'One Stop Center' untuk info-info Kesihatan Yang Terkini

Rabu, 26 Oktober 2016

KESIHATAN FIZIKAL

Remaja & Diet Kilat (Crash Diets)

Remaja mengambil berat tentang imej fizikal mereka. Remaja yang lebih berat badan atau obes akan mengalami imej diri negatif dan keyakinan diri yang rendah. Mereka teringin berat badan body mass index (BMI) yang ideal. Ada yang akan berusaha mencapai BMI serendah mungkin. Pada tahun 2006, kajian yang dijalankan oleh University of Minnesota mendapati  62.7% remaja perempuan mempraktikkan kaedah menurunkan berat badan yang tidak sihat. Seramai 21.9% pula menggunakan kaedah yang sangat berbahaya. Kadar peratusan bagi remaja lelaki adalah separuh berbanding remaja perempuan.
 
Apabila disebut “saya akan mulakan diet”, tafsiran kebanyakan orang adalah ianya bersamaan kurang makan atau cara pemakanan berbeza untuk mengurangkan berat badan.
Semasa diet ramai yang menganggap makanan sebagai musuh mereka. Ramai remaja akan mencuba Crash diet untuk mengurangkan berat badan. Ramai yang tidak sedar bahawa mengurangkan berat badan secara mendadak membahayakan kesihatan seseorang. Anda hanya akan kehilangan otot dan air daripada badan dan ia tidak membantu anda mengurangkan berat badan secara optimum.

INGAT. Hanya cara pemakanan dan pemakanan yang teratur boleh memecahkan lemak berlebihan dan membantu anda mencapai berat badan yang unggul dan kecergasan badan dan minda pada tahap optimum.  

JANGAN crash diet!!
Pengurangan berat badan secara mendadak amat berbahaya untuk kesihatan anda. Pemakanan yang seimbang amat penting di zaman remaja.






