Kemahiran Keibubapaan – Mengendalikan Tantrum
Pengenalan
Tantrum adalah perkara yang biasa di kalangan kanak-kanak berusia 18 – 48 bulan.Tantrums adalah sesuatu yang normal tetapi mencabar kesabaran ibu bapa. Tantrum boleh berlaku dalam bentuk kemarahan, kekecewaan, dan tingkah laku yang mencabar. Anak anda boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang-barang, berkelakuan ganas dan kadang-kala, menahan nafas mereka.
Pada umur lebih kurang dua tahun, kanak-kanak akan menguji had kesabaran ibu bapa dan mereka tidak boleh melihat sesuatu perkara daripada pandangan orang lain. Mereka ingin bebas untuk meneroka persekitaran mereka.Pada masa yang sama, ibu bapa atau guru-guru meletakkan had tertentu kerana keselamatan atau sebab-sebab lain.
Jika ini berlaku, mereka berasa kecewa kerana mereka mahu lakukan apa yang mereka mahu. Apabila mereka kecewa, mereka menunjukkan kekecewaan dan kemarahan mereka dengan menangis, memukul dan menjerit. Mereka belum mempunyai kemahiran untuk meluahkan kemarahan dan kekecewaan dalam cara lain. Oleh itu, Tantrums adalah peluang yang baik untuk kanak-kanak belajar bagaimana mengendalikan kekecewaan dan kemarahan.
Selalunya, kanak-kanak hanya akan hentikan Tantrum bila mereka dapat apa yang mereka mahu. Tingkah laku dan reaksi ibu bapa juga menyumbang kepada berapa kerap Tantrum akan berlaku.
Kanak-kanak akan lebih cenderung melakukan Tantrum jika ibu bapa memberikan apa sahaja yang mereka mahukan atau jika ibu bapa memberi perhatian yang lebih kepada tingkah laku yang negatif.
Lihat Tantrum secara positif! Tantrum adalah peluang baik bagi kanak-kanak mempelajari bagaimana menguruskan kekecewaan dan kemarahan, dan juga peluang yang baik bagi ibu bapa untuk mengajar anak-anak mengenai kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi kekecewaan dan kemarahan.
Bagaimana mengendalikan kanak-kanak dengan Tantrum?
Ketika anak anda sedang melakukan Tantrum, pastikan perkara-perkara di bawah:- Pastikan anak anda selamat.
- Pastikan anda sentiasa tenang, dan jangan beri perhatian kepada tingkahlaku tersebut.
- Jangan hukum anak anda.
- Jangan berikan ganjaran.
- Jika boleh, asingkan anak anda.
- Jangan biarkan reaksi orang lain mempengaruhi bagaimana anda memberi tindak balas kepada Tantrum itu.
Jika ibu bapa berikan apa yang anak mahukan sebagai satu cara untuk menghentikan Tantrum, Tantrum akan menjadi lebih teruk lagi. Jika ibu bapa melakukan perkara ini, ibu bapa sebenarnya mengajar anak-anak untuk menggunakan Tantrum untuk memanipulasi keadaan, dan menyebabkan tingkah laku ini berterusan hingga dewasa.
Abaikan Tantrum. Ini adalah cara yang terbaik untuk mengendalikan Tantrum. Ibu bapa patut mengajar anak-anak bagaimana untuk mengendalikan kemarahan dan kekecewaan. Cari punca apa yang menyebabkan Tantrum. Dengan mengetahui apa puncanya, ibu bapa boleh bertindak sebelum anak-anak gagal mengawal emosi mereka.
Ibu bapa boleh menggunakan ‘time-out’ jika anak-anak berumur dua tahun atau lebih. ‘Time-out’ adalah cara terbaik jika mereka yang faham mengapa ia digunakan. ‘Time-out’ akan menjauhkan kanak-kanak daripada situasi yang sukar dan akan memberi masa untuk dia bertenang. Ia juga mengajar kanak-kanak bahawa Tantrum adalah satu tingkah laku yang tidak boleh diterima.
Apa yang perlu ibu bapa dilakukan jika Tantrum berlaku di rumah?
Apabila kanak-kanak melakukan Tantrum
di rumah, ibu bapa perlu tenang. Bawa anak anda ke tempat yang selamat
untuk dibiarkan bersendirian. Tinggalkan bilik, tutup pintu, dan datang
semula hanya jika anak tersebut kembali tenang. Jika anda bimbang untuk
tinggalkan anak anda berseorangan, anda boleh duduk berhampiran
dengannya tetapi jangan berikan sebarang tindak balas terhadapnya.
Jangan pandang anak anda. Bila dia kembali tenang, bercakap dan
berbincang dengan anak anda mengenai kelakuannya.
Apa yang perlu ibu bapa lakukan apabila Tantrum berlaku di tempat awam?
