Gagap Di Kalangan Dewasa
Apa itu gagap di kalangan dewasa?
Gagap ialah
keadaan di mana pertuturan menjadi tidak lancar atau
tersekat-sekat. Gagap di kalangan dewasa selalunya bersifat gagap
neurogenik yang terjadi kesan daripada kerosakan sistem saraf.
Kerosakan sistem saraf boleh berpunca daripada:
- Strok atau angin ahmar dengan ada atau tiada aphasia
- Kecederaan kepala
- Kanser
- Penyakit degenaritif seperti Parkinson
- Lain-lain seperti meningitis
- Kesan daripada sesetengah ubatan
Apakah faktor mempengaruhi kegagapan?
Kegagapan
neurogenik terjadi akibat daripada kerosakan saraf. Pada asalnya,
individu ini dapat bertutur dengan lancar dan jelas, namun akibat
kerosakan saraf kelancaran pertuturan mereka terganggu. Pada
kebiasaannya, individu dewasa yang mengalami kegagapan neurogenik
mempunyai sejarah kegagapan pada waktu kecil tetapi hilang apabila
meningkat dewasa.
Apakah ciri-ciri kegagapan di kalangan dewasa?
Kebiasaannya
ciri-ciri kegagapan di kalangan dewasa adalah pelbagai dan berbeza
mengikut individu yang dipengaruhi oleh pelbagai penyakit dan
kecelaruan.

Sumber: www.teruskan.com
Ciri-ciri gagap di kalangan dewasa adalah seperti berikut:
- Ketidaklancaran atau gangguan yang ketara dalam pertuturan akibat sekatan dan sisipan (interjection) seperti mmm, errr, aaa
- Pengulangan suku kata, perkatan atau ayat dalam percakapan
- Pemanjangan atau sekatan bunyi pertuturan
- Teragak-agak dan jeda yang tidak menentu dalam percakapan
- Jeda atau terdiam semasa menghasilkan pertuturan tanpa menyudahkan sebutan sesuatu perkataan
- Terdapat bunyi-bunyi tambahan ketika bercakap
- Letusan pertuturan yang tidak dijangka dan kurang kejelasan
- Pergerakan berlebihan pada bibir, rahang dan lidah ketika cuba bercakap
Sesetengah individu yang mempunyai ciri-ciri kegagapan di atas juga mungkin turut mengalami keadaan berikut:
- Kegagapan sekunder iaitu melibatkan pergerakan anggota badan. (contoh, mata berkelip-kelip berulang kali, menepuk meja, menghentak kaki, hidung bergerak-gerak atau kembang, kepala bergerak-gerak)
- Menangguhkan perbualan atau mengelak untuk bertutur pada waktu tertentu.
Kebanyakkan
individu dewasa tidak menyedari atau tidak peduli masalah kelancaran
dalam percakapan mereka. Namun begitu, terdapat individu yang menyedari
masalah ini dan menunjukkan kegusaran dan kemurungan untuk bercakap.
Ciri-ciri ini kadang-kadang terhasil bertujuan untuk mereka mengatasi
masalah kelancaran dan menyembunyikan masalah pertuturan yang di alami.