Asma

Asma ialah penyakit kronik saluran udara dalam sistem pernafasan. Dalam bahasa atau dialek lain, ia dikenali sebagai lelah, semput dan penat dalam bahasa Melayu, dan ‘Chei Har’ dalam bahasa Cina. Walau bagaimanapun, penggunaan terma-terma dan turut digunakan bagi menggambarkan masalah pernafasan yang lain.
Bagaimana sistem pernafasan anda berfungsi?
Sistem pernafasan membawa masuk udara yang kaya dengan oksigen dan membawa keluar karbon dioksida. Saluran udara dalam sistem pernafasan adalah seperti tiub panjang. Ia bermula dari lubang hidung, ke pharynx, larinks dan ke trakea (atau lebih dikenali sebagai paip angin) dan akhirnya ke saluran pernafasan kecil di kedua-dua belah paru-paru. Saluran pernafasan yang lebih kecil dikenali sebagai bronkiol. Pertukaran gas berlaku pada bronkiol.
Dinding bahagian dalam tiub dibarisi oleh lapisan mukosa yang mempunyai rambut halus dipanggil silia. Ia juga mempunyai lapisan otot licin.
Apakah asma?
  • Ia adalah penyakit paru-paru.
  • Ia disebabkan oleh keradangan kronik saluran pernafasan.
  • Proses keradangan adalah sebahagian daripada sistem pertahanan (imun) badan kita. Ia berfungsi sebagai mekanisme pertahanan. Ia melindungi badan kita daripada penyebab kerengsaan setiap kali kita bernafas.
  • Penghidap asma mempunyai saluran udara yang sensitif kepada sesetengah bahan yang dihidu. Ini dipanggil hiperresponsif. Ia menyebabkan keradangan.
  • Keradangan menyebabkan lapisan mukosa membengkak, lebih banyak dihasilkan untuk bertindak sebagai palam mukus dan otot mengecut yang dikenali sebagai bronkospasma. Ini menyebabkan lumen saluran pernafasan sempit dan sekaligus menyebabkan kesukaran bernafas.
Siapakah yang mendapat asma?
Anda berisiko menghidap asma jika :
  • Seseorang dalam keluarga anda menghidap asma (keturunan).
  • Anda mempunyai jangkitan dada yang teruk semasa kecil.
  • Ahli keluarga anda mempunyai reaksi alahan atopi (yang bermakna anda boleh mewarisi tindak balas hiper-responsif kepada alahan).
  • Terdedah kepada perengsa secara berterusan
Bagaimana untuk mengetahui anda menghidap asma?
Anda mungkin menghidap asma bronkial jika :
  • Episod batuk yang berulang dengan berdehit.
  • Sesak dada dan kesukaran bernafas secara tiba-tiba.
  • Keturunan anda menghidap asma atau alahan.
  • Anda mengalami gejala ini jika anda terdedah kepada perengsa atau keadaan tertentu.
Berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan pengesahan. Doktor akan meminta anda menyatakan sejarah serangan asma secara terperinci. Sebagai contoh, doktor akan membantu anda mengenal pasti apa yang mencetuskan serangan dan corak serangan asma. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh terutamanya paru-paru. Kadang-kala anda mungkin perlu menjalani ujian sinaran x (x-ray) atau ujian pernafasan.
Apa yang anda alami semasa serangan asma?
Apabila diserang asma anda akan mengalami :
  1. Batuk – Batuk adalah refleks biasa untuk membersihkan saluran yang tersumbat. Itulah sebabnya semasa serangan asma anda tidak digalakkan untuk mengambil ubat batuk melainkan dinasihatkan oleh doktor anda.
  2. Sukar bernafas atau sesak nafas – Saluran udara yang sempit menyebabkan anda mengalami kesukaran bernafas.
  3. Pernafasan berbunyi atau berdehit kerana anda bernafas melalui saluran udara yang sempit dan banyak lendir.
  4. Sesak dada.
  5. Orang di sekeliling anda akan perasan anda bekerja keras untuk bernafas. Hidung anda kelihatan merah, otot leher akan kelihatan dan ruang di antara tulang rusuk akan ditarik kerana anda bernafas.
Serangan asma yang teruk menyebabkan anda sukar bercakap. Dalam keadaan ini, anda perlu segera dapatkan rawatan doktor.
