'One Stop Center' untuk info-info Kesihatan Yang Terkini

Rabu, 26 Oktober 2016

KESIHATAN FIZIKAL

Remaja & Diet Kilat (Crash Diets)

Remaja mengambil berat tentang imej fizikal mereka. Remaja yang lebih berat badan atau obes akan mengalami imej diri negatif dan keyakinan diri yang rendah. Mereka teringin berat badan body mass index (BMI) yang ideal. Ada yang akan berusaha mencapai BMI serendah mungkin. Pada tahun 2006, kajian yang dijalankan oleh University of Minnesota mendapati  62.7% remaja perempuan mempraktikkan kaedah menurunkan berat badan yang tidak sihat. Seramai 21.9% pula menggunakan kaedah yang sangat berbahaya. Kadar peratusan bagi remaja lelaki adalah separuh berbanding remaja perempuan.
 
Apabila disebut “saya akan mulakan diet”, tafsiran kebanyakan orang adalah ianya bersamaan kurang makan atau cara pemakanan berbeza untuk mengurangkan berat badan.
Semasa diet ramai yang menganggap makanan sebagai musuh mereka. Ramai remaja akan mencuba Crash diet untuk mengurangkan berat badan. Ramai yang tidak sedar bahawa mengurangkan berat badan secara mendadak membahayakan kesihatan seseorang. Anda hanya akan kehilangan otot dan air daripada badan dan ia tidak membantu anda mengurangkan berat badan secara optimum.

INGAT. Hanya cara pemakanan dan pemakanan yang teratur boleh memecahkan lemak berlebihan dan membantu anda mencapai berat badan yang unggul dan kecergasan badan dan minda pada tahap optimum.  

JANGAN crash diet!!
Pengurangan berat badan secara mendadak amat berbahaya untuk kesihatan anda. Pemakanan yang seimbang amat penting di zaman remaja.






Asma

Asma ialah penyakit kronik saluran udara dalam sistem pernafasan. Dalam bahasa atau dialek lain, ia dikenali sebagai lelah, semput dan penat dalam bahasa Melayu, dan ‘Chei Har’ dalam bahasa Cina. Walau bagaimanapun, penggunaan terma-terma dan turut digunakan bagi menggambarkan masalah pernafasan yang lain.
Bagaimana sistem pernafasan anda berfungsi?
Sistem pernafasan membawa masuk udara yang kaya dengan oksigen dan membawa keluar karbon dioksida. Saluran udara dalam sistem pernafasan adalah seperti tiub panjang. Ia bermula dari lubang hidung, ke pharynx, larinks dan ke trakea (atau lebih dikenali sebagai paip angin) dan akhirnya ke saluran pernafasan kecil di kedua-dua belah paru-paru. Saluran pernafasan yang lebih kecil dikenali sebagai bronkiol. Pertukaran gas berlaku pada bronkiol.
Dinding bahagian dalam tiub dibarisi oleh lapisan mukosa yang mempunyai rambut halus dipanggil silia. Ia juga mempunyai lapisan otot licin.
Apakah asma?
  • Ia adalah penyakit paru-paru.
  • Ia disebabkan oleh keradangan kronik saluran pernafasan.
  • Proses keradangan adalah sebahagian daripada sistem pertahanan (imun) badan kita. Ia berfungsi sebagai mekanisme pertahanan. Ia melindungi badan kita daripada penyebab kerengsaan setiap kali kita bernafas.
  • Penghidap asma mempunyai saluran udara yang sensitif kepada sesetengah bahan yang dihidu. Ini dipanggil hiperresponsif. Ia menyebabkan keradangan.
  • Keradangan menyebabkan lapisan mukosa membengkak, lebih banyak dihasilkan untuk bertindak sebagai palam mukus dan otot mengecut yang dikenali sebagai bronkospasma. Ini menyebabkan lumen saluran pernafasan sempit dan sekaligus menyebabkan kesukaran bernafas.
Siapakah yang mendapat asma?
Anda berisiko menghidap asma jika :
  • Seseorang dalam keluarga anda menghidap asma (keturunan).
  • Anda mempunyai jangkitan dada yang teruk semasa kecil.
  • Ahli keluarga anda mempunyai reaksi alahan atopi (yang bermakna anda boleh mewarisi tindak balas hiper-responsif kepada alahan).
  • Terdedah kepada perengsa secara berterusan
Bagaimana untuk mengetahui anda menghidap asma?
Anda mungkin menghidap asma bronkial jika :
  • Episod batuk yang berulang dengan berdehit.
  • Sesak dada dan kesukaran bernafas secara tiba-tiba.
  • Keturunan anda menghidap asma atau alahan.
  • Anda mengalami gejala ini jika anda terdedah kepada perengsa atau keadaan tertentu.
Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan pengesahan. Doktor akan meminta anda menyatakan sejarah serangan asma secara terperinci. Sebagai contoh, doktor akan membantu anda mengenal pasti apa yang mencetuskan serangan dan corak serangan asma. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh terutamanya paru-paru. Kadang-kala anda mungkin perlu menjalani ujian sinaran x (x-ray) atau ujian pernafasan.
Apa yang anda alami semasa serangan asma?
Apabila diserang asma anda akan mengalami :
  1. Batuk – Batuk adalah refleks biasa untuk membersihkan saluran yang tersumbat. Itulah sebabnya semasa serangan asma anda tidak digalakkan untuk mengambil ubat batuk melainkan dinasihatkan oleh doktor anda.
  2. Sukar bernafas atau sesak nafas – Saluran udara yang sempit menyebabkan anda mengalami kesukaran bernafas.
  3. Pernafasan berbunyi atau berdehit kerana anda bernafas melalui saluran udara yang sempit dan banyak lendir.
  4. Sesak dada.
  5. Orang di sekeliling anda akan perasan anda bekerja keras untuk bernafas. Hidung anda kelihatan merah, otot leher akan kelihatan dan ruang di antara tulang rusuk akan ditarik kerana anda bernafas.
Serangan asma yang teruk menyebabkan anda sukar bercakap. Dalam keadaan ini, anda perlu segera dapatkan rawatan doktor.
Adakah rawatan untuk asma?
Asma bronkial adalah penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes. Ini bermakna, jika anda disahkan menghidap asma, anda memerlukan rawatan sepanjang hayat. Ia tidak boleh dirawat.
Berita baik!
Anda boleh mengawal asma dan anda boleh menjalani hidup normal seperti orang lain.
Bagaimana mengawal asma?
  • Fahami masalah anda. Dapatkan nasihat doktor walaupun anda berjumpa doktor dengan ibu bapa anda. Libatkan diri anda dalam pengurusan penyakit asma anda.
  • Ketahui pencetus asma anda. Ketahui punca anda mendapat serangan asma seperti terdedah kepada asap rokok, cuaca sejuk atau panas yang melampau, tekanan, melakukan senaman berat atau makanan atau pewarna yang menyebabkan alahan.
  • Kerap berjumpa doktor. Bincang dengan doktor tentang masalah anda dan bentuk satu pelan tindakan asma bersama-sama.
  • Ketahui ubat anda. Ketahui apa, bila dan kekerapan mengambil ubat dan tujuan anda mengambil ubat tersebut.
  • Ambil ubat anda seperti yang dinasihati oleh doktor.
Apakah pencetus serangan asma?
Bagaimana untuk menghindari pencetus serangan asma?
Pencetus Apa yang boleh anda lakukan
Perengsa/Asap
  • Berhenti merokok
  • Minta ahli keluarga untuk berhenti merokok
  • Jangan benarkan orang lain untuk merokok di sekeliling anda, rumah dan dalam kereta anda walaupun anda tidak berada di dalamnya. Debu asap mungkin melekat pada perabot atau kerusi kereta. Menghidunya boleh mencetuskan serangan
  • Elakkan menggunakan bahan kimia yang berbau kuat
  • Elakkan berada di tempat yang berlakunya pembakaran terbuka
Alahan
  • Bulu haiwan : Pastikan haiwan peliharaan anda diletakkan di luar rumah
  • Hama : Gunakan penutup kalis habuk untuk bantal dan tilam, keluarkan permaidani dari rumah atau vakum secara berkala
  • Lipas : Gunakan racun serangga, simpan makanan dan sampah di dalam bekas tertutup
  • Acuan : Sentiasa menjaga kebersihan rumah Betulkan paip yang bocor. Gunakan alat penyahlembap udara.
  • Debunga : Elakkan menghidu bunga atau elakkan keluar pada musim bunga
Ubat-ubatan Kenal pasti ubat-ubatan yang menjadikan anda sensitif
Senaman Dapatkan nasihat doktor anda sebelum terlibat dalam sebarang aktiviti sukan yang berat
Jangkitan/refluks Dapatkan nasihat doktor untuk rawatan berkaitan jangkitan/refluks
Tekanan emosi Lakukan senaman bagi mengurangkan stress. Dapatkan rehat secukupnya
Ubat-ubatan untuk asma
Terbahagi kepada 2 bahagian :
  • Ubat pelega :
    • Berguna untuk melegakan gejala-gejala asma dan menghilangkan serangan sebelum ia menjadi teruk.
    • Ia harus digunakan semasa tanda awal serangan asma dikesan.
    • Tidak sesuai digunakan apabila serangan telah menjadi teruk kerana anda tidak dapat bernafas dengan betul dan penyelarasan sukar dilakukan.
    • Apabila digunakan dengan betul, ia akan melegakan gejala dengan cepat.
    • Ubat yang disarankan adalah agonis Beta2 atau Salbutamol yang dihidu.
    • Ia melegakan bronkospasma dengan merehatkan otot di saluran pernafasan.
    • Ini menyebabkan saluran pernafasan terbuka dan membolehkan udara mengalir dengan lebih baik dan gas dalam paru-paru bertukar dengan lebih baik.
    • Salbutamol juga boleh didapati dalam bentuk tablet. Namun, pengambilan secara oral boleh menyebabkan lebih banyak kesan sampingan seperti jantung berdebar, menggigil dan lain-lain.
  • Ubat pencegah atau kawalan jangka panjang.
    • Ubat ini menghalang keradangan dan menjadikan pernafasan anda lebih stabil dan kurang sensitif kepada perengsa.
    • Ubat-ubatan yang biasa digunakan adalah kortikosteroid (ICS) yang dihidu kerana ia adalah antiradang yang berkesan.
    • Walaupun ubat-ubatan ini adalah sejenis steroid, kesan sampingan daripada sedutan steroid adalah sangat minimum dan memberi lebih faedah berbanding risiko yang dihadapi.
    • Ubat-ubatan ini sangat berbeza daripada steroid yang diambil secara oral atau yang digunakan oleh atlet.
    • Dos ICS yang diambil menggunakan alat sedut (inhaler) adalah lebih kecil berbanding dos ICS yang diambil secara oral. Ia diangkut ke paru-paru secara langsung tanpa memasuki peredaran sistemik. Oleh itu, kesan sampingan dapat dikurangkan.
    • Namun, ubat ini tidak melegakan gejala akut. Ia mengambil masa sehingga 2 minggu untuk menunjukkan kesan. Oleh itu, pematuhan regim rawatan adalah sangat penting.
    • Ubat-ubatan kawalan jangka panjang lain yang boleh digunakan adalah :
      • Long-acting Beta 2 agonist yang dihidu
      • Natrium chromoglycate yang dihidu
      • Tablet Teofilin (neulin)
      • Tablet anti-leukotriene
Apakah alat sedut (inhaler)?
  • Inhaler adalah alat yang mengandungi ubat-ubatan yang diambil dengan cara bernafas ke dalam sejenis alat.
  • Terdapat banyak jenis inhaler dan anggota kesihatan akan mengajar anda cara untuk menggunakannya.
  • Ubat-ubatan dalam inhaler terdapat dalam bentuk aerosol atau serbuk kering.
  • Alat ini membolehkan ubat-ubatan dihantar terus ke paru-paru.
  • Walau bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan teknik dan penyelarasan betul.
  • Bagi sesetengah orang terutamanya kanak-kanak dan warga tua, corong amat berguna untuk memastikan ubat dapat dialirkan dengan baik.
Pelan tindakan asma
Pelan tindakan asma adalah perancangan bertulis yang dihasilkan bersama-sama dengan doktor anda tentang tindakan perlu dilakukan untuk mengawal asma semasa di rumah. Ini termasuklah :
  • Gejala yang perlu anda awasi.
  • Tindakan yang perlu dilakukan jika anda mengalami gejala-gejala tersebut.
  • Ubat-ubatan yang perlu digunakan beserta dos ulangan yang diperlukan.
  • Ketahui masa yang perlu untuk mendapatkan rawatan doktor.
  • Ketahui alamat dan nombor telefon yang perlu dihubungi untuk sebarang kecemasan.
  • Pencetus serangan asma pada diri anda dan cara untuk mengelakkan.
Saya mempunyai asma yang disebabkan oleh senaman. Adakah ini bermakna saya tidak perlu melakukan aktiviti fizikal atau terlibat dalam sukan?
Salah. Anda perlu melakukan aktiviti fizikal. Sebenarnya aktiviti fizikal atau senaman adalah baik untuk pesakit asma. Anda tidak perlu mengehadkan aktiviti anda jika anda menghidap asma. Sebaliknya anda perlu untuk mengawal asma dengan lebih lebih baik untuk membolehkan anda melakukan aktiviti harian. Walau bagaimanapun, elakkan melakukannya secara keterlaluan kerana aktiviti fizikal atau senaman boleh mencetuskan serangan asma.
Dapatkan nasihat doktor tentang ubat pelega sebelum anda membuat keputusan untuk terlibat dalam sebarang senaman atau aktiviti fizikal.
Kenapa simptom asma masih tidak sembuh walaupun saya telah mengambil ubat?
Terdapat beberapa sebab :
Jika gejala asma masih berterusan, dapatkan rawatan doktor. Antara punca asma masih tidak sembuh adalah :
  • Teknik penggunaan inhaler yang tidak betul.
  • Faktor pencetus serangan asma masih ada di sekitar anda.
  • Anda mungkin mengalami jangkitan pernafasan yang masih tidak sembuh.
  • Anda mungkin tidak menghidap asma. Anda perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan yang lebih lanjut.
Apa yang paling penting adalah menikmati tempoh remaja anda. Rebut semua peluang yang ada untuk berjaya. Terimalah hakikat bahawa anda seorang penghidap asma Anggaplah ia sebagai satu cabaran dan tanamkan sikap yang positif setiap masa. Ia hanya satu penyakit dan anda mampu mengawalnya!




