Kegemukan (Obesiti)
Kegemukan
atau obesiti (perkataan obesiti akan digunakan seterusnya) adalah satu
penyakit kronik yang sedang menular di kalangan masyarakat dunia dan
Malaysia khususnya. 10 tahun dahulu, obesiti hanyalah dikenal pasti
sebagai faktor risiko kesihatan terutamanya untuk penyakit
kardiovaskular khususnya penyakit jantung. Tetapi sejak 5 tahun
kebelakangan, bersandarkan penemuan saintifk baru, masalah obesiti
ternyata adalah satu penyakit yang membawa kesan buruk terhadap
kesihatan dan menyumbang kepada penyakit-penyakit serius pada individu
yang terdedah kepada obesiti terutamanya penyakit jantung dan diabetes
(1, 2). Negara Amerika Syarikat mencatatkan pada tahun 2003 - 2004
seramai 32.2% orang dewasa adalah obese (3). Manakala statistik di
Malaysia melalui National Health Morbidity Survey yang di jalankan pada
tahun 2011 mencatatkan 15.1% rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas
adalah obese. Ini menunjukkan peningkatan berbanding dengan 14% pada
tahun 2006. Ini bermakna seramai 2.6 juta populasi dewasa di Malaysia
adalah obese menjadikan Malaysia negara tertinggi mempunyai kadar
obesiti di kalangan negara-negara asia tenggara (4). Oleh kerana kadar
obesiti yang tinggi dan penyebab kepada penyakit-penyakit kronik,
saringan obesiti hendaklah di jalankan di premis kesihatan terutamanya
di premis kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Definasi
Obesiti
adalah satu keadaan yang kompleks di mana seseorang individu itu
mempunyai lemak berlebihan. Ia adalah penyakit kronik yang memerlukan
rawatan susulan berpanjangan, terapi dan perhatian yang wajar oleh
pengamal perubatan. Lelaki dikatakan obese sekiranya mempunyai kadar
lemak berlebihan sebanyak 25% (5). Manakala wanita pula di katakan obese
apabila lebihan lemak sebanyak 35%. Obesiti boleh di ukur menggunakan
penggiraan Body Mass Index – atau BMI (Indeks Jisim Badan). BMI adalah
indeks pengukuran berat badan berbanding dengan ketinggian. Formula
adalah seperti tertera: BMI = Weight (kg) / Height² (m) ² Saringan obesiti memerlukan ukuran berat badan dalam kilogram dan ukuran ketinggian di dalam meter.
Klasifikasi Kegemukan (Obesiti)
WHO Klasifikasi Obesiti untuk populasi Asia (rujukan 7)Klasifikasi | BMI (kg/m2) | Risiko Kesihatan |
---|---|---|
Kurang berat badan | <18.5 | Rendah |
Julat normal | 18.5 - 22.9 | Risiko meningkat tetapi boleh di terima |
Berlebihan berat badan | > 23 | |
Pra-Obes | 23.0 - 27.4 | Risiko meningkat dengan ketara |
Obes 1 | 27.5 - 34.9 | Risiko tinggi |
Obes II | 35.0 - 39.9 | Risiko sangat tinggi |
Obes III | > 40.0 | Risiko terlalu tinggi |
Faktor Risiko Kegemukan (Obesiti)
Mengapa obesiti berlaku? Apakah faktor penyumbang kepada obesiti? Faktor risiko obesiti adalah:- Umur. Peningkatan umur akan menyebabkan kadar metabolisma menurun. Oleh itu kenaikan berat badan akan ketara walaupun tiada sebarang pertukaran dan penambahan di dalam tabiat pemakanan dalam aspek jumlah, jenis dan kekerapan.
- Gender. Kaum wanita mempunyai lebih kebarangkalian untuk menjadi obese berbanding dengan lelaki. Ini adalah kerana wanita mempunyai kadar metabolisma yang rendah berbanding kadar metabolism yang tinggi di kalangan kaum lelaki. Masalah obesiti ini akan menjadi meruncing apabila wanita mencapai menopause.
- Faktor keturunan.