Adakah rawatan untuk asma?
Asma bronkial adalah penyakit kronik seperti hipertensi dan diabetes. Ini bermakna, jika anda disahkan menghidap asma, anda memerlukan rawatan sepanjang hayat. Ia tidak boleh dirawat.
Berita baik!
Anda boleh mengawal asma dan anda boleh menjalani hidup normal seperti orang lain.
Bagaimana mengawal asma?
  • Fahami masalah anda. Dapatkan nasihat doktor walaupun anda berjumpa doktor dengan ibu bapa anda. Libatkan diri anda dalam pengurusan penyakit asma anda.
  • Ketahui pencetus asma anda. Ketahui punca anda mendapat serangan asma seperti terdedah kepada asap rokok, cuaca sejuk atau panas yang melampau, tekanan, melakukan senaman berat atau makanan atau pewarna yang menyebabkan alahan.
  • Kerap berjumpa doktor. Bincang dengan doktor tentang masalah anda dan bentuk satu pelan tindakan asma bersama-sama.
  • Ketahui ubat anda. Ketahui apa, bila dan kekerapan mengambil ubat dan tujuan anda mengambil ubat tersebut.
  • Ambil ubat anda seperti yang dinasihati oleh doktor.
Apakah pencetus serangan asma?
Bagaimana untuk menghindari pencetus serangan asma?
Pencetus Apa yang boleh anda lakukan
Perengsa/Asap
  • Berhenti merokok
  • Minta ahli keluarga untuk berhenti merokok
  • Jangan benarkan orang lain untuk merokok di sekeliling anda, rumah dan dalam kereta anda walaupun anda tidak berada di dalamnya. Debu asap mungkin melekat pada perabot atau kerusi kereta. Menghidunya boleh mencetuskan serangan
  • Elakkan menggunakan bahan kimia yang berbau kuat
  • Elakkan berada di tempat yang berlakunya pembakaran terbuka
Alahan
  • Bulu haiwan : Pastikan haiwan peliharaan anda diletakkan di luar rumah
  • Hama : Gunakan penutup kalis habuk untuk bantal dan tilam, keluarkan permaidani dari rumah atau vakum secara berkala
  • Lipas : Gunakan racun serangga, simpan makanan dan sampah di dalam bekas tertutup
  • Acuan : Sentiasa menjaga kebersihan rumah Betulkan paip yang bocor. Gunakan alat penyahlembap udara.
  • Debunga : Elakkan menghidu bunga atau elakkan keluar pada musim bunga
Ubat-ubatan Kenal pasti ubat-ubatan yang menjadikan anda sensitif
Senaman Dapatkan nasihat doktor anda sebelum terlibat dalam sebarang aktiviti sukan yang berat
Jangkitan/refluks Dapatkan nasihat doktor untuk rawatan berkaitan jangkitan/refluks
Tekanan emosi Lakukan senaman bagi mengurangkan stress. Dapatkan rehat secukupnya
Ubat-ubatan untuk asma
Terbahagi kepada 2 bahagian :
  • Ubat pelega :
    • Berguna untuk melegakan gejala-gejala asma dan menghilangkan serangan sebelum ia menjadi teruk.
    • Ia harus digunakan semasa tanda awal serangan asma dikesan.
    • Tidak sesuai digunakan apabila serangan telah menjadi teruk kerana anda tidak dapat bernafas dengan betul dan penyelarasan sukar dilakukan.
    • Apabila digunakan dengan betul, ia akan melegakan gejala dengan cepat.
    • Ubat yang disarankan adalah agonis Beta2 atau Salbutamol yang dihidu.
    • Ia melegakan bronkospasma dengan merehatkan otot di saluran pernafasan.
    • Ini menyebabkan saluran pernafasan terbuka dan membolehkan udara mengalir dengan lebih baik dan gas dalam paru-paru bertukar dengan lebih baik.
    • Salbutamol juga boleh didapati dalam bentuk tablet. Namun, pengambilan secara oral boleh menyebabkan lebih banyak kesan sampingan seperti jantung berdebar, menggigil dan lain-lain.
  • Ubat pencegah atau kawalan jangka panjang.
    • Ubat ini menghalang keradangan dan menjadikan pernafasan anda lebih stabil dan kurang sensitif kepada perengsa.
    • Ubat-ubatan yang biasa digunakan adalah kortikosteroid (ICS) yang dihidu kerana ia adalah antiradang yang berkesan.