Remaja dan Masalah Pendengaran

Remaja adalah zaman peralihan di mana kanak-kanak menjadi dewasa. Pada ketika ini, kanak-kanak akan melalui pelbagai perubahan iaitu dari segi fizikal, pemikiran, perasaan dan kepercayaan. Remaja boleh menjadi sangat sensitif terhadap sesuatu yang menyebabkan mereka berbeza daripada yang lain termasuklah masalah pendengaran.
Masalah pendengaran ialah kecacatan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Namun, ianya boleh memberi impak yang sangat besar kepada seseorang remaja. Kajian menunjukkan, dalam setiap 1000 kelahiran bayi, seorang daripadanya dikesan mempunyai masalah pendengaran. Ianya boleh terjadi melalui dua cara iaitu secara semulajadi (kongenital) ataupun selepas kelahiran (acquired).
Masalah pendengaran kongenital ialah masalah pendengaran yang diperolehi sejak lahir. Ianya termasuklah masalah pendengaran yang diwarisi (disebabkan keturunan) dan faktor-faktor lain yang hadir semasa dalam kandungan ataupun ketika kelahiran. Faktor genetik seperti sindrom menyumbang kepada lebih 50% insiden bagi masalah pendengaran kongenital.
Masalah pendengaran acquired pula ialah kurang pendengaran yang diperolehi pada bila-bila masa selepas kelahiran. Ianya boleh disebabkan oleh:
  • Kesan kepada penyakit. Contoh: meningitis
  • Jangkitan pada telinga. Contoh: otitis media
  • Kesan kepada keadaan. Contoh: terdedah kepada bunyi bising
  • Kesan kecederaan. Contoh: kecederaan kepala
Apabila masalah pendengaran diperolehi ketika remaja atau dewasa, kesannya tidaklah seteruk bayi atau kanak-kanak walaupun tahap pendengaran mereka adalah sama. Kebiasaannya, remaja boleh mengatasi masalah pendengaran yang dihadapi dengan lebih efisyen berbanding dengan kanak-kanak kecil kerana mereka telah mempunyai bahasa dan skil sosial yang mebolehkan mereka meneka atau mengagak maklumat-maklumat yang kurang jelas didengari.
Masalah pendengaran yang tidak dirawat atau di atasi boleh menimbulkan perasaan malu, tekanan perasaan dan juga keletihan. Bukan sahaja pada individu yang kurang pendengaran malah turut melibatkan ahli keluarga dan juga rakan-rakan.
Dianggarkan lebih kurang 5-10% masalah pendengaran boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan atau secara pembedahan. Contohnya ialah masalah pendengaran yang disebabkan oleh  telinga tengah. Namun, jika pemeriksaan pendengaran mendapati keadaan pesakit tidak boleh diubati, maka penggunaan alat bantu pendengaran (hearing aids) perlulah dipertimbangkan.
Alat bantu pendengaran ialah peranti elektroakustik yang direka untuk menguatkan bunyi kepada pemakainya. Terdapat pelbagai saiz dan bentuk alat bantu dengar yang boleh dipilih bergantung kepada keperluan pendengaran, tahap masalah pendengaran dan juga gaya hidup individu. Antaranya ialah jenis belakang telinga (BTE), di dalam telinga (ITE), di dalam salur telinga (ITC) dan juga di dalam salur telinga sepenuhnya (CIC).
Jika masalah pendengarangan yang dihadapi adalah dikedua-dua belah telinga, maka penggunaan alat bantu dengar secara binaural adalah digalakkan. Ini adalah kerana, ianya:
  • membantu dalam menentukan arah bunyi
  • memperbaiki pemahaman pertuturan di dalam  situasi bising
  • menjadikan pendengaran lebih baik secara keseluruhannya
Selain daripada alat bantuan pendengaran, terdapat juga alat bantu mendengar (assisstive listening device, ALD) yang boleh digunakan bersama alat bantu pendengaran atau secara berasingan. Alat bantuan ini dapat membantu untuk memisahkan bunyi (seperti pertuturan atau muzik) yang ingin didengari daripada bunyi bising latar belakang. Alat ini juga membolehkan pemakainya mendengar walaupun sumber bunyi/penutur berada pada jarak yang jauh.
Antara kemudahan ALD yang boleh digunakan ialah:
  1. Telefon
      • Peranti telefon yang menguatkan bunyi deringan telefon dan mempunyai pelaras suara untuk menguatkan suara yang masuk.
      • Induction loops yang meminimumkan bunyi bising latar belakang dan memperbaiki kejelasan suara yang masuk. Alat ini digunakan bersama alat bantu pendengaran.
      • Induction loops TTY (teletypewriters) ialah alat yang berasaskan teks yang membolehkan individu yang mempunyai masalah pendengaran teruk atau sangat teruk berkomunikasi menggunakan talian telefon.
  2. Televisyen
    • Earphones/headphones disambung terus kepada soket earphones bagi membolehkan bunyi terus masuk ke telinga pendengar. Ini memudahkan individu untuk mendengar televisyen apabila berseorangan.
    • Amplifier televisyen boleh digunakan bersama atau tanpa alat bantu pendengaran. Ianya tidak memerlukan soket earphones. Ia juga tidak melibatkan pelaras suara televisyen dan sesuai untuk digunakan ketika menonton bermai-ramai. Mikrofon kecil dilekatkan pada pembesar suara televisyen dan dihubungkan melalui wayar kepada earphones atau neckloop (jika digunakan bersama alat bantu pendengaran).
    • Induction loops
    • Sistem infra merah boleh dipasangkan kepada televisyen, radio dan stereo secara serentak. Sistem ini adalah tanpa wayar dan melibatkan penghantaran signal secara infra merah. Ia boleh digunakan bersama atau tanpa alat bantu pendengaran.
  3. Muzik dan hiburan
    • Induction loops boleh digunakan untuk mendengar stereo peribadi, iPods, pemain MP3, sistem suara komputer dan juga permainan televisyen seperti Xbox atau Playstation.
  4. Sistem amaran
    • Untuk pintu : alat kawalan akan memancarkan lampu menandakan terdapat seseorang di pintu.
    • Untuk telefon : telekilat bersama cahaya amaran yang terang dan bunyi yang ekstra kuat untuk telefon bagi menandakan terdapat panggilan masuk.
    • Alat penggetar : biasanya digunakan untuk mengejutkan individu daripada tidur.
    • Keselamatan : alat kawalan akan memancarkan lampu menandakan terdapat asap di dalam rumah.
  5. Tempat awam
    • Induction loop adalah system yang boleh digunakan di tempat awam seperti di pawagam/teater dan juga dewan komuniti. Namun, ianya perlu digunakan bersama alat bantu pendengaran.
  6. Sistem FM
    • Digunakan untuk menyalurkan bunyi dari seorang individu kepada individu lain tanpa mengira jarak dan juga kebisingan. Ianya boleh digunakan bersama atau tanpa alat bantu pendengaran. Sistem FM ini memberikan pendengaran yang lebih baik dalam sesuatu situasi di mana ianya adalah mustahil untuk duduk berdekatan dengan penutur yang ingin didengari. Sistem ini amat bermanfaat untuk membantu pelajar yang bermasalah pendengaran bagi menangani kondisi mendengar yang lemah ketika sesi pembelajaran. Namun, sistem ini juga amat berguna kepada golongan dewasa bagi membantu mereka mendengar dalam mesyuarat ataupun ceramah.




Share:

PENYAKIT BERJANGKIT

Beguk

Apakah itu beguk?
Beguk merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh virus. Ia menyebabkan bengkak dan rasa sakit pada kelenjar parotid. Ia mudah berjangkit dan virus merebak melalui titisan daripada mulut, hidung dan tekak apabila mereka yang dijangkiti beguk mengalami batuk atau bersin. Ia boleh berjangkit selepas 3 atau 4 hari selepas pembengkakan bermula.
Apakah tanda dan gejala beguk?
Tanda dan gejala jangkitan bermula selepas 12-25 hari berhubungan dengan orang yang dijangkiti. Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada simptom awal, mereka mungkin menghadapi:
  • Demam.
  • Sakit kepala.
  • Mulut kering dan hilang selera.
  • Keletihan.
  • Pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid.
Gejala ini biasanya hilang dalam masa 10–12 hari.
Adakah ia satu penyakit yang ringan (biasa)?
Walaupun semua orang yang dijangkiti biasanya akan pulih sepenuhnya, kadang-kala komplikasi juga boleh berlaku seperti:
  • Encephalitis (Pembengkakan pada otak).
  • Meningitis (Pembengkakan pada lapisan otak).
  • Pancreatitis (Inflamasi pada pankreas).
  • Orchitis (Lebam pada testis) berlaku pada lelaki dewasa.
  • Pekak.
Bagaimanakah ia dirawat?
Tiada ubat yang khusus untuk beguk tetapi simptom-simptom boleh dilegakan dengan:
  • Paracetamol untuk mengurangkan demam dan rasa sakit.
  • Mengambil lebih minuman tetapi elakkan jus-jus yang berasid.
  • Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melegakan kesakitan.
Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ianya tidak boleh lagi berjangkit (iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar saliva) atau sehingga bengkak tersebut hilang.
Bolehkah ia dicegah?
Beguk juga boleh dicegah dengan vaksin. Vaksin beguk ini diberi pada umur 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun sebagai sebahagian daripada vaksin MMR iaitu (mumps, measles and rubella). Ianya sangat berkesan untuk mencegah beguk ini.



Cacar Air

Apa itu jangkitan cacar air?
Ini ialah jangkitan biasa yang berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan oleh virus. Virus cacar air juga dikenali sebagai virus varicella. Ia adalah virus sama yang menyebabkan kayap. Ia merupakan penyakit yang senang berjangkit dan boleh merebak daripada seorang ke seorang. Seseorang yang dijangkiti virus ini akan mengalami demam dan timbul ruam lepuh (blisters). Ianya merebak:
  • Melalui udara apabila seseorang yang menghidap cacar air itu mengalami batuk atau bersin.
  • Dengan menyentuh atau bernafas masuk “partikel virus” yang terdapat pada cecair yang keluar daripada lepuh (blister) .
Apakah tanda dan gejala?
Anak anda akan mendapat cacar air 10-21 hari selepas terdedah kepada seseorang yang mengidap cacar air. Cacar air boleh merebak 1–2 hari sebelum ruam kelihatan pada orang yang di jangkiti sehingga semua ruam  kering. Kebanyakan kanak-kanak mengalami jangkitan yang tidak serius. Namun jangkitan cacar air bagi orang dewasa,remaja serta anak kecil kurang dari setahun boleh menjadi lebih serius.
Gejala:
  • Demam, rasa tidak sihat dan letih lima hari sebelum ruam timbul.
  • Ruam bermula bintik merah yang kecil dan gatal (seperti jerawat) pada semua badan termasuk mulut. Biasanya ruam bermula di dada dan belakang, kemudian merebak ke muka, kepala, kedua-dua lengan dan kaki.
  • Dalam masa 24 jam, ruam-ruam akan kelihatan seperti lepuh air (blister), kemudian pecah, kering dan menjadi keruping (4 -5 hari).
  • Bintik-bintik baru akan terus timbul untuk lima hari dan mengambil masa dua minggu untuk hilang.

Cacar Air
Biasanya jangkitan cacar air ini menghasilkan pelalian seumur hidup. Walau bagaimanapun, virus ini mungkin bersembunyi dan berulang sebagai kayap (shingles) kepada orang dewasa dan kadang-kala kepada kanak-kanak.
Apakah komplikasinya?
Biasanya cacar air ialah masalah kesihatan ringan bagi kanak-kanak dan kebanyakannya akan pulih.
Walau bagaimanapun, sesetengah orang berisiko mendapat komplikasi yang teruk, iaitu bayi yang baru lahir, orang dewasa dan seseorang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah.
Komplikasi lain yang boleh berlaku termasuk:
  • Jangkitan kuman pada kulit.
  • Jangkitan pada darah (blood stream infection).
  • Radang paru-paru.
  • Keradangan otak (“encephalitis,cerebellar ataxia”).
Bagaimana jangkitan cacar air dirawat?
Amnya:
  • Elakkan anak anda ke sekolah atau taman asuhan kanak-kanak sehingga ruam menjadi berkerak (lebih kurang tujuh hari daripada permulaan ruam). Jika tidak kemungkinan kawan-kawannya akan turut dijangkiti. Elakkan dari naik kapal terbang pada masa ini.
  • Ambil ubat paracetamol untuk mengurangkan demam.
  • Minum banyak air masak.
  • Ambil makanan yang seimbang.
  • Sentiasa membasuh tangan.
Untuk rasa gatal:
  • Sapu losen kalamine di tempat ruam.
  • Potong kuku pendek untuk mengelakkan kecederaan kulit semasa menggaru.
  • Ubat antihistamine mungkin diberi oleh doktor jika rasa gatal yang teramat sangat sehingga anak anda tidak dapat tidur.
Ubat antivirus untuk cacar air (dalam bentuk makan) boleh didapati dan selalunya akan diberi oleh doktor kepada mereka yang berisiko mendapat jangkitan yang teruk, iaitu:
  • Berumur 12 tahun ke atas.
  • Mengidap penyakit paru-paru/kulit yang kronik.
  • Mereka yang menjalani terapi lama dengan mengambil ubat “salicylate” seperti aspirin.
  • Mereka yang menjalani terapi steroid sama ada jangka pendek atau berkala (dalam bentuk sedut).
  • Segolongan ibu-ibu mengandung.
Bagaimana cacar air boleh dicegah?
  • Cacar air boleh dicegah dengan suntikan pelalian.Vaksin “varicella” ini tiada di dapati dalam program immunisasi sekarang akan tetapi terdapat pada sektor swasta. Minta nasihat doktor.
  • Jika anda mendapat cacar air, elakkan jangkitan kepada orang lain dengan tidak pergi ke sekolah atau ke tempat kerja sehingga lepuh menjadi kering dan berkerak.
  • Vaksin juga boleh diberi kepada anak anda yang belum pernah dijangkiti penyakit ini jika terdedah kepada individu yang menghidap cacar air untuk mengelakkan anak anda daripada mendapat penyakit ini. Sila berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat.
  • Seseorang yang berisiko mendapat cacar air yang teruk (bayi yang baru lahir, yang mempunyai sistem pertahanan badan yang lemah, wanita mengandung) yang terdedah kepada seseorang yang mengidap cacar air, mungkin diberi antibodi dalam bentuk immunoglobulin untuk memberi perlindungan segera.



Demam Campak

Apa itu demam campak?
Demam campak (Rubella) adalah jangkitan akut pada kanak-kanak disebabkan oleh virus measles. Pesakit demam campak biasanya mengalami gejala jangkitan respiratori dan disertai ruam pada kulit.
Penyakit ini sangat mudah menular kepada orang lain melalui udara dengan titisan (‘droplet”) cecair daripada mulut dan hidung semasa bercakap, batuk atau bersin. Walau bagaimanapun kebanyakan kanak-kanak di Malaysia telah kebal (immun) pada penyakit ini sejak adanya program campak kebangsaan. Akan tetapi, kebelakangan ini terdapat pertambahan dalam kes-kes campak di bandar utama dengan kemasukan orang asing. Oleh itu, jika seorang kanak-kanak tidak lagi mendapat vaksin dan terdedah kepada individu yang menghidap penyakit ini, maka kemungkinan besar kanak-kanak ini akan dijangkiti virus ini.

Apakah tanda-tanda demam campak?
Antara 10 – 12 hari selepas dijangkiti penyakit, pesakit mula menunjukkkan tanda dan gejala demam campak seperti:
  • Demam tinggi.
  • Batuk, selesema dan sakit tekak.
  • Mata berair dan sensitif kepada cahaya.
  • Sakit otot.
Dua atau tiga hari kemudian timbul ruam-ruam, bermula dibahagian muka dan kepala kemudian merebak ke bahagian badan, tangan dan kaki.
Ruam akan kekal selama 4 – 7 hari. Semasa ruam timbul, suhu badan biasanya sangat tinggi. Demam campak boleh menjangkiti orang lain dalam masa seminggu sebelum timbul ruam sehingga 4 hari selepasnya.
Measles
Ruam demam campak

Adakah setiap demam yang disertai ruam merupakan demam campak?
Tidak. Demam campak sering dikelirukan dengan penyakit Rosela Infantum yang disebabkan oleh virus lain tetapi mempunyai ciri-ciri yang sama dengan demam campak melainkan selepas 2–3 hari ruam timbul, demam biasanya akan kebah. Satu lagi penyakit yang menyerupai campak adalah rubella.

Apakah kesan demam campak pada kanak-kanak?
Kebanyakan kanak-kanak yang menghidapi demam campak akan sembuh dengan sempurna. Walau bagaimanapun kadang-kala boleh terjadi komplikasi yang serius terutama golongan yang menghidapi kekurangan zat makanan dan mempunyai imuu sistem kekebalan yang rendah.
Antara lain komplikasi yang sering terjadi adalah:
  • Jangkitan pada telinga.
  • Jangkitan paru-paru (Pneumonia ).
  • Jangkitan pada otak (encephalitis).
  • Cirit-birit.
Kes yang serius boleh berakhir dengan kematian. Bagi wanita hamil pula, boleh menyebabkan keguguran atau kelahiran pramatang.

Bagaimana merawat demam campak?
Tiada rawatan yang spesifik tetapi hal-hal berikut dapat mengurangkan gejala:
  • Panadol untuk mengurangkan demam.
  • Hindari cahaya terang kerana ia menyakitkan mata.
  • Berehat dan minum air yang cukup.
Ruam tidak perlu dirawat kerana ia akan hilang sendiri. Pesakit dinasihatkan untuk tinggal di rumah supaya tidak menjangkiti orang lain (sehingga 4 hari selepas ruam timbul).

Bolehkah demam campak dicegah?
Boleh. Demam campak boleh dicegah melalui pemberian suntikan immunisasi MMR (Measles, Mumps and Rubella) pada usia 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun.
Adalah tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak mereka mendapat imunisasi.
MMR adalah vaksin yang selamat.
Jika anak anda terdedah kepada individu dijangkiti campak dan belum lagi menerima imunisasi, bawa anak anda segera untuk berjumpa doktor. Pemberian vaksin dalam jangka masa tertentu boleh mengelakkan anak anda daripada dijangkiti virus ini.




Hepatitis B bagi Kanak-kanak

Apakah maksud Hepatitis B?
Hepatitis B adalah disebabkan oleh virus Hepatitis B iaitu HBV. Virus ini boleh didapati di dalam darah dan cecair badan (air mani, air liur serta cecair daripada luka) orang yang telah dijangkiti dan boleh merebak jika anda terdedah secara langsung kepada darah atau cecair badan. Ini boleh berlaku jika anda berkongsi jarum dan picagari atau melalui hubungan kelamin. Wanita yang dijangkiti boleh juga menyebabkan bayi mereka turut dijangkiti oleh HBV.
Bagaimanakah seseorang itu tahu bahawa dia telah dijangkiti Hepatitis B?
Anda akan mengalami tanda-tanda penyakit ini dalam masa 45-160 hari daripada hari anda mula dijangkiti. Jika dijangkiti, orang dewasa adalah lebih cenderung untuk mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit ini jika berbanding dengan kanak-kanak.
Tanda-tanda awal dijangkiti Hepatitis B adalah:
  • Penat.
  • Sakit kuning.
  • Gatal-gatal.
  • Hilang selera makan.
  • Hilang berat badan.
  • Sakit perut.
  • Sakit-sakit sendi.
Apakah perjalanan semulajadi jangkitan kuman ini?
Kebanyakan orang yang telah dijangkiti akan pulih sepenuhnya. Sebilangan kecil pesakit yang dijangkiti akan menjadi lebih teruk dan boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati yang boleh membawa maut. Ada juga yang akan menjadi pembawa virus Hepatitis B yang kronik selepas pulih daripada jangkitan awal Hepatitis B.
Pembawa virus hepatitis B yang kronik adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti berikut:
  • Radang hati yang kronik (Chronic hepatitis).
  • Cirrhosis hati (Liver cirrhosis).
  • Kegagalan fungsi hati (Liver failure).
  • Barah hati.
Adakah jangkitan Hepatitis B boleh dirawat?
Tiada rawatan khusus untuk jangkitan akut hepatitis B. Langkah-langkah yang boleh diambil termasuk:
  • Rehat yang secukupnya dan minum air dengan banyak.
  • Diet rendah lemak dan dan kurang perisa/tawar.
  • Elakkan arak/alkohol.
  • Dapatkan nasihat doktor mengenai ubat-ubatan yang diambil untuk penyakit kronik yang lain.
Pesakit radang hati yang kronik (chronic hepatitis) mungkin boleh dibantu dengan ubat interferon atau lamivudine. Sila bertanya lanjut mengenai rawatan dengan doktor anda.
Apakah langkah yang boleh diambil untuk mengelakkan daripada dijangkiti Hepatitis B?
Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur dan populasi masyarakat yang tertentu. Contohnya:
  • Hepatitis B boleh dielakkan dengan:
    • Menghindarkan aktiviti berisiko tinggi contohnya menagih dadah secara suntikan dan seks secara rambang.
    • Elakkan berkongsi barang persendirian (contohnya pisau pencukur).
    • Mengecualikan pembawa virus Hepatitis B sebagai penderma darah atau organ.
  • Hepatitis B boleh juga dicegah dengan efektif melalui vaksin Hepatitis B. Di Malaysia, semua bayi diberi pelalian untuk HBV di mana 3 dos diberi semasa lahir, 1 bulan dan 6 bulan mengikut  jadual imunisasi Malaysia.
  • Pelalian Hepatitis B juga digalakkan untuk kumpulan umur lain, untuk kumpulan masyarakat yang tertentu jika mereka tidak mendapat suntikan imunisasi sebelumnya atau tidak pernah mendapat jangkitan ini sebelumnya.
Contohnya:
  • Mereka yang terdedah kepada orang yang dijangkiti dengan Hepatitis B di rumah atau secara seksual.
  • Mereka yang terdedah kepada darah atau produk darah.
  • Kaki tangan kesihatan.
  • Pesakit-pesakit dialisis.
Untuk ibu mengandung yang dijangkiti hepatitis B, anak anda perlu diberi immunoglobulin Hepatitis B secepat mungkin setelah lahir dan ini diikuti dengan pelalian vaksin. Sila beritahu masalah jangkitan HBV kepada doktor anda supaya immunoglobulin dapat disediakan awal sebelum anak anda lahir.



Share:

PENDERAAN KANAK-KANAK

Penderaan Kanak-Kanak

Pengenalan
Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup sihat dan bebas dari keganasan. Setiap tahun, sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan menjadi mangsa penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Penderaan kanak-kanak adalah masalah global yang besar. Ia memberi impak serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak, kesejahteraan dan perkembangan sepanjang kehidupan mereka, dengan itu ia menjadi masalah masyarakat secara amnya. Mitos dan Realiti Penderaan Kanak-kanak

