuk pendaftaran Orang Kurang Upaya (OKU).
Pendaftaran pesakit sebagai OKU melayakkan mereka untuk mendapat
pengecualian caj rawatan hospital, elaun orang kurang upaya, mendapat
lesen motorsikal dan kereta khas untuk OKU. Lesen kenderaan ini dapat
memberi peluang kepada pesakit untuk bekerja semula serta menjadi
produktif dan seterusnya dapat mengurangkan beban kewangan pesakit dan
keluarga. Malahan dengan adanya lesen kenderaan ini juga dapat
mengembalikan fungsi sosial pesakit dalam keluarga dan masyarakat. Ini
kerana fungsi sosial serta hubungan sosial dengan keluarga dan
masyarakat adalah penting dalam kehidupan pesakit.
Kesimpulan
Pesakit
yang mengalami kecederaan saraf tunjang mampu untuk kembali kepada
kehidupan yang berdikari, berkeyakinan dan berkualiti dengan syarat
mereka mestilah berusaha sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada
ahli keluarga sepenuhnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan