GIGITAN ULAR
Jenis-jenis ular yang ada di Malaysia
Terdapat lebih dari 140 spesis ular di Malaysia, tetapi hanya 17 spesis sahaja yang beracun.
Beberapa
jenis ular beracun dan berbahaya ialah seperti ular tedung (cobra dan
King cobra), ular kapak (Russell’s Viper, Malaysian pit viper dan Green
tree pit viper) dan ular ‘kraits’.

Ular Kapak
|

Ular Tedung
|

Ular Krait
|
Ular
tedung biasanya dijumpai di kawasan ladang, paya, tanah lapang dan juga
di kawasan perumahan di mana mudah bagi ular-ular tersebut mencari
mangsanya seperti tikus. Manakala “king Cobra” pula biasanya di jumpai
di hutan tebal.
Ular
kapak (pit viper) pula mudah dijumpai di kebun getah, ladang, kampung
dan hutan. Tempat yang biasa bagi ‘Green tree pit viper’ pula ialah di
atas pokok.
Ular ‘Kraits’ biasanya didapati di padang, hutan atau di pinggir kawasan perumahan.
Ular laut selalunya berada di pesisiran pantai dan kawasan muara sungai.
Oleh
yang demikian, kes-kes patukan ular sering terjadi kepada mereka yang
tinggal atau bekerja dekat dengan kawasan-kawasan tersebut dan semasa
aktiviti-aktiviti perkhemahan, berkelah dan riadah di kawasan-kawasan
tersebut.
Gejala & tanda-tanda dipatuk ular
Kecedaraan
atau kemudaratan akibat patukan ular bergantung kepada jenis dan saiz
ular, jumlah racun, bilangan patukan, tempat patukan (kesan patukan
menjadi teruk jika dipatuk di kepala, leher dan badan) dan saiz mangsa.
Racun ular bertindak melalui 3 cara yang berlainan :
- Toksin darah (Haemotoxins)
- Toksin saraf (Neurotoxins)
- Toksin jantung (Cardiotoxins)
Sesetengah
gejala patukan akan dirasai dalam masa yang singkat selepas dipatuk
berbanding dengan sesetengah gejala patukan yang lain. Gejala awal:
- Sakit
setempat, bengkak dan perubahan warna kulit pada tempat patukan
(patukan ular laut biasanya tidak mendatangkan reaksi mahupun rasa
sakit).
- Gejala
am yang mungkin timbul pada peringkat awal pada 10 hingga 15 minit
selepas dipatuk ialah rasa cemas, lemah, muntah, sakit kepala, pening,
berpeluh, sesak nafas, perasaan keliru, kekejangan dan kemudian mangsa
mungkin akan lumpuh dan seterusnya mati.
Gejala yang berlaku agak lambat:
- Gejala
setempat (di tempat patukan): bengkak, bisul, pendarahan dalam kulit
dan otot, dan gejala kurang aliran darah ke anggota serta kulit.
- Gejala
am seperti: pening, muntah, sesak nafas, demam, kejutan (shock), gusi
berdarah, darah dalam najis, air kencing atau muntah dan lumpuh.
- Gangguan
deria sentuhan, rasa dan bau; rasa mengantuk, rasa lumpuh pada otot
muka dan mata; susah untuk menelan dan pendarahan dalam otak.
Kesan atau Komplikasi patukan ular
Walaupun
kebanyakan orang yang dipatuk ular beracun akan sembuh, namun patukan
ular boleh menjadi serius dan boleh membawa maut jika tidak dirawat
dengan cepat. Kesan atau komplikasi yang boleh terjadi ialah :
- Parut dan kesan kosmetik.
- Luka, jangkitan kulit dan jangkitan tulang di tempat yang dipatuk.
- Penyakit Tetanus (kancing gigi).
- Kerosakan buah pinggang.
- Kerosakan otak akibat perdarahan dalam otak
- Luka atau parut kekal dalam mata, jika ular menyembur racun ke mata.
Rawatan patukan ular
JANGAN PANIK!
Cuba
ingat rupa ular tersebut. Ini mungkin akan membantu doktor dalam
memilih anti venom yang sesuai. Jangan potong atau hisap tempat yang
dipatuk.
- Elakkan dari bergerak jika tiada keperluan bagi mengurangkan racun merebak ke bahagian badan yang lain.
- Basuh tempat yang dipatuk dengan segera dan berhati-hati.
- Basuh mata secepat mungkin jika racun ular disembur ke mata.
- Balut
tempat yang dipatuk dengan baik tetapi janganlah terlalu ketat supaya
aliran darah tidak terganggu. Jika tempat yang dipatuk ialah tangan atau
kaki, buat balutan tambahan bagi keseluruhan tangan atau kaki, mulai
dari jari tangan atau jari kaki.
- Elakkan anggota yang dipatuk dari bergerak dengan menggunakan anduh (splint atau sling).
- Elakkan
mangsa dari bergerak sehingga pertolongan tiba. Bawa bentuk-bentuk
pertolongan kepada mangsa bagi mengelakkan mangsa bergerak atau
berjalan.
- Hantar mangsa ke hospital yang berdekatan.
Rawatan di hospital :
- Mangsa akan diletak di bawah perhatian yang rapi
- Rawatan termasuk rawatan luka, jagaan anggota dan rawatan sokongan
- Rawatan
sokongan termasuk melegakan kesakitan, rawatan jangkitan , pemindahan
faktor pembekuan darah, bantuan pernafasan dan sebagainya mengikut
keperluan.
- Doktor juga akan memberi ubat khas antivenom yang spesifik bergantung kepada tahap keseriusan patukan
- Jika perlu, suntikan imunisasi atau imunisasi tambahan untuk penyakit tetanus mungkin akan diberi.
Bagaimana mengelak dari dipatuk ular
- Pakai kasut yang menutup kaki atau seluar panjang semasa berjalan di kawasan semak
- Hentak kaki atau lakukan gegaran dengan kaki semasa berjalan di tempat gelap atau semak
- Jangan masukkan tangan ke dalam lubang, rekahan batu atau tanah
- Jauhi dari ular yang mati kerana ramai orang telah dipatuk 2 atau 3 kali oleh ular yang disangka telah mati.
- Elakkan pergi ke kawasan ular semasa suasana gelap.
JATUH
Pengenalan
Jatuh
adalah antara kemalangan kanak-kanak di rumah yang paling sering
berlaku di Malaysia. Kanak-kanak berumur 1 hingga 4 tahun lebih
cenderung untuk cedera akibat jatuh. Mereka lebih berisiko disebabkan
oleh tahap perkembangan dan keadaan persekitaran mereka.
Jatuh boleh berlaku dimana-mana sahaja:
- Dalam rumah. Contohnya jatuh dari :
- Perabot
- Tangga
- Beranda
- ‘Baby walker’
- Di kawasan luar rumah. Contohnya :
- Di padang permainan.
- Semasa menggunakan alat-alat permainan.
Kecederaan akibat jatuh
Akibat jatuh, kanak-kanak akan mengalami pelbagai jenis kecederaan seperti berikut:
- Tisu lembut – calar, terseliuh, luka dan melecek.
- Patah – bengkak, sakit dan cacat anggota.
- Kepala – bengkak kepala, berdarah di telinga, hidung dan mulut, mengantuk, muntah, sawan dan pengsan.
- Kecederaan organ dalaman.
Kesan serius akibat jatuh
- Kecederaan otak yang kekal, menyebabkan tulang patah dan tumbesaran terbantut.
- Kecederaan serius boleh menyebabkan kerosakan organ yang kekal atau kematian.
Rawatan
Rawatan yang diperlukan bergantung kepada jenis dan keterukan kecederaan.
- Jika
kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan kecil misalnya calar dan
terseliuh, tekap kawasan cedera dengan air batu. Berikan anak anda ubat
penahan sakit (sirap paracetamol) untuk mengurangkan kesakitan. Rehatkan
anggota yang tercedera.