Apakah Penderaan Kanak-kanak?
Penderaan Kanak-kanak merujuk kepada penderaan secara fizikal dan emosi, penderaan seksual, kecuaian dan pengabaian terhadap kanak-kanak, termasuk sebarang bentuk eksploitasi atau komersial
  • Merangkumi semua jenis penderaan fizikal dan/atau emosi, penderaan seksual, pengabaian atau kelalaian atau eksploitasi komersial atau lain-lain eksploitasi, yang boleh atau telah menyebabkan kerosakan, kepada kesihatan kanak-kanak, dari segi ‘survival’, perkembangan atau harga diri. Ini adalah dalam konteks di mana pendera ada perhubungan tanggungjawab, kuasa atas kanak-kanak berkenaan atau pendera ialah seseorang yang dipercayai oleh kanak-kanak – WHO Pasukan Pencegah dan Kecederaan Keganasan,1999.
  • Penderaan Kanak-kanak secara amnya dibahagikan kepada empat jenis penderaan termasuk :
    • Penderaan fizikal
    • Penderaan seksual
    • Penderaan emosi
    • Pengabaian
Jenis-jenis Penderaan Kanak-kanak
  1. Penderaan fizikal
    • Kecederaan fizikal (dari kecederaan ringan sehingga kecederaan teruk seperti patah atau kematian)
      • Disebabkan oleh tumbukan, tamparan, sepakan, gigitan, goncangan, campakkan, tikaman, tercekik, pukulan (menggunakan tangan, kayu, atau sebarang objek) ,atau apa-apa yang mencederakan kanak-kanak.
      • Dikenal pasti sebagai penderaan tidak kira sama ada penjaga berniat untuk mencederakan kanak-kanak atau tidak.
    • Tiada selalunya ada niat untuk menyakitkan atau menyebabkan kecederaan
      • Ia mungkin disebabkan dari tujuan untuk mendisiplinkan yang berlebihan atau hukuman fizikal
      • Gangguan dari tangisan bayi dan ketidakupayaan untuk mengendalikannya
    • Buli, dan “shaken baby syndrome” adalah sejenis penderaan fizikal
  1. Penderaan Seksual
    • Sebarang aktiviti yang bermaksud untuk mendapat kepuasan dan memenuhi kehendak orang dewasa atau kanak-kanak remaja di mana mengikut umur atau perkembangan boleh mengambil tanggungjawab dan dipercayai. Ini termasuk:
      • Mempengaruhi atau memaksa kanak-kanak dalam aktiviti seksual yang bertentangan dengan undang-undang.
      • Ini termasuk eksploitasi komersial melalui pelacuran atau penghasilan gambar lucah
    • Setiap kanak-kanak berhak mempunyai seorang dewasa yang dapat menyayangi dan menyokong mereka untuk membesar
  1. Penderaan emosi
    • Biasanya sukar untuk dibuktikan
    • Biasanya berlaku apabila penderaan jenis lain dikenal pasti:
      • Pelbagai cara memperkecilkan seseorang (termasuk kaki buli di sekolah)
      • Tabiat suka mengenakan orang lain
      • Memperkecil dan memalukan
      • Menolak perawatan
      • Mengurung kanak-kanak di dalam almari gelap
  1. Pengabaian
    • Pengabaian berlaku apabila kanak-kanak menginap dirumah di mana orang dewasa tidak memberi keperluan asas
      • Fizikal – (contohnya, kegagalan untuk menyediakan keperluan seperti makanan, tempat perlindungan, atau kekurangan pengawasan yang teliti)
      • Perubatan – (contohnya, kegagalan untuk memberi rawatan atau perawatan kesihatan mental)
      • Pendidikan dan penyeliaan – (contohnya, kegagalan untuk memberi pendidikan atau menawarkan perkhidmatan khas)
      • Emosi
        • Kurang perhatian terhadap keperluan emosi kanak-kanak
        • Kegagalan untuk menyediakan penjagaan psikologi
        • Membenarkan kanak-kanak untuk minum alkohol atau menggunakan dadah
      • Diambil kira nilai budaya, piawaian penjagaan dan tahap kemiskinan sebelum kes dilaporkan sebagai kes pengabaian.
Apakah ukuran permasalahan ini di Malaysia?
  • Penderaan kanak-kanak berlaku di mana-mana termasuk di Malaysia, bagaimanapun ianya masih kurang dilaporkan sama seperti mana-mana bahagian lain di dunia. Kes yang dilaporkan ini hanyalah sebahagian kecil berbanding dengan kes-kes penderaan yang tidak dilaporkan. Seterusnya sila lihat perbezaan dalam bilangan kes yang dilaporkan mengikut negeri ( lihat jadual di bawah), yang mana mungkin menunjukkan insiden penderaan dalam negeri yang sebenar dengan bilangan yang tinggi atau kadar laporan kes yang tinggi atau jumlah populasi dalam negeri yang tinggi.




Shaken Baby Syndrome


Definisi
Selain daripada kecederaan kepala yang teruk disebabkan oleh kemalangan jalan raya, 95% adalah disebabkan oleh penderaan kanak-kanak yang berusia 1 tahun. Pendarahan yang berlaku di bahagian lapisan luar otak kanak-kanak yang berumur 2 tahun ke bawah dipanggil “subdural haemorrhage”. Pendarahan subdural berserta dengan keretakan tulang dada (ribs) dan pendarahan dalam mata dipanggil ‘Shaken Baby Syndrome’.
Sebab-sebab
  • Goncangan yang kuat berulang kali adalah penyebab kepada keadaan “Shaken Baby Syndrome”, penyebab ini telah diterima pakai buat masa sekarang. Oleh kerana kanak-kanak mempunyai kawalan leher yang lemah disertai dengan tekanan yang kuat, keadaan ini boleh menyebabkan kecederaan. Goncangan yang kuat terhadap bahagian lembut tengkorak dan otak boleh menyebabkan tekanan kepada saluran darah dan ianya akan pecah menyebabkan perdarahan subdural. Pada ketika ini, keadaan kanak-kanak yang mengalami “Shaken Baby Syndrome” disebabkan oleh goncangan yang kuat dan berulang, lalu mengalami kecederaan akibat dari goncangan tersebut.
  • Kesan Kecederaan – apabila kanak-kanak di campak dengan kuat ke dinding, ke lantai atau pada objek lain atau terkena kepada kepala/muka.
  • Keadaan ini biasanya terjadi apabila ibu bapa atau penjaga tidak tahu berbuat apa-apa terhadap bayi yang menangis berterusan sehingga kehendak/keperluan mereka dipenuhi. Ini menyebabkan ibu bapa atau penjaga menjadi bosan dan tidak sabar semasa menjaga bayi tersebut. Ibu bapa atau pun penjaga dengan tidak secara sedar akan menggoncang bayi tersebut dengan kuat beberapa ketika atau pun menampar bayi tersebut dalam usaha untuk membuatkan bayi tersebut berhenti menangis. Terdapat beberapa kejadian di mana penjaga menggoncang buaian anak dengan kuat menyebabkan bayi terjatuh keluar daripada buaian.
Epidemiologi
Terdapat 20-30 bayi “Shaken Baby Syndrome” dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur. Ini mewakili sebahagian kecil sahaja sedangkan sebahagian mungkin kanak-kanak mati di rumah atau sebelum ianya dirujuk di hospital lain. Lain-lain bayi berkemungkinan juga mempunyai “Shaken Baby Syndrome” yang ringan dan dirawat disebabkan oleh keadaan resah gelisah, muntah-muntah yang diklasifikasikan sebagai “infantile colic”.
Tanda-tanda dan gejala
Bayi yang dimasukkan ke hospital biasanya memberi sejarah seperti berikut ;-
  • kurang menyusu, muntah-muntah, demam yang rendah dan kemudian diikuti dengan sawan.
  • keadaan resah gelisah yang akut, muntah-muntah, sawan, kurang tindak balas, tidak sedarkan diri (koma) dan pernafasan yang tidak sekata.
Kebanyakan bayi-bayi ini kelihatan sihat, tiada keretakan di tengkorak dan tiada lebam-lebam di badan. Lain-lain tanda di badan adalah ;
  • kanak-kanak ini selalunya kelihatan pucat
  • 75-90% bayi mengalami perdarahan di dalam lapisan mata “retinal haemorrhage”
  • vitreous haemorrhage (bleeding in the vitreous part of the eye)
  • Retakan-retakan di tulang dada (disebabkan oleh tekanan di dada)
  • Retakan tulang tengkorak (kesan daripada kecederaan)
Kesan/Akibat
Akibat daripada keadaan ini adalah bergantung kepada keterukan goncangan yang dilakukan kepada kanak-kanak tersebut. Oleh kerana otak bayi ini sangat sensitif dan mudah lebam, dengan itu kecederaan daripada goncangan yang kuat dan kekurangan bekalan darah kepada otak semasa kanak-kanak mengalami sawan yang berpanjangan, berkemungkinan besar boleh menyebabkan kematian, kesukaran untuk belajar atau fungsi motor berkurangan. Akibatnya akan menjadi lebih teruk lagi sekiranya kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri (unconscious).
Pencegahan
“Shaken Baby Syndrome” boleh dicegah daripada berlaku. Sekiranya ibu bapa atau penjaga merasa tertekan atau kecewa dengan bayi mereka. INGAT! JANGAN sekali-kali anak anda tersebut digoncang. Sekiranya anak anda menangis dengan tidak berhenti-henti, dan anda dalam keadaan kebingungan, dapatkan bantuan dengan;
  • Tempatkan bayi anda di tempat yang selamat seperti di atas katil bayi yang mempunyai pengadang di kedua-dua belah, atau di bilik permainan, dan pastikan bayi dalam keadaan selesa. Tinggalkan bayi sebentar dan tenangkan fikiran anda.
  • Dapatkan bantuan daripada kawan ataupun saudara-mara untuk menjaga bayi tersebut buat sementara waktu, ataupun membantu anda dalam kerja-kerja di rumah atau menjaga anak-anak anda yang lain.
Ibu bapa atau penjaga seharusnya tidak merasa bersalah kerana tidak dapat memujuk bayi mereka supaya berhenti daripada menangis setelah beberapa kali mencuba. Kajian telah menunjukkan bahawa keadaan bayi menangis yang berterusan ini adalah perkara biasa terutama yang berumur 6-8 minggu. Ini dikenali sebagai ” PURPLE cry
  • P : Peaks around two months.
  • U : Unpredictable, often happening for no apparent reason.
  • R : Resistant to soothing.
  • P : Pain-like expression on the baby’s face, even without any source of pain.
  • L : Long bouts, lasting 30 to 40 minutes or more.
  • E : Evening crying is common – what many parents know as the “witching hour” is now a scientifically proven fact
Bayi tidak akan mati disebabkan oleh menangis yang berpanjangan tetapi berkemungkinan mati disebabkan oleh goncangan.
Bayi anda janganlah dilambung ke atas atau diayun semasa anda bermain dengan mereka.

Rawatan
Bagi bayi yang mengalami “Shaken Baby Syndrome” mereka ini memerlukan rawatan perubatan yang berterusan untuk memastikan kemajuan perkembangan dan tumbesaran bayi tersebut. Begitu juga dengan rawatan penyakit sawan atau sawan babi (epilepsy), fisioterapi dan ‘occupational therapy’ untuk cerebral palsy. Hanya peratusan yang kecil di kalangan bayi dapat disembuhkan kerana otak mereka hanya mengalami sedikit pembengkakan dan kecederaan semasa kejadian.

Kumpulan Sokongan
Bayi boleh dibawa ke klinik atau hospital. Anda boleh membuat permohonan untuk memasukkan anak anda ke hospital sekiranya anda tidak dapat menjaga anak anda di rumah.



Penderaan Fizikal

Definisi
Penderaan fizikal kanak-kanak, juga dikenali sebagai kecederaan tidak sengaja atau dipukul/dera. Keadaan ini berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari perlakuan (atau pengabaian) ibu bapa, penjaga atau mereka yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak.
Di bawah undang-undang Malaysia, seperti mana terdapat di dalam akta kanak-kanak 2001, seorang kanak-kanak dikira sebagai mengalami kecederaan fizikal jika terdapat tanda-tanda kecederaan yang boleh dilihat di tubuh kanak-kanak dan kecederaan ini bukan disebabkan oleh kemalangan dan terdapat bukti seperti luka, calar, melecet, berparut, patah atau kecederaan tulang, terseliuh, pendarahan, luka di kulit, kebakaran, melecur, hilang kewarasan atau hilang fungsi psiko logikal atau kehilangan rambut dan gigi. (Akta kanak-kanak 2001 seksyen 17 (2)(a) )
Dalam definisi ini, memukul kanak-kanak tidak dikira sebagai penderaan fizikal kecuali terdapat kecederaan. Walau bagaimanapun, menggunakan disiplin fizikal tanpa penjelasan dan garis panduan tingkah laku akan mengakibatkan peningkatan kanak-kanak yang hiperaktif dan agresif. Beberapa negara di Eropah telah meluluskan undang-undang melarang hukuman fizikal oleh ibu bapa ke atas kanak-kanak. Di Malaysia, hukuman sebat masih dibenarkan di sekolah.

Hukuman fizikal (rotan)
Kebanyakan ibu bapa merasakan anak mereka perlu dirotan atau merasa kesakitan bagi tujuan mendisiplinkan mereka. ‘Simpan rotan dan manjakan anak’ adalah pepatah yang biasa digunakan oleh ibu bapa atau pengasuh kanak-kanak. Kajian terus menunjukkan memukul kanak-kanak masih diamalkan oleh ibu bapa di semua peringkat sosial, melibatkan kanak-kanak di semua peringkat umur (Newson & Newson 1986, SCAN Data). Kebanyakan kanak-kanak menerima hukuman yang ringan bagi tujuan disiplin fizikal seperti tamparan atau ditarik telinga. Walau bagaimanapun, kebanyakan tamparan atau pukulan adalah disebabkan ibu bapa atau penjaga merasa sakit hati atau kemarahan yang tidak terkawal. Walaupun terdapat perbezaan di antara hukuman fizikal dan penderaan fizikal, kebanyakan ibu bapa yang mendera anak mereka bermula dengan niat untuk menjalankan hukuman fizikal. Bagaimanapun, kecederaan adalah disebabkan oleh kehilangan kawalan ibu bapa.