Bawa
anak anda keluar dari kawasan awam sekiranya boleh. Bawa dia ke tempat
yang ada privasi. Tempat terbaik adalah di dalam kereta, di tempat duduk
bayi. Anda boleh berdiri berhampiran kereta atau duduk di dalam kereta
tanpa memberi sebarang tindak balas kepada kelakuan itu. Apabila Tantrum reda, cakap dengan anak anda mengenai kelakuannya. Jika Tantrum
berlaku di tempat yang anda tidak boleh bawa anak ke tempat yang lain
seperti di dalam kapal terbang, pastikan anda tenang dan abaikan
kelakuan anak anda. Sebaik sahaja anak anda tenang, bercakap dengannya
mengenai kelakuannya.Kanak-kanak akan belajar cara yang lebih sihat untuk mengendalikan emosi. Walau bagaimanapun, jika Tantrum berterusan, dia mungkin perlu bantuan untuk mengatasi kemarahan.
Kemahiran Keibubapaan Anak Remaja
Apakah yang berlaku semasa remaja?
Usia
remaja adalah dari usia 10 hingga 19 tahun. Pada waktu ini remaja
mengalami perubahan pada rupa bentuk badan atau fizikal, pemikiran atau
mental, emosi, sosial dan tingkahlaku. Perubahan ini adalah disebabkan
oleh perubahan hormon yang terdapat di dalam tubuh semasa proses
peralihan dari kanak-kanak kepada dewasa. Semua perubahan ini boleh
mendatangkan masalah bagi remaja, ditambah lagi dengan tanggungjawab
baru yang perlu dipikul oleh mereka dan ekspektasi daripada orang
sekeliling mereka membuatkan mereka berasa tertekan dan bingung dengan
perkara yang berlaku ini. Sekiranya mereka dibimbing dan diberikan
pengetahuan serta kemahiran untuk menangani semua ini, maka zaman remaja
dapat dilalui dengan sempurna dan berjaya.
Memahami remaja
- Perubahan daripada rupa bentuk badan kadang-kala mendatangkan kerunsingan kepada anak remaja. Terdapat remaja yang tidak berpuas hati dengan rupa bentuk badan mereka. Mungkin ada yang mengeluh ingin lebih tinggi, lebih sasa, lebih ramping dan sebagainya.
- Perubahan pemikiran iaitu daripada pemikiran konkrit kepada pemikiran abstrak berlaku pada kadar yang lebih perlahan berbanding perubahan pada tubuh badan. Oleh itu kita sering mendengar keluhan ibu bapa mengenai pemikiran kurang matang anak remaja berbanding dengan fizikal mereka. Kematangan berfikir juga dikaitkan dengan pengalaman hidup seseorang dan rata-rata remaja tidak mempunyai pengalaman hidup yang banyak. Oleh itu remaja boleh tersilap dalam membuat keputusan yang seterusnya mendatangkan masalah kepada mereka.
- Perubahan daripada segi emosi pula menjadikan mereka lebih mudah sensitif kepada kritikan, mood yang berubah-ubah, kurang keyakinan diri, ingin berdikari, mencari identiti sendiri dan self conscious. Mereka mudah marah, memberontak, merajuk dan sebagainya.
- Daripada segi sosial, mereka ingin dipunyai dan diterima oleh rakan dalam sesuatu kumpulan. Oleh itu ibu bapa perlu mengetahui dan memantau rakan anak mereka kerana rakan yang nakal akan membuatkan mereka turut sama dalam aktiviti yang kurang sihat.
- Remaja juga suka untuk mencuba perkara-perkara yang baru, kreatif dan mempunyai tenaga yang banyak. Sekiranya kelebihan-kelebihan ini disalurkan kepada saluran yang betul maka remaja boleh berjaya tetapi jika kelebihan-kelebihan ini disalurkan pada saluran yang salah, maka remaja boleh terjebak dalam aktiviti negatif.
Mengapa perlunya hubungan rapat antara ibu bapa dan anak remaja?
- Hubungan ibu bapa dan anak yang rapat dicirikan dengan pertalian emosi berkualiti yang saling dirasai serta kekal.
- Hubungan yang rapat ini adalah penting untuk mengelakkan anak-anak daripada terjebak dengan gejala negatif seperti lari dari rumah, penyalah gunaan bahan, ponteng sekolah, jenayah, gengsterisme dan perlakuan seks luar nikah.
Bagaimana membina hubungan ibu bapa dan anak yang rapat?
- Secara umumnya pada usia 7-13 tahun, anak-anak dididik supaya berdisiplin. Pada usia 14 hingga 21 tahun pula, ibu bapa perlu menjadikan anak-anak mereka sebagai rakan mereka. Ibu bapa perlu membimbing dan bukannya membuat keputusan untuk anak remaja mereka. Apabila ibu bapa bersifat memerintah atau mengarah, maka anak remaja akan menjauhkan diri daripada ibu bapa. Seterusnya jika mereka mempunyai masalah mereka lebih selesa untuk merujuk kepada rakan dan bukannya ibu bapa.