- Jika
anak anda mendapat luka, cuci dengan air, tekap kawasan cedera dengan
ibu jari anda beberapa minit untuk memberhentikan darah mengalir dan
rehatkan anggota yang tercedera. Balut dengan kain bersih.
- Jika
anda mengesyaki tulang anak anda patah, balutkan dengan selimut, kain
yang tebal atau bantal untuk menghalang pergerakkan. Gunakan kain untuk
mengampu tulang yang patah dibahagian tangan dan lengan.
- Periksa
kawasan balutan untuk pastikan pergerakan darah yang normal. Jika kulit
menjadi sejuk atau berubah warna, longgarkan balutan.
- Jika anda mengesyaki anak anda cedera serius, sila dapatkan bantuan doktor.
Pencegahan
Kebanyakan kemalangan terjatuh boleh dicegah. Terdapat langkah-langkah untuk mencegahnya :
Tangga
- Pagarkan anak tangga bawah dan atas dan pintu rumah.
- Pastikan semua tangga diterangi cahaya lampu.
- Pastikan anak tidak dibiarkan berseorangan di tingkat atas, beranda atau di tempat yang tinggi.
Lantai
- Simpan semua permaidani yang dilipat dan barang-barang supaya tidak berselerak di lantai.
- Lapkan lantai basah akibat tumpahan air atau makanan dengan segera bagi mengelakkan lantai licin.
KERACUNAN
Pengenalan
Keracunan adalah penyebab utama penyakit di kalangan kanak-kanak. 90% masalah keracunan berlaku di rumah.
Kanak-kanak
berusia 1 hingga 4 tahun adalah berisiko tinggi mengalami keracunan
kerana sifat ingin tahu semula jadi mereka yang ingin mencuba sesuatu
yang baru.
Sumber racun yang biasa terdapat di rumah:
- Minyak tanah dan hidrokarbon (petrol).
- Ubat-ubatan.
- Racun serangga, racun rumpai.
- Bahan pencuci, pengilat, kaustik.
Apa yang perlu dilakukan sekiranya anak anda terkena racun?
- Bersihkan racun daripada mata, kulit dan mulut anak anda.
- Sentiasa menyimpan nombor telefon Pusat Racun Negara (04-6570099) di tempat yang mudah dicapai (cth : di pintu peti sejuk).
Mata
- Cuci mata dengan air mengalir sekurang-kurangnya 5 minit dengan mata terbuka.
- Jangan biarkan anak anda menggosok mata yang terkena racun..
Kulit
- Cuci racun yang terkena kulit dengan air yang banyak.
- Tanggalkan pakaian yang terkena racun.
Mulut
- Keluarkan semua ubat daripada mulut kanak-kanak.
- Periksa untuk kesan terbakar, luka atau iritasi.
Jika terdedah kepada gas atau asap:
- Pastikan anak anda mendapat udara segar.
- Longgarkan semua pakaian.
- Jika tidak bernafas, bersihkan kerongkong anak anda dan mulakan pernafasan mulut ke mulut (CPR). Teruskan sehingga bantuan tiba.
- Jika tertelan racun, segera bawa anak anda ke hospital berdekatan.
- Jangan galakkan anak anda muntah jika dia pengsan atau mendapat sawan akibat daripada keracunan minyah tanah / asid / alkali.
- Baringkan anak anda pada posisi mengiring dan cucikan mulut daripada bahan racun tersebut.
- Bawa anak anda ke hospital dengan membawa contoh racun.
Pencegahan
- Awasi anak anda.
- Simpan ubat-ubatan / alkohol di tempat yang tidak boleh dilihat atau dicapai oleh anak anda.
- Simpan ubat-ubatan dalam bekas yang tidak boleh dibuka oleh kanak-kanak dan labelkan bekas tersebut.
- Berikan ubat dengan sukatan yang betul.
- Ubat yang tidak digunakan perlu dibuang / dimusnahkan.
- Kendalikan
makanan dengan selamat – sentiasa mencuci tangan sebelum mengendalikan
makanan, masak daging mentah dan telur serta cuci buah-buahan dan
sayur-sayuran.