Epidemiologi
Dari tahun 1999 hingga 2006, kes penderaan fizikal yang dilaporkan kepada Jabatan kebajikan Masyarakat adalah lebih kurang 100 setahun. Di United Kingdom, 1-2% kanak-kanak telah mengalami penderaan fizikal ketika peringkat kanak-kanak lagi. Lebih 3 juta orang dewasa (1 daripada setiap 12 orang dewasa) menyatakan bahawa mereka telah kerap kali atau kadangkala mempunyai tanda lebam akibat penderaan fizikal semasa kanak-kanak dan 9% dari mereka menderitai kesan jangka panjang.
Jumlah kes yang dikendalikan oleh jabatan bergantung kepada jumlah kes yang di laporkan. Laporan kes penderaan fizikal bergantung kepada persepsi seseorang sama ada ia adalah disiplin fizikal atau penderaan, kurang kesedaran tentang bahaya kepada kanak-kanak atau tidak peduli.
Daripada 1660 kes penderaan fizikal yang menerima rawatan di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur daripada tahun 1985-2006, 42% daripada pendera adalah ibu bapa sendiri. Bapa merupakan 22% daripada jumlah pendera dan 16% pendera adalah di kalangan ahli keluarga.
Cara mengenal pasti penderaan fizikal

Aduan terus
Aduan dari kanak-kanak itu sendiri, ibu bapa atau orang yang prihatin

Kecederaan yang boleh dilihat
Kesan dari kecederaan tersebut, ibu bapa biasanya akan membawa anak-anak mereka ke hospital, klinik kesihatan atau pengamal perubatan am.

Kecederaan yang dilihat secara kebetulan
Kecederaan seperti bengkak, benjol atau lebam di kesan oleh guru atau pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak. Biasanya ibu bapa akan menafikan kecederaan, menunjukkan rasa tidak puas hati atau memberi penjelasan yang tidak jelas. Guru-guru dan pengasuh di pusat jagaan kanak-kanak dimestikan membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika mengesyaki penderaan fizikal.
Apabila seorang kanak-kanak diperiksa untuk kecederaan yang berlaku, kadang-kala tidak terdapat tanda kecederaan fizikal yang jelas, terutamanya di kalangan kanak-kanak di bawah umur kerana mereka tidak boleh bercakap atau takut untuk bersuara.
Kemungkinan ia adalah penderaan fizikal jika:
  • Terdapat kesan bakar, bengkak, patah atau lebam di mata
  • Terdapat kesan bengkak atau tanda yang kelihatan terutama selepas tidak hadir sekolah
  • Takut kepada ibu bapa dan memberontak atau menangis apabila tiba masa pulang ke rumah
  • Merasa takut bila dirapati oleh golongan dewasa
  • Laporan kecederaan oleh ibu bapa atau penjaga
Kemungkinan ia adalah penderaan fizikal jika ibu bapa atau penjaga:
  • Memberi penjelasan yang berbeza, tidak meyakinkan atau tiada penjelasan mengenai kecederaan anak mereka
  • Menjelaskan bahawa anak mereka nakal atau sukar dikawal
  • Mengamalkan disiplin fizikal yang tegas/ keras
  • Mempunyai sejarah penyalahgunaan dadah, pengambilan alkohol dan keganasan rumah tangga
  • Sering mendapat rawatan di hospital atau klinik kesihatan
  • Kurang rasa tanggungjawab terhadap keperluan emosi kanak-kanak
Kecederaan Penderaan Fizikal

Kesan lebam:
Bengkak, benjol atau lebam adalah tanda utama yang kelihatan jika kanak-kanak didera. Corak yang tipikal dalam kes penderaan adalah tanda lebam yang dapat dilihat di beberapa bahagian tubuh kanak-kanak, selalunya berbeza-beza saiz dan bentuk serta tempoh. Terjatuh dari tangga tidak akan menunjukkan tanda-tanda seperti ini. Penderaan fizikal perlu diambil kira jika terdapat bengkak dikalangan bayi yang masih tidak boleh bergerak aktif.
Kesan bengkak, benjol atau lebam di bahagian muka, telinga, paha, punggung dan di belakang selalunya berkaitan dengan penderaan fizikal.
Bagi kanak-kanak yang sering mengalami bengkak selepas terhantuk, doktor biasanya akan membuat pemeriksaan bagi mengesan masalah pembekuan darah jika mereka tidak mempunyai rekod penderaan fizikal. Kadang-kala tanda lebam menyerupai peralatan yang digunakan seperti tali pinggang dan rotan dalam kes sebegini, kecederaan bukan disebabkan kemalangan (non-accidental injury).

Patah tulang:
Patah tulang biasanya melibatkan penderaan yang lebih teruk dan merupakan kecederaan yang serius. Patah tulang boleh berlaku di semua bahagian badan, mungkin hanya satu atau lebih daripada satu tulang yang patah dengan umur kecederaan yang berbeza-beza. Mungkin juga tidak terdapat tanda luaran semasa patah dan hanya dapat dikesan melalui imbasan X-ray jika patah itu telah lama berlaku.
Bagi kes penderaan kanak-kanak, kebanyakan patah tulang berlaku di kalangan mereka yang berusia di bawah tiga tahun. Untuk kanak-kanak yang tidak mengalami penderaan, kajian telah menunjukkan bahawa 85% daripada yang mengalami patah tulang berlaku selepas umur 5 tahun.
Bagi penderaan fizikal, patah tulang biasanya berlaku di bahagian tulang rusuk dan tulang selangka, di kalangan kanak-kanak berusia di bawah dua tahun, biasanya di tulang panjang.
Keretakan di tempurung kepala di kalangan kanak-kanak boleh terjadi akibat terjatuh jarang berlaku dan mereka biasanya sihat/tidak sakit. Ini dibandingkan dengan kes penderaan di mana terdapat pendarahan di dalam otak, kanak-kanak tidak sihat dan boleh mengakibatkan kematian. Ini adalah kerana penderaan melibatkan hentakan yang lebih kuat berbanding dengan kes kecederaan yang tidak disengajakan.

Terbakar dan melecur:
Kecederaan akibat terbakar dan melecur biasanya berlaku di kalangan kanak-kanak dan disebabkan kecuaian ibu bapa di mana kanak-kanak diberi perhatian yang kurang atau diabaikan. Kesan lecur yang dilakukan oleh orang dewasa ke atas kanak-kanak biasanya telah dirancang terlebih dahulu contohnya lecuran dalam bentuk seperti seterika. Kanak-kanak yang telah di dera dengan cara begini biasanya akan mengalami ketakutan dan mempunyai masalah untuk menceritakan apa yang telah berlaku ke atas mereka.
Kesan bakar perlu dirawat dengan segera bagi mengelakkan jangkitan dan parut. Kanak-kanak yang mengalami kecederaan sebegini perlu diberi perlindungan. Ahli keluarga juga mungkin perlu diberi pertolongan.
Terdapat pelbagai jenis kecederaan akibat terbakar ataupun melecur seperti ‘contact burns’ (kecederaan yang sama bentuk dengan objek yang diguna seperti seterika), terbakar akibat puntung rokok, terbakar akibat tercelup dalam air panas dan kecederaan akibat terbakar dengan api (pemetik api).


Kecederaan abdomen:
Sesetengah kanak-kanak di tumbuk di bahagian abdomen seperti di perut. Ini boleh menyebabkan kecederaan organ dalaman yang penting seperti hati, pankreas dan usus. Biasanya tiada tanda luaran di bahagian abdomen. Kanak-kanak ini mungkin akan muntah dan bahagian abdomen akan kelihatan kembung serta kelihatan tidak sihat. Kanak-kanak ini perlu dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan dengan segara. Rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa.
Kesan/akibat
Antara akibat penderaan fizikal atau emosi ialah:
  • Sikap hiperaktif, agresif, panas baran dan mudah terangsang menjadi perbuatan ganas/kasar.
  • Tidak boleh faham perasaan orang lain.
  • Masalah emosi seperti buli atau ponteng sekolah.
  • Menyalahkan orang lain.
  • Lemah dalam perhubungan sesama sendiri, akademik dan juga pekerjaan.


Pencegahan

Bagaimana untuk mengelakkan penderaan kanak-kanak?
Cara mengelakkan penderaan – nasihat untuk ibu bapa
  • Berhati-hati apabila memilih/mengambil pengasuh kanak-kanak atau penjaga.
  • Pastikan anda tahu nama penuh mereka dan sekiranya perlu, minta rujukan yang perlu
  • Pilih pusat penjagaan kanak-kanak yang didaftar dengan penjaga yang terlatih
  • Dapatkan orang dewasa lain seperti ahli keluarga anda contohnya nenek atau memasang CCTV sekiranya anda mendapatkan khidmat pembantu rumah
Contoh-contoh cara mendisiplinkan anak anda termasuk;
  • Tekankan cara-cara lain mendisiplinkan anak selain dari menggunakan hukuman fizikal yang melibatkan tekanan fizikal dam emosi. Hukuman “Corporal” menggunakan kawalan luar dan boleh melibatkan penggunaan kuasa dan dominasi dan sama seperti penderaan.
    • Menarik perhatian dan mengubah pandangan
    • Menentukan jangka masa untuk ditenteramkan
    • Menetapkan had peraturan yang sesuai dengan tahap perkembangan dan umur kanak-kanak
    • Penyelesaian masalah
    • Menarik balik kemudahan sementara waktu
  • Sesetengah ibu bapa merotan anak mereka untuk menggalakkan mereka belajar dengan tekun. Sekiranya anak anda tidak mencapai seperti yang diharapkan atau kelihatan lambat dalam pembelajaran dan perkembangan, dapatkan bantuan, anak anda mungkin memerlukan penilaian dari pakar psikologi atau pakar kanak-kanak atau mengalami masalah pembelajaran spesifik seperti Dyslexia.
  • Sekiranya anda mengalami kesulitan dengan bayi anda contohnya tangisan tiada henti dapatkan pertolongan dari perkhidmatan komuniti.
  • Sekiranya anak anda di luar kawalan anda patut dapatkan bantuan.
  • Sesiapa yang mengesyaki penderaan perlu melaporkan segera kepada polis atau Talian Nur hotline.
Bagaimana untuk mencegah berlakunya penderaan seksual kanak-kanak
  • Tingkatkan kesedaran umum berkenaan gangguan/ancaman seksual.
  • Sikap yang positif terhadap mangsa penderaan seksual.
  • Mengajar kanak-kanak berkenaan nilai moral dan sosial dan menghormati orang lain.
  • Elakkan perbezaan peranan antara jantina.
  • Elakkan stigma atau perasaan segan dan malu untuk laporkan gangguan seksual.
  • Apabila kanak-kanak mencapai umur tiga tahun, ibu bapa perlu mula mengajar tentang sentuhan yang baik dan yang tidak dan memberitahu orang dewasa yang sesuai sekiranya mereka tidak selesa dengan sentuhan atau layanan yang diberi terhadap mereka oleh sesiapa pun.


Share:

KEMAHIRAN KEIBUBAPAAN

Kemahiran Keibubapaan – Mengendalikan Tantrum

Pengenalan
Tantrum adalah perkara yang biasa di kalangan kanak-kanak berusia 18 – 48 bulan.
Tantrums adalah sesuatu yang normal tetapi mencabar kesabaran ibu bapa. Tantrum boleh berlaku dalam bentuk kemarahan, kekecewaan, dan tingkah laku yang mencabar. Anak anda boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang-barang, berkelakuan ganas dan kadang-kala, menahan nafas mereka.
Pada umur lebih kurang dua tahun, kanak-kanak akan menguji had kesabaran ibu bapa dan mereka tidak boleh melihat sesuatu perkara daripada pandangan orang lain. Mereka ingin bebas untuk meneroka persekitaran mereka.Pada masa yang sama, ibu bapa atau guru-guru meletakkan had tertentu kerana keselamatan atau sebab-sebab lain.
Jika ini berlaku, mereka berasa kecewa kerana mereka mahu lakukan apa yang mereka mahu. Apabila mereka kecewa, mereka menunjukkan kekecewaan dan kemarahan mereka dengan menangis, memukul dan menjerit. Mereka belum mempunyai kemahiran untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam cara lain. Oleh itu, Tantrums adalah peluang yang baik untuk kanak-kanak belajar bagaimana mengendalikan kekecewaan dan kemarahan.
Selalunya, kanak-kanak hanya akan hentikan Tantrum bila mereka dapat apa yang mereka mahu. Tingkah laku dan reaksi ibu bapa juga menyumbang kepada berapa kerap Tantrum akan berlaku.
Kanak-kanak akan lebih cenderung melakukan Tantrum jika ibu bapa memberikan apa sahaja yang mereka mahukan atau jika ibu bapa memberi perhatian yang lebih kepada tingkah laku yang negatif.
Lihat Tantrum secara positif! Tantrum adalah peluang baik bagi kanak-kanak mempelajari bagaimana menguruskan kekecewaan dan kemarahan, dan juga peluang yang baik bagi ibu bapa untuk mengajar anak-anak mengenai kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi kekecewaan dan kemarahan.
Bagaimana mengendalikan kanak-kanak dengan Tantrum?
Ketika anak anda sedang melakukan Tantrum, pastikan perkara-perkara di bawah:
  • Pastikan anak anda selamat.
  • Pastikan anda sentiasa tenang, dan jangan beri perhatian kepada tingkahlaku tersebut.
  • Jangan hukum anak anda.
  • Jangan berikan ganjaran.
  • Jika boleh, asingkan anak anda.
  • Jangan biarkan reaksi orang lain mempengaruhi bagaimana anda memberi tindak balas kepada Tantrum itu.
Menghukum kanak-kanak kerana Tantrum, dengan menjerit atau memukul; akan menyebabkan Tantrum menjadi lebih teruk dalam jangka masa pendek dan menyebabkan tingkah laku Tantrum kekal dalam jangka masa panjang.
Jika ibu bapa berikan apa yang anak mahukan sebagai satu cara untuk menghentikan Tantrum, Tantrum akan menjadi lebih teruk lagi. Jika ibu bapa melakukan perkara ini, ibu bapa sebenarnya mengajar anak-anak untuk menggunakan Tantrum untuk memanipulasi keadaan, dan menyebabkan tingkah laku ini berterusan hingga dewasa.
Abaikan Tantrum. Ini adalah cara yang terbaik untuk mengendalikan Tantrum. Ibu bapa patut mengajar anak-anak bagaimana untuk mengendalikan kemarahan dan kekecewaan. Cari punca apa yang menyebabkan Tantrum. Dengan mengetahui apa puncanya, ibu bapa boleh bertindak sebelum anak-anak gagal mengawal emosi mereka.
Ibu bapa boleh menggunakan ‘time-out’ jika anak-anak berumur dua tahun atau lebih. ‘Time-out’ adalah cara terbaik jika mereka yang faham mengapa ia digunakan. ‘Time-out’ akan menjauhkan kanak-kanak daripada situasi yang sukar dan akan memberi masa untuk dia bertenang. Ia juga mengajar kanak-kanak bahawa Tantrum adalah satu tingkah laku yang tidak boleh diterima.
Apa yang perlu ibu bapa dilakukan jika Tantrum berlaku di rumah?
Apabila kanak-kanak melakukan Tantrum di rumah, ibu bapa perlu tenang. Bawa anak anda ke tempat yang selamat untuk dibiarkan bersendirian. Tinggalkan bilik, tutup pintu, dan datang semula hanya jika anak tersebut kembali tenang. Jika anda bimbang untuk tinggalkan anak anda berseorangan, anda boleh duduk berhampiran dengannya tetapi jangan berikan sebarang tindak balas terhadapnya. Jangan pandang anak anda. Bila dia kembali tenang, bercakap dan berbincang dengan anak anda mengenai kelakuannya.
Apa yang perlu ibu bapa lakukan apabila Tantrum berlaku di tempat awam?
Bawa anak anda keluar dari kawasan awam sekiranya boleh. Bawa dia ke tempat yang ada privasi. Tempat terbaik adalah di dalam kereta, di tempat duduk bayi. Anda boleh berdiri berhampiran kereta atau duduk di dalam kereta tanpa memberi sebarang tindak balas kepada kelakuan itu. Apabila Tantrum reda, cakap dengan anak anda mengenai kelakuannya. Jika Tantrum berlaku di tempat yang anda tidak boleh bawa anak ke tempat yang lain seperti di dalam kapal terbang, pastikan anda tenang dan abaikan kelakuan anak anda. Sebaik sahaja anak anda tenang, bercakap dengannya mengenai kelakuannya.
Kanak-kanak akan belajar cara yang lebih sihat untuk mengendalikan emosi. Walau bagaimanapun, jika Tantrum berterusan, dia mungkin perlu bantuan untuk mengatasi kemarahan.