    • Walaupun ubat-ubatan ini adalah sejenis steroid, kesan sampingan daripada sedutan steroid adalah sangat minimum dan memberi lebih faedah berbanding risiko yang dihadapi.
    • Ubat-ubatan ini sangat berbeza daripada steroid yang diambil secara oral atau yang digunakan oleh atlet.
    • Dos ICS yang diambil menggunakan alat sedut (inhaler) adalah lebih kecil berbanding dos ICS yang diambil secara oral. Ia diangkut ke paru-paru secara langsung tanpa memasuki peredaran sistemik. Oleh itu, kesan sampingan dapat dikurangkan.
    • Namun, ubat ini tidak melegakan gejala akut. Ia mengambil masa sehingga 2 minggu untuk menunjukkan kesan. Oleh itu, pematuhan regim rawatan adalah sangat penting.
    • Ubat-ubatan kawalan jangka panjang lain yang boleh digunakan adalah :
      • Long-acting Beta 2 agonist yang dihidu
      • Natrium chromoglycate yang dihidu
      • Tablet Teofilin (neulin)
      • Tablet anti-leukotriene
Apakah alat sedut (inhaler)?
  • Inhaler adalah alat yang mengandungi ubat-ubatan yang diambil dengan cara bernafas ke dalam sejenis alat.
  • Terdapat banyak jenis inhaler dan anggota kesihatan akan mengajar anda cara untuk menggunakannya.
  • Ubat-ubatan dalam inhaler terdapat dalam bentuk aerosol atau serbuk kering.
  • Alat ini membolehkan ubat-ubatan dihantar terus ke paru-paru.
  • Walau bagaimanapun, ia perlu dilakukan dengan teknik dan penyelarasan betul.
  • Bagi sesetengah orang terutamanya kanak-kanak dan warga tua, corong amat berguna untuk memastikan ubat dapat dialirkan dengan baik.
Pelan tindakan asma
Pelan tindakan asma adalah perancangan bertulis yang dihasilkan bersama-sama dengan doktor anda tentang tindakan perlu dilakukan untuk mengawal asma semasa di rumah. Ini termasuklah :
  • Gejala yang perlu anda awasi.
  • Tindakan yang perlu dilakukan jika anda mengalami gejala-gejala tersebut.
  • Ubat-ubatan yang perlu digunakan beserta dos ulangan yang diperlukan.
  • Ketahui masa yang perlu untuk mendapatkan rawatan doktor.
  • Ketahui alamat dan nombor telefon yang perlu dihubungi untuk sebarang kecemasan.
  • Pencetus serangan asma pada diri anda dan cara untuk mengelakkan.
Saya mempunyai asma yang disebabkan oleh senaman. Adakah ini bermakna saya tidak perlu melakukan aktiviti fizikal atau terlibat dalam sukan?
Salah. Anda perlu melakukan aktiviti fizikal. Sebenarnya aktiviti fizikal atau senaman adalah baik untuk pesakit asma. Anda tidak perlu mengehadkan aktiviti anda jika anda menghidap asma. Sebaliknya anda perlu untuk mengawal asma dengan lebih lebih baik untuk membolehkan anda melakukan aktiviti harian. Walau bagaimanapun, elakkan melakukannya secara keterlaluan kerana aktiviti fizikal atau senaman boleh mencetuskan serangan asma.
Dapatkan nasihat doktor tentang ubat pelega sebelum anda membuat keputusan untuk terlibat dalam sebarang senaman atau aktiviti fizikal.
Kenapa simptom asma masih tidak sembuh walaupun saya telah mengambil ubat?
Terdapat beberapa sebab :
Jika gejala asma masih berterusan, dapatkan rawatan doktor. Antara punca asma masih tidak sembuh adalah :
  • Teknik penggunaan inhaler yang tidak betul.
  • Faktor pencetus serangan asma masih ada di sekitar anda.
  • Anda mungkin mengalami jangkitan pernafasan yang masih tidak sembuh.
  • Anda mungkin tidak menghidap asma. Anda perlu menjalankan pemeriksaan kesihatan yang lebih lanjut.
Apa yang paling penting adalah menikmati tempoh remaja anda. Rebut semua peluang yang ada untuk berjaya. Terimalah hakikat bahawa anda seorang penghidap asma Anggaplah ia sebagai satu cabaran dan tanamkan sikap yang positif setiap masa. Ia hanya satu penyakit dan anda mampu mengawalnya!