- Didik anak anda mengenai asas keselamatan.
- Elakkan menyimpan racun dalam bekas minuman berkarbonat untuk mengelakkan anak anda keliru dan meminumnya.
LEMAS
Pengenalan
Lemas
mudah berlaku di kalangan kanak-kanak. Mereka tidak boleh melindungi
diri sendiri dengan sepenuhnya. Lemas boleh berlaku dalam kolah mandi,
bekas atau baldi yang berisi air.
Kanak-kanak tadika lebih kerap lemas di longkang, parit, perigi, kolam
renang manakala, murid-murid sekolah kerap lemas di sungai, tasik dan
bekas lombong yang berdekatan dengan rumah mereka. Kebanyakan kejadian
lemas berlaku kerana kurang pengawasan dari orang dewasa.
Tanda & gejala
Lemas berlaku dengan cepat tanpa amaran.
Komplikasi
Hampir lemas boleh menyebabkan kerosakan otak yang kekal.
Rawatan
Kanak-kanak
perlu dibawa ke hospital dengan segera. Jika kanak-kanak tersebut tidak
bernafas, mulakan langkah-langkah pertolongan cemas.
Semasa
di hospital, kanak-kanak tersebut akan diperiksa untuk mengesan
komplikasi. Penjagaan kanak-kanak bergantung kepada tahap keseriusan
lemas seperti:
- Bantuan penafasan melalui oksigen
- Mengurangkan tekanan dalam perut dengan menggunakan tiub supaya paru-paru boleh berkembang
- Memastikan kandungan glukos dan oksigen yang cukup di otak bagi mengurangkan kerosakan otak kekal
- Rawatan-rawatan terhadap komplikasi dan kecederaan yang lain
Pencegahan
- Di rumah
- Pastikan kanak-kanak diawasi oleh orang dewasa ketika bermain di tepi sungai/parit/kolam.
- Jangan
tinggalkan bayi/kanak-kanak berseorangan/tanpa pengawasan. Jika anda
perlu menjawab telefon atau mengambil tuala, bawa bayi bersama anda.
- Kosongkan bekas air atau timba jika tidak digunakan. Terbalikkan bekas air atau timba yang kosong.
- Tutup takungan/bekas air samada di dalam atau di luar rumah.
- Di kolam renang
- Nasihatkan anak anda agar tidak makan atau mengunyah gula-gula getah semasa berenang, menyelam atau berada dalam air.
- Pastikan
terdapat pengawal keselamatan yang berkelayakan bertugas semasa
berenang. Sekiranya tiada, jangan biarkan anak anda berseorangan.
- Pagarkan kolam renang rumah anda.
- Gunakan pelampung semasa berenang atau semasa berada di atas bot/skuter air/papan luncur.
- Gunakan topi renang semasa berenang bagi mengelakkan rambut tersedut ke dalam saluran penyedut yang terdapat dalam kolam renang.
- Pastikan saluran penyedup kolam ditutup bagi mengelakkan sedutan berlaku.
- Kawasan Takungan Air yang Lain
- Ajar
anak kecil /remaja anda mengenai tanda-tanda bahaya jika berenang di
kawasan larangan tanpa pengawasan orang dewasa. Nasihatkan anak-anak
remaja jangan menerima cabaran daripada kawan-kawan.
- Beri amaran bahaya bermain berhampiran parit / longkang yang besar.
- Pelajarilah cara-cara pemulihan pernafasan resusitasi jantung.
Peraturan-peraturan berenang yang perlu dipatuhi oleh anak anda :
- Pastikan kanak-kanak berenang bersama kawan-kawan atau ibubapa.
- Jangan terjun menjunam ke dalam air.
- Jangan menolak atau terjun ke atas orang lain.
- Bersedia dalam apa jua keadaan kecemasan.
KESELAMATAN DI TAMAN PERMAINAN
Pengenalan
Walaupun
menyediakan tempat untuk bergembira, bersenam dan beriadah, taman
permainan kanak-kanak boleh menjadi suatu tempat yang berbahaya jika
keselamatan tidak di ambil kira. Setiap tahun, anggaran 250,000
kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah di Amerika Syarikat mengalami
kemalangan di taman permainan dan memerlukan rawatan kecemasan.