Kemahiran Keibubapaan Anak Remaja

Apakah yang berlaku semasa remaja?
Usia remaja adalah dari usia 10 hingga 19 tahun. Pada waktu ini remaja mengalami perubahan pada rupa bentuk badan atau fizikal, pemikiran atau mental, emosi, sosial dan tingkahlaku. Perubahan ini adalah disebabkan oleh perubahan hormon yang terdapat di dalam tubuh semasa proses peralihan dari kanak-kanak kepada dewasa. Semua perubahan ini boleh mendatangkan masalah bagi remaja, ditambah lagi dengan tanggungjawab baru yang perlu dipikul oleh mereka dan ekspektasi daripada orang sekeliling mereka membuatkan mereka berasa tertekan dan bingung dengan perkara yang berlaku ini. Sekiranya mereka dibimbing dan diberikan pengetahuan serta kemahiran untuk menangani semua ini, maka zaman remaja dapat dilalui dengan sempurna dan berjaya.
Memahami remaja
  • Perubahan daripada rupa bentuk badan kadang-kala mendatangkan kerunsingan kepada anak remaja. Terdapat remaja yang tidak berpuas hati dengan rupa bentuk badan mereka. Mungkin ada yang mengeluh ingin lebih tinggi, lebih sasa, lebih ramping dan sebagainya.
  • Perubahan pemikiran iaitu daripada pemikiran konkrit kepada pemikiran abstrak berlaku pada kadar yang lebih perlahan berbanding perubahan pada tubuh badan. Oleh itu kita sering mendengar keluhan ibu bapa mengenai pemikiran kurang matang anak remaja berbanding dengan fizikal mereka. Kematangan berfikir juga dikaitkan dengan pengalaman hidup seseorang dan rata-rata remaja tidak mempunyai pengalaman hidup yang banyak. Oleh itu remaja boleh tersilap dalam membuat keputusan yang seterusnya mendatangkan masalah kepada mereka.
  • Perubahan daripada segi emosi pula menjadikan mereka lebih mudah sensitif kepada kritikan, mood yang berubah-ubah, kurang keyakinan diri, ingin berdikari, mencari identiti sendiri dan self conscious. Mereka mudah marah, memberontak, merajuk dan sebagainya.
  • Daripada segi sosial, mereka ingin dipunyai dan diterima oleh rakan dalam sesuatu kumpulan. Oleh itu ibu bapa perlu mengetahui dan memantau rakan anak mereka kerana rakan yang nakal akan membuatkan mereka turut sama dalam aktiviti yang kurang sihat.
  • Remaja juga suka untuk mencuba perkara-perkara yang baru, kreatif dan mempunyai tenaga yang banyak. Sekiranya kelebihan-kelebihan ini disalurkan kepada saluran yang betul maka remaja boleh berjaya tetapi jika kelebihan-kelebihan ini disalurkan pada saluran yang salah, maka remaja boleh terjebak dalam aktiviti negatif.
Mengapa perlunya hubungan rapat antara ibu bapa dan anak remaja?
  • Hubungan ibu bapa dan anak yang rapat dicirikan dengan pertalian emosi berkualiti yang saling dirasai serta kekal.
  • Hubungan yang rapat ini adalah penting untuk mengelakkan anak-anak daripada terjebak dengan gejala negatif seperti lari dari rumah, penyalah gunaan bahan, ponteng sekolah, jenayah, gengsterisme dan perlakuan seks luar nikah.
Bagaimana membina hubungan ibu bapa dan anak yang rapat?
  • Secara umumnya pada usia 7-13 tahun, anak-anak dididik supaya berdisiplin. Pada usia 14 hingga 21 tahun pula, ibu bapa perlu menjadikan anak-anak mereka sebagai rakan mereka. Ibu bapa perlu membimbing dan bukannya membuat keputusan untuk anak remaja mereka. Apabila ibu bapa bersifat memerintah atau mengarah, maka anak remaja akan menjauhkan diri daripada ibu bapa. Seterusnya jika mereka mempunyai masalah mereka lebih selesa untuk merujuk kepada rakan dan bukannya ibu bapa.
  • Kalau boleh ibu bapa perlu mengelakkan diri daripada memarahi anak di atas sikap anak remaja yang kurang menyenangkan, sebaliknya menasihati mereka. Tidak perlu panjang lebar. Hanya cukup untuk menyampaikan mesej nasihat. Nasihat yang berjela akan menjadi bebelan pada pandangan anak dan mereka akan menutup telinga daripada mendengar nasihat tersebut.
  • Sebagai ibu bapa anda perlu untuk meyakinkan anak untuk menerima diri mereka seadanya. Mereka adalah sempurna dan tidak perlu untuk merasa rendah diri. Keyakinan diri adalah penting untuk kejayaan mereka kelak.
  • Kadang kala, remaja ini sengaja menguji bagaimana reaksi ibu bapa terhadap salahlaku mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu bijak untuk menanganinya. Tunjukkan kewibawaan anda sebagai seorang ibu atau bapa. Tangani salah laku mereka dengan cara paling berhemah. Jangan cepat melenting kerana cara ini menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa.
  • Remaja tidak suka untuk diarah-arah. Mereka lebih suka untuk membuat keputusan sendiri dalam membuat pilihan dan mengenai apa yang ingin mereka lakukan. Oleh sebab itu, jika ibu bapa melarang maka itulah yang akan mereka buat. Oleh itu, ibu bapa perlu membantu remaja untuk membuat keputusan tetapi bukan membuat keputusan untuk mereka.
  • Semasa zaman remaja juga mereka mudah untuk memberontak. Sekiranya ibu bapa juga menunjukkan sifat keras terhadap sikap mereka, nescaya hubungan ibu bapa dan anak akan menjadi renggang. Sebaliknya ibu bapa perlu bersifat tenang dalam menangani masalah ini.
  • Mungkin ada ibu bapa yang menghadapi anak remaja terutama gadis yang cepat merajuk atau menangis bila ditegur. Ini kerana sebagai remaja, emosi mereka belum stabil dan mudah sensitif terhadap perkara-perkara yang bagi ibu bapa merupakan perkara kecil. Bagi remaja pula ia perkara besar. Oleh itu ibu bapa perlu banyakkan bersabar.
  • Luangkan masa bersama anak-anak anda dengan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan umur dan minat mereka. Kongsi pengalaman dalam membina satu perhubungan yang mesra berasaskan kasih sayang dan kepercayaan.
  • Berikan anak-anak anda peluang untuk belajar kemahiran-kemahiran tertentu dan mendapatkan keyakinan diri. Jika mereka ketinggalan atau cuai, cadangkan cara-cara untuk membaiki diri, jangan mengkritik. Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik.
  • Buat peraturan yang jelas mengenai apa yang boleh mereka lakukan dan terangkan kenapa peraturan ini penting. Dengan cara ini, boleh membantu mereka membuat pertimbangan sendiri. Tetap dan tegas dalam peraturan supaya mereka tidak ambil mudah dengan apa yang ditetapkan. Jika tidak, mereka akan mencari alasan untuk tidak dihukum. Jika menghukum, terangkan kepada mereka, apa kesalahan yang telah dibuat. Jadi, mereka tidak akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan. Perlu diingatkan, mungkin mereka akan membantah. Namun, ia bersifat sementara.
  • Jika mereka melakukan kebaikan, beri mereka motivasi dengan menghargai apa yang telah mereka lakukan. Ini boleh menaikkan lagi semangat dan rasa dihargai oleh mereka.
  • Tapis bahan-bahan media khususnya daripada internet yang sampai kepada anak-anak anda. Remaja juga perlukan panduan untuk menjadi seorang pengguna media yang berpengetahuan. Bantu mereka memahami perbezaan antara kehidupan sebenar dan apa yang digambarkan dalam media atau internet.
  • Ibu bapa hendaklah proaktif dalam mengubah persekitaran anak-anak mereka agar menjadi lebih kondusif untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
Tips untuk berinteraksi dengan anak remaja
  • Adalah normal bagi anak remaja ingin berdikari. Berikan mereka peluang untuk berdikari.
  • Berikan anak remaja anda privasi dan benarkan mereka membuat keputusan yang penting.
  • Mengaku kepada diri sendiri, sekiranya anda bertindak keterlaluan. Tidak salah sekiranya anda meminta maaf. Berbincang semula dengan cara yang lebih rasional dengan anak remaja anda.
  • Berbincang dengan anak untuk mengetahui mengapa mereka berkelakuan sedemikian. Lebihkan mendengar penjelasan mereka dan kurangkan bercakap. Cuba fahami pandangan atau perasaan mereka.
  • Cara anda berinteraksi dengan anak remaja anda akan memberikan impak kepada perhubungan anda dan anak remaja. Cuba untuk jalinkan hubungan yang rapat dengan mereka. Apabila remaja rasa rapat dengan anda, kurang kemungkinan untuk mereka terlibat dengan gejala negatif seperti salah guna dadah dan perhubungan seks luar nikah.
  • Dapatkan bantuan atau jaringan sokongan disekeliling anda sekiranya anda tidak dapat menangani isu anak remaja anda sendirian.