- Kalau boleh ibu bapa perlu mengelakkan diri daripada memarahi anak di atas sikap anak remaja yang kurang menyenangkan, sebaliknya menasihati mereka. Tidak perlu panjang lebar. Hanya cukup untuk menyampaikan mesej nasihat. Nasihat yang berjela akan menjadi bebelan pada pandangan anak dan mereka akan menutup telinga daripada mendengar nasihat tersebut.
- Sebagai ibu bapa anda perlu untuk meyakinkan anak untuk menerima diri mereka seadanya. Mereka adalah sempurna dan tidak perlu untuk merasa rendah diri. Keyakinan diri adalah penting untuk kejayaan mereka kelak.
- Kadang kala, remaja ini sengaja menguji bagaimana reaksi ibu bapa terhadap salahlaku mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu bijak untuk menanganinya. Tunjukkan kewibawaan anda sebagai seorang ibu atau bapa. Tangani salah laku mereka dengan cara paling berhemah. Jangan cepat melenting kerana cara ini menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa.
- Remaja tidak suka untuk diarah-arah. Mereka lebih suka untuk membuat keputusan sendiri dalam membuat pilihan dan mengenai apa yang ingin mereka lakukan. Oleh sebab itu, jika ibu bapa melarang maka itulah yang akan mereka buat. Oleh itu, ibu bapa perlu membantu remaja untuk membuat keputusan tetapi bukan membuat keputusan untuk mereka.
- Semasa zaman remaja juga mereka mudah untuk memberontak. Sekiranya ibu bapa juga menunjukkan sifat keras terhadap sikap mereka, nescaya hubungan ibu bapa dan anak akan menjadi renggang. Sebaliknya ibu bapa perlu bersifat tenang dalam menangani masalah ini.
- Mungkin ada ibu bapa yang menghadapi anak remaja terutama gadis yang cepat merajuk atau menangis bila ditegur. Ini kerana sebagai remaja, emosi mereka belum stabil dan mudah sensitif terhadap perkara-perkara yang bagi ibu bapa merupakan perkara kecil. Bagi remaja pula ia perkara besar. Oleh itu ibu bapa perlu banyakkan bersabar.
- Luangkan masa bersama anak-anak anda dengan melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan umur dan minat mereka. Kongsi pengalaman dalam membina satu perhubungan yang mesra berasaskan kasih sayang dan kepercayaan.
- Berikan anak-anak anda peluang untuk belajar kemahiran-kemahiran tertentu dan mendapatkan keyakinan diri. Jika mereka ketinggalan atau cuai, cadangkan cara-cara untuk membaiki diri, jangan mengkritik. Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan baik.
- Buat peraturan yang jelas mengenai apa yang boleh mereka lakukan dan terangkan kenapa peraturan ini penting. Dengan cara ini, boleh membantu mereka membuat pertimbangan sendiri. Tetap dan tegas dalam peraturan supaya mereka tidak ambil mudah dengan apa yang ditetapkan. Jika tidak, mereka akan mencari alasan untuk tidak dihukum. Jika menghukum, terangkan kepada mereka, apa kesalahan yang telah dibuat. Jadi, mereka tidak akan mengulangi kesilapan yang telah dilakukan. Perlu diingatkan, mungkin mereka akan membantah. Namun, ia bersifat sementara.
- Jika mereka melakukan kebaikan, beri mereka motivasi dengan menghargai apa yang telah mereka lakukan. Ini boleh menaikkan lagi semangat dan rasa dihargai oleh mereka.
- Tapis bahan-bahan media khususnya daripada internet yang sampai kepada anak-anak anda. Remaja juga perlukan panduan untuk menjadi seorang pengguna media yang berpengetahuan. Bantu mereka memahami perbezaan antara kehidupan sebenar dan apa yang digambarkan dalam media atau internet.
- Ibu bapa hendaklah proaktif dalam mengubah persekitaran anak-anak mereka agar menjadi lebih kondusif untuk menghadapi cabaran yang mendatang.
Tips untuk berinteraksi dengan anak remaja
- Adalah normal bagi anak remaja ingin berdikari. Berikan mereka peluang untuk berdikari.
- Berikan anak remaja anda privasi dan benarkan mereka membuat keputusan yang penting.
- Mengaku kepada diri sendiri, sekiranya anda bertindak keterlaluan. Tidak salah sekiranya anda meminta maaf. Berbincang semula dengan cara yang lebih rasional dengan anak remaja anda.
- Berbincang dengan anak untuk mengetahui mengapa mereka berkelakuan sedemikian. Lebihkan mendengar penjelasan mereka dan kurangkan bercakap. Cuba fahami pandangan atau perasaan mereka.
- Cara anda berinteraksi dengan anak remaja anda akan memberikan impak kepada perhubungan anda dan anak remaja. Cuba untuk jalinkan hubungan yang rapat dengan mereka. Apabila remaja rasa rapat dengan anda, kurang kemungkinan untuk mereka terlibat dengan gejala negatif seperti salah guna dadah dan perhubungan seks luar nikah.
- Dapatkan bantuan atau jaringan sokongan disekeliling anda sekiranya anda tidak dapat menangani isu anak remaja anda sendirian.
0 ulasan:
Catat Ulasan