Di
Malaysia, dianggarkan 3000 kes kemalangan berlaku di taman permainan
setiap 3 bulan. Kemalangan selalunya melibatkan kanak-kanak berumur di
antara 5-9 tahun. Kemalangan yang kerap dilaporkan melibatkan kawasan
permukaan taman kanak-kanak. (Rujukan : Kemalangan Epidemiology di
Malaysia).
Kemalangan kanak-kanak ini boleh berlaku jika mereka :
- Jatuh
atau terpintas dari peralatan permainan, dan jatuh dari tempat tinggi.
Kes jatuh ini merangkumi 75% daripada kemalangan di taman permainan.
- Terhantuk atau terlanggar peralatan permainan atau rakan-rakan ketika sedang bermain.
- Terluka atau tercalar.
Peralatan permainan yang kerap dikaitkan dengan kemalangan adalah buaian, palang bergayut, gelunsur dan jongkang-jongkit.
Pengawasan kanak-kanak
- Kanak-kanak perlu sentiasa diawasi di taman permainan.
- Sediakan tempat duduk untuk ibubapa dan penjaga.
- Perhatikan tingkah-laku seperti bergaduh, tolak-menolak, penggunaan peralatan diluar kawasan permainan yang disediakan.
- Pastikan kanak-kanak tidak membawa basikal atau berkaitan ke dalam kawasan permainan supaya kemalangan dapat dielakkan.
- Pastikan
kanak-kanak berpakaian sesuai ketika berada di taman permainan untuk
mengelakkan dari terjatuh dan pakaian atau rambut dari tersangkut dengan
peralatan.
Penyelengaraan taman permainan kanak-kanak
- Pastikan taman permainan dibaiki dengan baik, tanpa bucu-bucu yang tajam atau bergeriji.
- Tiada tapak permukaan yang terbiar.
- Tiada peralatan yang telah lusuh atau hilang.
- Besi, getah, plastik atau kayu telah diperkemaskan dan tidak mereput.
- Permukaan perlu sentiasa diselenggara dan bebas dari bucu-bucu tajam.
- Semua peralatan perlu dipasang selamat dengan permukaan tanah.
- Semua peralatan perlu sentiasa perketatkan supaya tiada yang longgar.
Langkah-langkah keselamatan di taman permainan kanak-kanak
Ibubapa
perlu memastikan anak-anak mereka bermain ditaman permainan yang
mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sempurna. Jika taman permainan di
kawasan perumahan didapati tidak selamat untuk kanak-kanak, sila
maklumkan kepada pihak berkenaan.
Di antara ciri keselamatan yang disarankan :
- Ketinggian peralatan
- Ketinggian peralatan tidak perlu lebih dari 8 kaki, dan jika lebih, “guard-rails” (tinggi di antara 38 inci) perlu dipasang.
- Tapak permukaan dan kawasan untuk jatuh
- Permukaan
untuk jatuh perlu merangkumi 6 kaki mengelilingi peralatan permainan
terutama di bawah dan di antara buaian, gelunsur dan lain-lain. Elakkan
permukaan yang dibuat daripada “asphalt”, konkrit, rumput dan tanah. Di
antara permukaan yang selamat ialah:
- Pasir (kedalaman 10 inci)
- Serpihan kayu proses (kedalaman 12 inci)
- Tikar-luar getah (rujuk American Academy of Paediatrics Public Education Brochure).

- Jerangkap
- Ruangan
di antara 3.5 hingga 9 inci diperlukan supaya kanak-kanak tidak
terperangkap kepala mereka. (Piawaian Keselamatan Taman Permainan
SIRIM).
- Skru dan pepaku yang menonjol
- Risiko
yang berkaitan merupakan tersangkut pakaian yang mengakibatkan tercekik
dan tercucuk yang mengakibatkan luka pada badan dan mata.