Share:

Selasa, 25 Oktober 2016

KESELAMATAN KANAK-KANAK


 GIGITAN ULAR


Jenis-jenis ular yang ada di Malaysia
Terdapat lebih dari 140 spesis ular di Malaysia, tetapi hanya 17 spesis sahaja yang beracun.
Beberapa jenis ular beracun dan berbahaya ialah seperti ular tedung (cobra dan King cobra), ular kapak (Russell’s Viper, Malaysian pit viper dan Green tree pit viper) dan ular ‘kraits’.
alt
Ular Kapak
alt
Ular Tedung
alt
Ular Krait
Ular tedung biasanya dijumpai di kawasan ladang, paya, tanah lapang dan juga di kawasan perumahan di mana mudah bagi ular-ular tersebut mencari mangsanya seperti tikus. Manakala “king Cobra” pula biasanya di jumpai di hutan tebal.
Ular kapak (pit viper) pula mudah dijumpai di kebun getah, ladang, kampung dan hutan. Tempat yang biasa bagi ‘Green tree pit viper’ pula ialah di atas pokok.
Ular ‘Kraits’ biasanya didapati di padang, hutan atau di pinggir kawasan perumahan.
Ular laut selalunya berada di pesisiran pantai dan kawasan muara sungai.
Oleh yang demikian, kes-kes patukan ular sering terjadi kepada mereka yang tinggal atau bekerja dekat dengan kawasan-kawasan tersebut dan semasa aktiviti-aktiviti perkhemahan, berkelah dan riadah di kawasan-kawasan tersebut.
Gejala & tanda-tanda dipatuk ular
Kecedaraan atau kemudaratan akibat patukan ular bergantung kepada jenis dan saiz ular, jumlah racun, bilangan patukan, tempat patukan (kesan patukan menjadi teruk jika dipatuk di kepala, leher dan badan) dan saiz mangsa.
Racun ular bertindak melalui 3 cara yang berlainan :
  • Toksin darah (Haemotoxins)
  • Toksin saraf (Neurotoxins)
  • Toksin jantung (Cardiotoxins)
Sesetengah gejala patukan akan dirasai dalam masa yang singkat selepas dipatuk berbanding dengan sesetengah gejala patukan yang lain. Gejala awal:
  • Sakit setempat, bengkak dan perubahan warna kulit pada tempat patukan (patukan ular laut biasanya tidak mendatangkan reaksi mahupun rasa sakit).
  • Gejala am yang mungkin timbul pada peringkat awal pada 10 hingga 15 minit selepas dipatuk ialah rasa cemas, lemah, muntah, sakit kepala, pening, berpeluh, sesak nafas, perasaan keliru, kekejangan dan kemudian mangsa mungkin akan lumpuh dan seterusnya mati.
Gejala yang berlaku agak lambat:
  • Gejala setempat (di tempat patukan): bengkak, bisul, pendarahan dalam kulit dan otot, dan gejala kurang aliran darah ke anggota serta kulit.
  • Gejala am seperti: pening, muntah, sesak nafas, demam, kejutan (shock), gusi berdarah, darah dalam najis, air kencing atau muntah dan lumpuh.
  • Gangguan deria sentuhan, rasa dan bau; rasa mengantuk, rasa lumpuh pada otot muka dan mata; susah untuk menelan dan pendarahan dalam otak.
Kesan atau Komplikasi patukan ular
Walaupun kebanyakan orang yang dipatuk ular beracun akan sembuh, namun patukan ular boleh menjadi serius dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat. Kesan atau komplikasi yang boleh terjadi ialah :
  • Parut dan kesan kosmetik.
  • Luka, jangkitan kulit dan jangkitan tulang di tempat yang dipatuk.
  • Penyakit Tetanus (kancing gigi).
  • Kerosakan buah pinggang.
  • Kerosakan otak akibat perdarahan dalam otak
  • Luka atau parut kekal dalam mata, jika ular menyembur racun ke mata.
Rawatan patukan ular
JANGAN PANIK!
Cuba ingat rupa ular tersebut. Ini mungkin akan membantu doktor dalam memilih anti venom yang sesuai. Jangan potong atau hisap tempat yang dipatuk.
  • Elakkan dari bergerak jika tiada keperluan bagi mengurangkan racun merebak ke bahagian badan yang lain.
  • Basuh tempat yang dipatuk dengan segera dan berhati-hati.
  • Basuh mata secepat mungkin jika racun ular disembur ke mata.
  • Balut tempat yang dipatuk dengan baik tetapi janganlah terlalu ketat supaya aliran darah tidak terganggu. Jika tempat yang dipatuk ialah tangan atau kaki, buat balutan tambahan bagi keseluruhan tangan atau kaki, mulai dari jari tangan atau jari kaki.
  • Elakkan anggota yang dipatuk dari bergerak dengan menggunakan anduh (splint atau sling).
  • Elakkan mangsa dari bergerak sehingga pertolongan tiba. Bawa bentuk-bentuk pertolongan kepada mangsa bagi mengelakkan mangsa bergerak atau berjalan.
  • Hantar mangsa ke hospital yang berdekatan.
Rawatan di hospital :
  • Mangsa akan diletak di bawah perhatian yang rapi
  • Rawatan termasuk rawatan luka, jagaan anggota dan rawatan sokongan
  • Rawatan sokongan termasuk melegakan kesakitan, rawatan jangkitan , pemindahan faktor pembekuan darah, bantuan pernafasan dan sebagainya mengikut keperluan.
  • Doktor juga akan memberi ubat khas antivenom yang spesifik bergantung kepada tahap keseriusan patukan
  • Jika perlu, suntikan imunisasi atau imunisasi tambahan untuk penyakit tetanus mungkin akan diberi.
Bagaimana mengelak dari dipatuk ular
  • Pakai kasut yang menutup kaki atau seluar panjang semasa berjalan di kawasan semak
  • Hentak kaki atau lakukan gegaran dengan kaki semasa berjalan di tempat gelap atau semak
  • Jangan masukkan tangan ke dalam lubang, rekahan batu atau tanah
  • Jauhi dari ular yang mati kerana ramai orang telah dipatuk 2 atau 3 kali oleh ular yang disangka telah mati.
  • Elakkan pergi ke kawasan ular semasa suasana gelap.



JATUH

Pengenalan
Jatuh adalah antara kemalangan kanak-kanak di rumah yang paling sering berlaku di Malaysia. Kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun lebih cenderung untuk cedera akibat jatuh. Mereka lebih berisiko disebabkan oleh tahap perkembangan dan keadaan persekitaran mereka.
Jatuh boleh berlaku dimana-mana sahaja:
  • Dalam rumah. Contohnya jatuh dari :
    • Perabot
    • Tangga
    • Beranda
    • ‘Baby walker’
  • Di kawasan luar rumah. Contohnya :
    • Di padang permainan.
    • Semasa menggunakan alat-alat permainan.
Kecederaan akibat jatuh
Akibat jatuh, kanak-kanak akan mengalami pelbagai jenis kecederaan seperti berikut:
  • Tisu lembut – calar, terseliuh, luka dan melecek.
  • Patah – bengkak, sakit dan cacat anggota.
  • Kepala – bengkak kepala, berdarah di telinga, hidung dan mulut, mengantuk, muntah, sawan dan pengsan.
  • Kecederaan organ dalaman.
Kesan serius akibat jatuh
  • Kecederaan otak yang kekal, menyebabkan tulang patah dan tumbesaran terbantut.
  • Kecederaan serius boleh menyebabkan kerosakan organ yang kekal atau kematian.
Rawatan
Rawatan yang diperlukan bergantung kepada jenis dan keterukan kecederaan.
  • Jika kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan kecil misalnya calar dan terseliuh, tekap kawasan cedera dengan air batu. Berikan anak anda ubat penahan sakit (sirap paracetamol) untuk mengurangkan kesakitan. Rehatkan anggota yang tercedera.
  • Jika anak anda mendapat luka, cuci dengan air, tekap kawasan cedera dengan ibu jari anda beberapa minit untuk memberhentikan darah mengalir dan rehatkan anggota yang tercedera. Balut dengan kain bersih.
  • Jika anda mengesyaki tulang anak anda patah, balutkan dengan selimut, kain yang tebal atau bantal untuk menghalang pergerakkan. Gunakan kain untuk mengampu tulang yang patah dibahagian tangan dan lengan.
  • Periksa kawasan balutan untuk pastikan pergerakan darah yang normal. Jika kulit menjadi sejuk atau berubah warna, longgarkan balutan.
  • Jika anda mengesyaki anak anda cedera serius, sila dapatkan bantuan doktor.
Pencegahan
Kebanyakan kemalangan terjatuh boleh dicegah. Terdapat langkah-langkah untuk mencegahnya :
Tangga
  • Pagarkan anak tangga bawah dan atas dan pintu rumah.
  • Pastikan semua tangga diterangi cahaya lampu.
  • Pastikan anak tidak dibiarkan berseorangan di tingkat atas, beranda atau di tempat yang tinggi.
Lantai
  • Simpan semua permaidani yang dilipat dan barang-barang supaya tidak berselerak di lantai.
  • Lapkan lantai basah akibat tumpahan air atau makanan dengan segera bagi mengelakkan lantai licin.



     KERACUNAN


Pengenalan
Keracunan adalah penyebab utama penyakit di kalangan kanak-kanak. 90% masalah keracunan berlaku di rumah.
Kanak-kanak berusia 1 hingga 4 tahun adalah berisiko tinggi mengalami keracunan kerana sifat ingin tahu semula jadi mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru.
Sumber racun yang biasa terdapat di rumah:
  • Minyak tanah dan hidrokarbon (petrol).
  • Ubat-ubatan.
  • Racun serangga, racun rumpai.
  • Bahan pencuci, pengilat, kaustik.
Apa yang perlu dilakukan sekiranya anak anda terkena racun?
  • Bersihkan racun daripada mata, kulit dan mulut anak anda.
  • Sentiasa menyimpan nombor telefon Pusat Racun Negara (04-6570099) di tempat yang mudah dicapai (cth : di pintu peti sejuk).
Mata
  • Cuci mata dengan air mengalir sekurang-kurangnya 5 minit dengan mata terbuka.
  • Jangan biarkan anak anda menggosok mata yang terkena racun..
Kulit
    jatuh2
  • Cuci racun yang terkena kulit dengan air yang banyak.
  • Tanggalkan pakaian yang terkena racun.
Mulut
  • Keluarkan semua ubat daripada mulut kanak-kanak.
  • Periksa untuk kesan terbakar, luka atau iritasi.
Jika terdedah kepada gas atau asap:
  • Pastikan anak anda mendapat udara segar.
  • Longgarkan semua pakaian.
  • Jika tidak bernafas, bersihkan kerongkong anak anda dan mulakan pernafasan mulut ke mulut (CPR). Teruskan sehingga bantuan tiba.
  • Jika tertelan racun, segera bawa anak anda ke hospital berdekatan.
  • Jangan galakkan anak anda muntah jika dia pengsan atau mendapat sawan akibat daripada keracunan minyah tanah / asid / alkali.
  • Baringkan anak anda pada posisi mengiring dan cucikan mulut daripada bahan racun tersebut.
  • Bawa anak anda ke hospital dengan membawa contoh racun.
Pencegahan
  • Awasi anak anda.
  • Simpan ubat-ubatan / alkohol di tempat yang tidak boleh dilihat atau dicapai oleh anak anda.
  • Simpan ubat-ubatan dalam bekas yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak dan labelkan bekas tersebut.
  • Berikan ubat dengan sukatan yang betul.
  • Ubat yang tidak digunakan perlu dibuang / dimusnahkan.
  • Kendalikan makanan dengan selamat – sentiasa mencuci tangan sebelum mengendalikan makanan, masak daging mentah dan telur serta cuci buah-buahan dan sayur-sayuran.
  • Didik anak anda mengenai asas keselamatan.
  • Elakkan menyimpan racun dalam bekas minuman berkarbonat untuk mengelakkan anak anda keliru dan meminumnya.
 





LEMAS


Pengenalan
Lemas mudah berlaku di kalangan kanak-kanak. Mereka tidak boleh melindungi diri sendiri dengan sepenuhnya. Lemas boleh berlaku dalam kolah mandi, bekas atau baldi yang berisi air.
Kanak-kanak tadika lebih kerap lemas di longkang, parit, perigi, kolam renang manakala, murid-murid sekolah kerap lemas di sungai, tasik dan bekas lombong yang berdekatan dengan rumah mereka. Kebanyakan kejadian lemas berlaku kerana kurang pengawasan dari orang dewasa.

Tanda & gejala
Lemas berlaku dengan cepat tanpa amaran.
Komplikasi
Hampir lemas boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal.
Rawatan
Kanak-kanak perlu dibawa ke hospital dengan segera. Jika kanak-kanak tersebut tidak bernafas, mulakan langkah-langkah pertolongan cemas.
Semasa di hospital, kanak-kanak tersebut akan diperiksa untuk mengesan komplikasi. Penjagaan kanak-kanak bergantung kepada tahap keseriusan lemas seperti:
  • Bantuan penafasan melalui oksigen
  • Mengurangkan tekanan dalam perut dengan menggunakan tiub supaya paru-paru boleh berkembang
  • Memastikan kandungan glukos dan oksigen yang cukup di otak bagi mengurangkan kerosakan otak kekal
  • Rawatan-rawatan terhadap komplikasi dan kecederaan yang lain
Pencegahan
  1. Di rumah
    • Pastikan kanak-kanak diawasi oleh orang dewasa ketika bermain di tepi sungai/parit/kolam.
    • Jangan tinggalkan bayi/kanak-kanak berseorangan/tanpa pengawasan. Jika anda perlu menjawab telefon atau mengambil tuala, bawa bayi bersama anda.
    • Kosongkan bekas air atau timba jika tidak digunakan. Terbalikkan bekas air atau timba yang kosong.
    • Tutup takungan/bekas air samada di dalam atau di luar rumah.
  1. Di kolam renang
    • Nasihatkan anak anda agar tidak makan atau mengunyah gula-gula getah semasa berenang, menyelam atau berada dalam air.
    • Pastikan terdapat pengawal keselamatan yang berkelayakan bertugas semasa berenang. Sekiranya tiada, jangan biarkan anak anda berseorangan.
    • Pagarkan kolam renang rumah anda.
    • Gunakan pelampung semasa berenang atau semasa berada di atas bot/skuter air/papan luncur.
    • Gunakan topi renang semasa berenang bagi mengelakkan rambut tersedut ke dalam saluran penyedut yang terdapat dalam kolam renang.
    • Pastikan saluran penyedup kolam ditutup bagi mengelakkan sedutan berlaku.
  1. Kawasan Takungan Air yang Lain
    • Ajar anak kecil /remaja anda mengenai tanda-tanda bahaya jika berenang di kawasan larangan tanpa pengawasan orang dewasa. Nasihatkan anak-anak remaja jangan menerima cabaran daripada kawan-kawan.
    • Beri amaran bahaya bermain berhampiran parit / longkang yang besar.
    • Pelajarilah cara-cara pemulihan pernafasan resusitasi jantung.
Peraturan-peraturan berenang yang perlu dipatuhi oleh anak anda :
  • Pastikan kanak-kanak berenang bersama kawan-kawan atau ibubapa.
  • Jangan terjun menjunam ke dalam air.
  • Jangan menolak atau terjun ke atas orang lain.
  • Bersedia dalam apa jua keadaan kecemasan.