Remaja dan Masalah Pendengaran

Remaja adalah zaman peralihan di mana kanak-kanak menjadi dewasa. Pada ketika ini, kanak-kanak akan melalui pelbagai perubahan iaitu dari segi fizikal, pemikiran, perasaan dan kepercayaan. Remaja boleh menjadi sangat sensitif terhadap sesuatu yang menyebabkan mereka berbeza daripada yang lain termasuklah masalah pendengaran.
Masalah pendengaran ialah kecacatan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Namun, ianya boleh memberi impak yang sangat besar kepada seseorang remaja. Kajian menunjukkan, dalam setiap 1000 kelahiran bayi, seorang daripadanya dikesan mempunyai masalah pendengaran. Ianya boleh terjadi melalui dua cara iaitu secara semulajadi (kongenital) ataupun selepas kelahiran (acquired).
Masalah pendengaran kongenital ialah masalah pendengaran yang diperolehi sejak lahir. Ianya termasuklah masalah pendengaran yang diwarisi (disebabkan keturunan) dan faktor-faktor lain yang hadir semasa dalam kandungan ataupun ketika kelahiran. Faktor genetik seperti sindrom menyumbang kepada lebih 50% insiden bagi masalah pendengaran kongenital.
Masalah pendengaran acquired pula ialah kurang pendengaran yang diperolehi pada bila-bila masa selepas kelahiran. Ianya boleh disebabkan oleh:
  • Kesan kepada penyakit. Contoh: meningitis
  • Jangkitan pada telinga. Contoh: otitis media
  • Kesan kepada keadaan. Contoh: terdedah kepada bunyi bising
  • Kesan kecederaan. Contoh: kecederaan kepala
Apabila masalah pendengaran diperolehi ketika remaja atau dewasa, kesannya tidaklah seteruk bayi atau kanak-kanak walaupun tahap pendengaran mereka adalah sama. Kebiasaannya, remaja boleh mengatasi masalah pendengaran yang dihadapi dengan lebih efisyen berbanding dengan kanak-kanak kecil kerana mereka telah mempunyai bahasa dan skil sosial yang mebolehkan mereka meneka atau mengagak maklumat-maklumat yang kurang jelas didengari.
Masalah pendengaran yang tidak dirawat atau di atasi boleh menimbulkan perasaan malu, tekanan perasaan dan juga keletihan. Bukan sahaja pada individu yang kurang pendengaran malah turut melibatkan ahli keluarga dan juga rakan-rakan.
Dianggarkan lebih kurang 5-10% masalah pendengaran boleh dirawat dengan pengambilan ubat-ubatan atau secara pembedahan. Contohnya ialah masalah pendengaran yang disebabkan oleh  telinga tengah. Namun, jika pemeriksaan pendengaran mendapati keadaan pesakit tidak boleh diubati, maka penggunaan alat bantu pendengaran (hearing aids) perlulah dipertimbangkan.
Alat bantu pendengaran ialah peranti elektroakustik yang direka untuk menguatkan bunyi kepada pemakainya. Terdapat pelbagai saiz dan bentuk alat bantu dengar yang boleh dipilih bergantung kepada keperluan pendengaran, tahap masalah pendengaran dan juga gaya hidup individu. Antaranya ialah jenis belakang telinga (BTE), di dalam telinga (ITE), di dalam salur telinga (ITC) dan juga di dalam salur telinga sepenuhnya (CIC).
Jika masalah pendengarangan yang dihadapi adalah dikedua-dua belah telinga, maka penggunaan alat bantu dengar secara binaural adalah digalakkan. Ini adalah kerana, ianya:
  • membantu dalam menentukan arah bunyi
  • memperbaiki pemahaman pertuturan di dalam  situasi bising
  • menjadikan pendengaran lebih baik secara keseluruhannya
Selain daripada alat bantuan pendengaran, terdapat juga alat bantu mendengar (assisstive listening device, ALD) yang boleh digunakan bersama alat bantu pendengaran atau secara berasingan. Alat bantuan ini dapat membantu untuk memisahkan bunyi (seperti pertuturan atau muzik) yang ingin didengari daripada bunyi bising latar belakang. Alat ini juga membolehkan pemakainya mendengar walaupun sumber bunyi/penutur berada pada jarak yang jauh.
Antara kemudahan ALD yang boleh digunakan ialah:
  1. Telefon
      • Peranti telefon yang menguatkan bunyi deringan telefon dan mempunyai pelaras suara untuk menguatkan suara yang masuk.
      • Induction loops yang meminimumkan bunyi bising latar belakang dan memperbaiki kejelasan suara yang masuk. Alat ini digunakan bersama alat bantu pendengaran.
      • Induction loops TTY (teletypewriters) ialah alat yang berasaskan teks yang membolehkan individu yang mempunyai masalah pendengaran teruk atau sangat teruk berkomunikasi menggunakan talian telefon.
  2. Televisyen
    • Earphones/headphones disambung terus kepada soket earphones bagi membolehkan bunyi terus masuk ke telinga pendengar. Ini memudahkan individu untuk mendengar televisyen apabila berseorangan.
    • Amplifier televisyen boleh digunakan bersama atau tanpa alat bantu pendengaran. Ianya tidak memerlukan soket earphones. Ia juga tidak melibatkan pelaras suara televisyen dan sesuai untuk digunakan ketika menonton bermai-ramai. Mikrofon kecil dilekatkan pada pembesar suara televisyen dan dihubungkan melalui wayar kepada earphones atau neckloop (jika digunakan bersama alat bantu pendengaran).
    • Induction loops
    • Sistem infra merah boleh dipasangkan kepada televisyen, radio dan stereo secara serentak. Sistem ini adalah tanpa wayar dan melibatkan penghantaran signal secara infra merah. Ia boleh digunakan bersama atau tanpa alat bantu pendengaran.
  3. Muzik dan hiburan
    • Induction loops boleh digunakan untuk mendengar stereo peribadi, iPods, pemain MP3, sistem suara komputer dan juga permainan televisyen seperti Xbox atau Playstation.
  4. Sistem amaran
    • Untuk pintu : alat kawalan akan memancarkan lampu menandakan terdapat seseorang di pintu.
    • Untuk telefon : telekilat bersama cahaya amaran yang terang dan bunyi yang ekstra kuat untuk telefon bagi menandakan terdapat panggilan masuk.
    • Alat penggetar : biasanya digunakan untuk mengejutkan individu daripada tidur.
    • Keselamatan : alat kawalan akan memancarkan lampu menandakan terdapat asap di dalam rumah.
  5. Tempat awam
    • Induction loop adalah system yang boleh digunakan di tempat awam seperti di pawagam/teater dan juga dewan komuniti. Namun, ianya perlu digunakan bersama alat bantu pendengaran.
  6. Sistem FM
    • Digunakan untuk menyalurkan bunyi dari seorang individu kepada individu lain tanpa mengira jarak dan juga kebisingan. Ianya boleh digunakan bersama atau tanpa alat bantu pendengaran. Sistem FM ini memberikan pendengaran yang lebih baik dalam sesuatu situasi di mana ianya adalah mustahil untuk duduk berdekatan dengan penutur yang ingin didengari. Sistem ini amat bermanfaat untuk membantu pelajar yang bermasalah pendengaran bagi menangani kondisi mendengar yang lemah ketika sesi pembelajaran. Namun, sistem ini juga amat berguna kepada golongan dewasa bagi membantu mereka mendengar dalam mesyuarat ataupun ceramah.




Share:

0 ulasan:

Catat Ulasan

CALENDER

JOM SEMBANG

Blogger templates