- Terjatuh/Terpintas
- Pastikan tiada tapak konkrit yang terbiar, curaman, akar kayu atau batu yang boleh mengakibatkan mereka terjatuh atau terpintas.
- Peralatan berkaitan dengan umur
- Kanak-kanak pra-persekolahan dan bersekolah perlu diasingkan peralatan permainan mereka.

Contoh kawasan permainan yang bahaya
TERCEKIK
Pengenalan
Tercekik
adalah salah satu sebab kematian yang tidak disengajakan di kalangan
kanak-kanak. Saluran pernafasan dan tenggorok yang sempit menyebabkan
mereka berisiko untuk tercekik.
Ketika
tercekik, salur pernafasan dan tenggorok yang tertutup akan menghalang
oksigen ke paru-paru dan seterusnya ke otak. Ini akan menyebabkan
kematian. Sebarang objek bersaiz kecil boleh menyebabkan tercekik. Ini
termasuklah bahan makanan, perkakasan rumah dan alat permainan. |
|
Apakah tanda-tanda seseorang itu tercekik
Kanak-kanak mungkin akan mengalami:
- Sesak nafas secara tiba-tiba.
- Bunyi nafas tidak normal (bunyi seperti siulan).
- Menggenggam kerongkong.
- Kawasan mulut dan bibir kebiru-biruan.
- Bernafas dengan cepat.
- Lubang hidung kembang-kempis setiap kali bernafas.
- Pengsan.
- Berhenti bernafas.
Kadang kala kanak-kanak akan tersedak (seperti kacang tanah) jika objek tersebut sangat kecil. Mereka akan mengalami :
- Batuk yang berterusan.
- Termengah-mengah.
- Tiada apa-apa tanda.
Komplikasi
- Jangkitan pada paru-paru seperti radang paru-paru.
- Kerosakan otak akibat kekurangan oksigen.
- Kematian akibat radang/ bengkak paru-paru yang teruk atau kekurangan oksigen ke otak.
Apakah yang perlu dilakukan jika anak anda tercekik?
Langkah-langkah jika anak anda tercekik :
- LAKUKAN :
- Tunggu sehingga mangsa batuk.
- Minta bantuan.
- Buka mulut anak anda perlahan-lahan – keluarkan objek jika jelas kelihatan.
- Jika
tidak berjaya, tepuk di antara tulang belikat mangsa dengan tapak
tangan anda dengan kedudukan kepala mangsa lebih rendah dari badan.
- JANGAN :
- Masukkan jari anda ke dalam mulut mangsa.
- Mendongakkan kepala mangsa.
Jika
mangsa berhenti bernafas, pengsan dan badan menjadi biru, segera
lakukan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR) sementara menunggu bantuan
pakar.
BAGI KANAK-KANAK DEWASA
- Bantu kanak-kanak untuk berdiri jika mereka masih sedar.
- Posisikan badan anda di belakang mereka.
- Lakukan Heimlich manouvre.
Jika kanak-kanak pengsan laksanakan Kaedah Pemulihan Pernafasan (CPR).
Langkah-langkah pencegahan :
- Jangan benarkan anak anda makan ketika bermain.
- Sediakan makanan dalam bentuk saiz kunyahan.
- Pastikan
lantai, meja dan tempat mereka bermain bebas dari objek-objek yang
kecil seperti butang, guli, duit syiling, pin dan manik-manik.
- Elakkan makanan yang mudah tercekik bagi kanak-kanak seperti kacang tanah, gula-gula dan bertih jagung.
- Elakkan memberi alat permainan yang mempunyai bahagian-bahagian yang kecil kepada kanak-kanak.
- Pelajari bantuan kecemasan dan langkah-langkah yang patut dilakukan jika anak anda tercekik.
MELECUR &MELEPUH
Pengenalan
Melecur
merupakan kecederaan biasa yang mudah di cegah. Melecur mudah berlaku
akibat kecuaian. Kecederaaan akibat melecur biasanya berlaku ke atas
kanak-kanak kerana sifat ingin tahu dan gerakan motor yang belum matang. |
|
Sebab-sebab biasa melecur boleh berlaku ialah:
- Lepuhan akibat daripada air panas atau cecair masakan.