KESELAMATAN DI TAMAN PERMAINAN


Pengenalan
Walaupun menyediakan tempat untuk bergembira, bersenam dan beriadah, taman permainan kanak-kanak boleh menjadi suatu tempat yang berbahaya jika keselamatan tidak di ambil kira. Setiap tahun, anggaran 250,000 kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah di Amerika Syarikat mengalami kemalangan di taman permainan dan memerlukan rawatan kecemasan.
Di Malaysia, dianggarkan 3000 kes kemalangan berlaku di taman permainan setiap 3 bulan. Kemalangan selalunya melibatkan kanak-kanak berumur di antara 5-9 tahun. Kemalangan yang kerap dilaporkan melibatkan kawasan permukaan taman kanak-kanak. (Rujukan : Kemalangan Epidemiology di Malaysia).

Kemalangan kanak-kanak ini boleh berlaku jika mereka :
  • Jatuh atau terpintas dari peralatan permainan, dan jatuh dari tempat tinggi. Kes jatuh ini merangkumi 75% daripada kemalangan di taman permainan.
  • Terhantuk atau terlanggar peralatan permainan atau rakan-rakan ketika sedang bermain.
  • Terluka atau tercalar.
Peralatan permainan yang kerap dikaitkan dengan kemalangan adalah buaian, palang bergayut, gelunsur dan jongkang-jongkit.
Pengawasan kanak-kanak
  • Kanak-kanak perlu sentiasa diawasi di taman permainan.
  • Sediakan tempat duduk untuk ibubapa dan penjaga.
  • Perhatikan tingkah-laku seperti bergaduh, tolak-menolak, penggunaan peralatan diluar kawasan permainan yang disediakan.
  • Pastikan kanak-kanak tidak membawa basikal atau berkaitan ke dalam kawasan permainan supaya kemalangan dapat dielakkan.
  • Pastikan kanak-kanak berpakaian sesuai ketika berada di taman permainan untuk mengelakkan dari terjatuh dan pakaian atau rambut dari tersangkut dengan peralatan.
Penyelengaraan taman permainan kanak-kanak
  • Pastikan taman permainan dibaiki dengan baik, tanpa bucu-bucu yang tajam atau bergeriji.
  • Tiada tapak permukaan yang terbiar.
  • Tiada peralatan yang telah lusuh atau hilang.
  • Besi, getah, plastik atau kayu telah diperkemaskan dan tidak mereput.
  • Permukaan perlu sentiasa diselenggara dan bebas dari bucu-bucu tajam.
  • Semua peralatan perlu dipasang selamat dengan permukaan tanah.
  • Semua peralatan perlu sentiasa perketatkan supaya tiada yang longgar.
Langkah-langkah keselamatan di taman permainan kanak-kanak
Ibubapa perlu memastikan anak-anak mereka bermain ditaman permainan yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sempurna. Jika taman permainan di kawasan perumahan didapati tidak selamat untuk kanak-kanak, sila maklumkan kepada pihak berkenaan.
Di antara ciri keselamatan yang disarankan :
  • Ketinggian peralatan
    • Ketinggian peralatan tidak perlu lebih dari 8 kaki, dan jika lebih, “guard-rails” (tinggi di antara 38 inci) perlu dipasang.
  • Tapak permukaan dan kawasan untuk jatuh
    • Permukaan untuk jatuh perlu merangkumi 6 kaki mengelilingi peralatan permainan terutama di bawah dan di antara buaian, gelunsur dan lain-lain. Elakkan permukaan yang dibuat daripada “asphalt”, konkrit, rumput dan tanah. Di antara permukaan yang selamat ialah:
      • Pasir (kedalaman 10 inci)
      • Serpihan kayu proses (kedalaman 12 inci)
      • Tikar-luar getah (rujuk American Academy of Paediatrics Public Education Brochure).
  • Jerangkap
    • Ruangan di antara 3.5 hingga 9 inci diperlukan supaya kanak-kanak tidak terperangkap kepala mereka. (Piawaian Keselamatan Taman Permainan SIRIM).
  • Skru dan pepaku yang menonjol
    • Risiko yang berkaitan merupakan tersangkut pakaian yang mengakibatkan tercekik dan tercucuk yang mengakibatkan luka pada badan dan mata.
  • Terjatuh/Terpintas
    • Pastikan tiada tapak konkrit yang terbiar, curaman, akar kayu atau batu yang boleh mengakibatkan mereka terjatuh atau terpintas.
  • Peralatan berkaitan dengan umur
    • Kanak-kanak pra-persekolahan dan bersekolah perlu diasingkan peralatan permainan mereka.

Contoh kawasan permainan yang bahaya





TERCEKIK

Pengenalan
Tercekik adalah salah satu sebab kematian yang tidak disengajakan di kalangan kanak-kanak. Saluran pernafasan dan tenggorok yang sempit menyebabkan mereka berisiko untuk tercekik.
Ketika tercekik, salur pernafasan dan tenggorok yang tertutup akan menghalang oksigen ke paru-paru dan seterusnya ke otak. Ini akan menyebabkan kematian. Sebarang objek bersaiz kecil boleh menyebabkan tercekik. Ini termasuklah bahan makanan, perkakasan rumah dan alat permainan.
Apakah tanda-tanda seseorang itu tercekik
Kanak-kanak mungkin akan mengalami:
  • Sesak nafas secara tiba-tiba.
  • Bunyi nafas tidak normal (bunyi seperti siulan).
  • Menggenggam kerongkong.
  • Kawasan mulut dan bibir kebiru-biruan.
  • Bernafas dengan cepat.
  • Lubang hidung kembang-kempis setiap kali bernafas.
  • Pengsan.
  • Berhenti bernafas.
Kadang kala kanak-kanak akan tersedak (seperti kacang tanah) jika objek tersebut sangat kecil. Mereka akan mengalami :
  • Batuk yang berterusan.
  • Termengah-mengah.
  • Tiada apa-apa tanda.
Komplikasi
  • Jangkitan pada paru-paru seperti radang paru-paru.
  • Kerosakan otak akibat kekurangan oksigen.
  • Kematian akibat radang/ bengkak paru-paru yang teruk atau kekurangan oksigen ke otak.
Apakah yang perlu dilakukan jika anak anda tercekik?
Langkah-langkah jika anak anda tercekik :
  1. LAKUKAN :
    • Tunggu sehingga mangsa batuk.
    • Minta bantuan.
    • Buka mulut anak anda perlahan-lahan – keluarkan objek jika jelas kelihatan.
    • Jika tidak berjaya, tepuk di antara tulang belikat mangsa dengan tapak tangan anda dengan kedudukan kepala mangsa lebih rendah dari badan.
  1. JANGAN :
    • Masukkan jari anda ke dalam mulut mangsa.
    • Mendongakkan kepala mangsa.
Jika mangsa berhenti bernafas, pengsan dan badan menjadi biru, segera lakukan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR) sementara menunggu bantuan pakar.
BAGI KANAK-KANAK DEWASA
  • Bantu kanak-kanak untuk berdiri jika mereka masih sedar.
  • Posisikan badan anda di belakang mereka.
  • Lakukan Heimlich manouvre.
Jika kanak-kanak pengsan laksanakan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR).
Langkah-langkah pencegahan :
  • Jangan benarkan anak anda makan ketika bermain.
  • Sediakan makanan dalam bentuk saiz kunyahan.
  • Pastikan lantai, meja dan tempat mereka bermain bebas dari objek-objek yang kecil seperti butang, guli, duit syiling, pin dan manik-manik.
  • Elakkan makanan yang mudah tercekik bagi kanak-kanak seperti kacang tanah, gula-gula dan bertih jagung.
  • Elakkan memberi alat permainan yang mempunyai bahagian-bahagian yang kecil kepada kanak-kanak.
  • Pelajari bantuan kecemasan dan langkah-langkah yang patut dilakukan jika anak anda tercekik.



MELECUR &MELEPUH

Pengenalan
Melecur merupakan kecederaan biasa yang mudah di cegah. Melecur mudah berlaku akibat kecuaian. Kecederaaan akibat melecur biasanya berlaku ke atas kanak-kanak kerana sifat ingin tahu dan gerakan motor yang belum matang.
Sebab-sebab biasa melecur boleh berlaku ialah:
  • Lepuhan akibat daripada air panas atau cecair masakan.
  • Objek panas seperti sterika, dapur.
  • Haba daripada minyak masak yang terlampau panas, percikan api.
  • Kebakaran bahan kima yang menghakis.
  • Kebakaran elektrik seperti bermain dengan plug elektrik,sambungan wayar dan soket yang terdedah.
  • Terdedah terlalu lama kepada pancaran cahaya matahari.
Tanda dan gejala
Melecur terbahagi kepada :
  • Permukaan Kulit
    • Ia hanya melibatkan permukaan kulit sahaja. Kulit menjadi merah dan sakit, tetapi tiada gelembung.
  • Kulit Dalam
    • Ia melibatkan lapisan luar kulit. Selain kulit menjadi merah, panas atau sakit, kulit juga melepuh.
  • Keseluruhan Kulit
    • Ia melibatkan semua lapisan kulit termasuk tisu dalaman kulit. Kulit kelihatan pucat, keras dan menggelupas. Ia tidak menyakitkan dan mungkin terdapat kerosakan pada salur saraf.

Terbakar Kulit Dalam
Komplikasi
Komplikasi yang serius boleh berlaku sekiranya sebahagian besar permukaan kulit melecur dan melibatkan bahagian dalaman kulit :
  • Jangkitan – demam, bernanah, sakit yang teruk dan kulit menggelembung.
  • Komplikasi jangka panjang ialah terjadinya parut.
Rawatan
Jika sebahagian kulit sahaja yang melecur(kurang daripada saiz tapak tangan), ia boleh dirawat di rumah.
  • Lucutkan pakaian yang ketat dan barang hiasan dengan berhati-hati.
  • Siram kawasan yang melecur di bawah aliran air selama lebih kurang 15 minit.
  • Sapukan krim atau losyen yang sesuai.
  • Jangan sesekali menggunakan minyak gris, mentega, minyak rambut atau ubat gigi yang mana ianya boleh menyebabkan jangkitan.
  • Minum ubat paracetamol (sirap) untuk mengurangkan kesakitan.
  • Jangan pecahkan gelembung. Sekiranya ia pecah, biarkan sahaja.
  • Anda perlukan imunisasi untuk menghalang tetanus. Dapatkan khidmat doktor.
Rawatan lanjutan di hospital perlu diambil sekiranya :
  • Keseluruhan kulit terbakar.
  • Kulit yang melecur melebihi saiz tapak tangan mangsa.
  • Jika ia melibatkan bahagian mulut, tekak, mata, telinga, muka atau kawasan kelamin.
  • Melecur disebabkan bahan-bahan kimia.
  • Melecur akibat renjatan elektrik.
  • Terjadi kepada kanak-kanak yang mempunyai alahan.
Ikut arahan bagi tahap melecur dan melepuh yang dialami. Balut kawasan yang melecur dan melepuh dengan kain yang bersih atau pembalut. Anak anda memerlukan suntikan tetanus sekiranya belum pernah mendapatkan suntikan tersebut sebelum ini atau suntikan terakhir yang diterima adalah lebih daripada 5 tahun.

Pencegahan
  • Jauhkan kanak-kanak daripada dapur yang panas, air panas dan barang-barang elektrik.
  • Jangan biarkan kanak-kanak dalam ‘baby walker’ di kawasan dapur.
  • Jangan mendukung anak kecil ketika memasak.
  • Jangan membawa masakan panas ketika anak-anak berada berhampiran.
  • Jauhkan mancis, pemetik api dan rokok daripada kanak-kanak.
  • Jangan biarkan anak-anak bermain dengan barangan elektrik di rumah.
  • Jangan biarkan wayar barangan elektrik berjuntai dan simpan sterika panas di tempat yang selamat.
  • Jangan gunakan alas meja kerana kanak-kanak kecil boleh menariknya jatuh.
Pemulihan
  • Rawatan urutan kanak-kanak dan rawatan terapi bergantung pada tahap kecederaan.
  • Sesetengan kecederaan memerlukan rawatan seperti pembedahan untuk menampal kulit.



Share:

CALENDER

JOM SEMBANG

Blogger templates