- Aktiviti fizikal. Kurang melakukan aktiviti fizikal dan tidak menjaga pemakanan adalah faktor yang sangat penting di dalam peningkatan obesiti.
- Faktor psikologi. Ramai individu yang makan berlebihan apabila menghadapi tekanan atau mempunyai ketidak stabilan emosi.
- Penyakit. Walaupun tidak kerap, obesiti boleh berlaku kepada pesakit yang mempunyai penyakit hypothyroidism, kemurungan atau penyakit di bahagian otak yang menyebabkan pesakit makan berlebihan.
- Ubat-ubatan. Ubat seperti steroid atau ubat untuk merawat kemurungan boleh menyumbang kepada obesiti.
Implikasi Kegemukan (Obesiti)
Obesiti
menyumbang kepada banyak penyakit kronik yang boleh membawa kematian
atau morbidity. Penyakit-penyakit ini boleh merendahkan kualiti hidup
pesakit. Antara penyakit-penyakit yang disebabkan oleh obesiti:- Diabetes Mellitus
- Penyakit hepatobiliary (fatty liver dan batu hempedu)
- Dyslipidaemia (kolesterol tinggi)
- Metabolic syndrome
- Sleep apnoea
- Penyakit jantung koronari
- Cerebrovascular disease
- Kegagalan jantung
- Tekanan darah tinggi (hypertension)
- Osteoarthritis
- Gout
Mengapa Perlu Saringan Kegemukan (Obesiti)
Saringan
obesiti adalah perlu kerana dengan menghitung BMI, pesakit boleh
mengetahui status kesihatan. Jika BMI berada di skala yang tidak normal,
pesakit tersebut boleh ke klinik atau hospital berdekatan untuk
mengenal pasti faktor risiko obesiti. Seterusnya pesakit tersebut boleh
mengambil langkah mengurangkan berat badan. Jika perlu, pesakit akan di
beri rawatan sewajarnya. Pesakit juga boleh mendapatkan kaunseling untuk
merawat obesiti. Pesakit di galakkan menghitung BMI sekurang-kurangnya 3
– 4 bulan sekali atau setiap kali ke klinik untuk mendapatkan rawatan.
Penurunan berat badan akan menurunkan BMI dan penyakit kronik yang
dihidapi akan lebih mudah di kawal. Penurunan BMI juga boleh
mengurangkan risiko mendapat penyakit kronik seperti tersenarai di atas.
Modaliti Saringan Kegemukan (Obesiti)
Pengiraan
BMI hanya memerlukan alat penimbang berat badan dan pengukur
ketinggian. Berat badan adalah dalam kilogram sementara ketinggian di
dalam meter.
Rawatan Dan Pengendalian
Pesakit
yang mempunyai obesiti perlulah berjumpa doktor untuk mendapat rawatan
yang sewajarnya. Terdapat beberapa ubatan obesiti yang berdaftar dengan
Kementerian Kesihatan Malaysia. Walau bagaimana pun, pembedahan juga
adalah satu pilihan rawatan dan pakar bedah akan mengendalikan kes-kes
obesiti rumit.
Cara Mencegah Kegemukan (Obesiti)
Rawatan-rawatan
yang telah dinyatakan hanya akan berjaya jika pesakit mengubah sikap
dan menjalankan cara hidup sihat dengan mengawal pemakanan dan
meningkatkan aktiviti fizikal. Pengawalan pemakanan boleh di bantu
dengan kaunseling oleh pegawai dietetik. Manakala penambahan aktiviti
fizikal memerlukan tunjuk ajar dari pegawai pendidikan kesihatan. Amalan
pemakanan yang sederhana dan sesuai dengan menambahkan kadar serat dan
mengurangkan lemak serta karbohidrat boleh membantu mengurangkan berat
badan (8). Mengamalkan aktiviti fizikal sederhana (moderate) 60-90 minit
setiap hari boleh membantu mengurangkan BMI bagi mereka yang obes (9). Amalan pemakanan yang buruk![]() |
Bersenam boleh menggelakkan obesiti
![]() |
![]() |
0 ulasan:
Catat Ulasan