- Objek panas seperti sterika, dapur.
- Haba daripada minyak masak yang terlampau panas, percikan api.
- Kebakaran bahan kima yang menghakis.
- Kebakaran elektrik seperti bermain dengan plug elektrik,sambungan wayar dan soket yang terdedah.
- Terdedah terlalu lama kepada pancaran cahaya matahari.
Tanda dan gejala
Melecur terbahagi kepada :
- Permukaan Kulit
- Ia hanya melibatkan permukaan kulit sahaja. Kulit menjadi merah dan sakit, tetapi tiada gelembung.
- Kulit Dalam
- Ia melibatkan lapisan luar kulit. Selain kulit menjadi merah, panas atau sakit, kulit juga melepuh.
- Keseluruhan Kulit
- Ia
melibatkan semua lapisan kulit termasuk tisu dalaman kulit. Kulit
kelihatan pucat, keras dan menggelupas. Ia tidak menyakitkan dan mungkin
terdapat kerosakan pada salur saraf.

Terbakar Kulit Dalam
Komplikasi
Komplikasi yang serius boleh berlaku sekiranya sebahagian besar permukaan kulit melecur dan melibatkan bahagian dalaman kulit :
- Jangkitan – demam, bernanah, sakit yang teruk dan kulit menggelembung.
- Komplikasi jangka panjang ialah terjadinya parut.
Rawatan
Jika sebahagian kulit sahaja yang melecur(kurang daripada saiz tapak tangan), ia boleh dirawat di rumah.
- Lucutkan pakaian yang ketat dan barang hiasan dengan berhati-hati.
- Siram kawasan yang melecur di bawah aliran air selama lebih kurang 15 minit.
- Sapukan krim atau losyen yang sesuai.
- Jangan sesekali menggunakan minyak gris, mentega, minyak rambut atau ubat gigi yang mana ianya boleh menyebabkan jangkitan.
- Minum ubat paracetamol (sirap) untuk mengurangkan kesakitan.
- Jangan pecahkan gelembung. Sekiranya ia pecah, biarkan sahaja.
- Anda perlukan imunisasi untuk menghalang tetanus. Dapatkan khidmat doktor.
Rawatan lanjutan di hospital perlu diambil sekiranya :
- Keseluruhan kulit terbakar.
- Kulit yang melecur melebihi saiz tapak tangan mangsa.
- Jika ia melibatkan bahagian mulut, tekak, mata, telinga, muka atau kawasan kelamin.
- Melecur disebabkan bahan-bahan kimia.
- Melecur akibat renjatan elektrik.
- Terjadi kepada kanak-kanak yang mempunyai alahan.
Ikut
arahan bagi tahap melecur dan melepuh yang dialami. Balut kawasan yang
melecur dan melepuh dengan kain yang bersih atau pembalut. Anak anda
memerlukan suntikan tetanus sekiranya belum pernah mendapatkan suntikan
tersebut sebelum ini atau suntikan terakhir yang diterima adalah lebih
daripada 5 tahun.
Pencegahan
- Jauhkan kanak-kanak daripada dapur yang panas, air panas dan barang-barang elektrik.
- Jangan biarkan kanak-kanak dalam ‘baby walker’ di kawasan dapur.
- Jangan mendukung anak kecil ketika memasak.
- Jangan membawa masakan panas ketika anak-anak berada berhampiran.
- Jauhkan mancis, pemetik api dan rokok daripada kanak-kanak.
- Jangan biarkan anak-anak bermain dengan barangan elektrik di rumah.
- Jangan biarkan wayar barangan elektrik berjuntai dan simpan sterika panas di tempat yang selamat.
- Jangan gunakan alas meja kerana kanak-kanak kecil boleh menariknya jatuh.
Pemulihan
- Rawatan urutan kanak-kanak dan rawatan terapi bergantung pada tahap kecederaan.
- Sesetengan kecederaan memerlukan rawatan seperti pembedahan untuk menampal kulit.
|
|
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
BalasPadam