Apakah kesan kegagapan di kalangan dewasa?
Lazimnya
kegagapan menganggu kelancaran percakapan serta menjejaskan sesuatu
mesej disampaikan. Selain daripada itu ia turut memberikan kesan
berikut:- Mengurangkan keyakinan diri semasa bercakap
- Mengurangkan peluang untuk bersosial dengan rakan sebaya
- Boleh mengakibatkan kemurungan
- Kegusaran berlebihan untuk bercakap
- Meningkatkan tekanan disebabkan rasa malu untuk bercakap
Bagaimanakah kegagapan dapat dikenal pasti?
Jika
terdapat ciri-ciri kegagapan yang dinyatakan di atas, adalah digalakkan
untuk berjumpa dengan Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) supaya
diagnosis boleh dibuat. Terapis pertuturan seterusnya boleh bekerjasama
dengan profesional lain mengenai status penyakit yang dialami oleh
pesakit supaya diagnosis yang bersesuaian boleh dibuat.
Apakah strategi dalam membantu kegagapan?
Kebiasaannya
gagap neurogenik hadir bersama masalah lain seperti apraxia, aphasia
dan disartria. Oleh yang demikian, tiada cara rawatan yang khusus untuk
merawat gagap neurogenik.
Namun begitu, strategi berikut mampu untuk mengurangkan kegagapan:
- Bercakap Dengan Lembut Dan Lancar (Smooth Speech Techniques). Mulakan bunyi (huruf) pertama untuk setiap perkataan selembut yang boleh. Gunakan setiap organ pertuturan (lidah, bibir, rahang) anda dengan berhati-hati dan cuba fikirkan macam mana anda menghasilkan setiap bunyi dan di mana kedudukan setiap organ pertuturan berada untuk setiap bunyi. Ingat untuk sentiasa sebut dengan lembut untuk setiap bunyi konsonan dan cuba memanjangkan bunyi vokal selembutnya semasa bercakap.
- Bercakap dengan kadar yang perlahan, mengurangkan jumlah perkataan yang disebut untuk satu hela nafas.
- Fokuskan kepada permulaan percakapan yang lembut (gentle onset)
- Mengubah posisi organ pertuturan supaya lebih pertuturan dihasilkan lebih lembut dan relaks
- Kenal pasti corak pertuturan yang menyebabkan kegagapan dan mengubah corak tersebut kepada yang lebih sesuai
Selain
itu, rawatan juga melibatkan kaunseling untuk mengurangkan kegusaran
dan tekanan terhadap masalah kegagapan yang di alami.
Apraksia Di Kalangan Dewasa
Apa itu Apraksia?
Apraksia
ialah kecelaruan pada otak dan sistem saraf di mana individu tersebut
tidak dapat menggerakkan mulut dan lidah untuk menghasilkan bunyi dengan
betul, walaupun:-
- Mereka faham permintaan dan arahan
- Mereka mahu menyebut perkataan tersebut
- Mereka mengetahui bagaimana menyebut perkataan tersebut
- Tiada kelemahan pada otot-otot muka mereka
Apakah faktor penyebab Apraksia?
Apraksia
terjadi disebabkan kerosakan dibahagian otak yang mengawal koordinasi
pergerakan organ pertuturan iaitu mulut dan lidah. Penyebab utama
apraksia ialah:
- Tumor otak
- Keadaan yang menyebabkan otak dan sistem saraf beransur-ansur teruk seperti penyakit neurodegeneratif
- Demensia
- Strok
- Kecederaan otak trauma
- Sawan
Apraksia selalu muncul bersama masalah komunikasi yang lain seperti afasia dan disartria. Apraksia juga boleh terjadi di kalangan kanak-kanak. Tanda-tanda apraksia akan semakin jelas apabila kanak-kanak tersebut membesar.
Apakah simptom Apraksia?
Individu
yang mengalami apraksia susah untuk mengatur pergerakan otot yang
diperlukan untuk menghasilkan bunyi yang dikehendaki. Mereka selalu
menyebut bunyi yang jauh berbeza dari bunyi perkataan yang mahu
disebutkan. Mereka juga sedar akan kesalahan ini.

Simptom apraksia termasuk:
- Susah untuk meniru dan menyebut bunyi pertuturan dengan betul.
- Kesalahan bunyi pertuturan yang dihasilkan tidak konsisten.
- Kadar pertuturan adalah perlahan
- Perkataan panjang lebih susah untuk disebut berbanding perkataan pendek.
- Intonasi dan nada percakapan tidak normal
- Ayat spontan lebih mudah diujarkan (“apa khabar?”, “terima kasih”)
- Tidak dapat menyebut semua bunyi pertuturan bagi kes yang teruk.
Selain
itu, kemurungan, rasa kecewa dan putus harapan juga antara simptom
sampingan yang banyak dilihat di kalangan individu yang mengalami
apraksia.
Bagaimana Apraksia didiagnos?
Terapis pertuturan-bahasa
(TPB) akan menjalankan penilaian formal dan tidak formal untuk
mendiagnos apraksia dan menetapkan tahap keterukan keadaan pesakit.
Proses penilaian selalunya melibatkan pemeriksaan terhadap pergerakan
mulut, intonasi pertuturan dan penghasilan bunyi pertuturan dalam
konteks yang pelbagai.
Apakah terapi bagi Apraksia?
Matlamat
utama terapi adalah meningkatkan keupayaan untuk merancang, menyusun
dan mengkoordinasikan pergerakan otot mulut untuk penghasilan
pertuturan.TPB akan merancang dan menetapkan terapi yang sesuai
berdasarkan hasil dari penilaian. TPB akan menggunakan pelbagai
pendekatan untuk merawat apraksia. Setakat ini tiada satu pendekatan
yang dapat disahkan sebagai kaedah yang paling berkesan. Namun rawatan
yang kerap dan intensif dilihat antara faktor penyumbang kejayaan
terapi.
Terapi pertuturan melibatkan:
- Menyebut bunyi sasaran berulang-ulang kali untuk mengajar pergerakan mulut
- Mengurangkan kelajuan percakapan
- Terapi intonasi melodi (melodic intonation therapy)
- Komunikasi augmentatif dan alternatif digunakan bagi kes yang teruk
Apakah tips bagi penjaga individu bermasalah apraksia?

- Sediakan persekitaran yang santai dan tenang untuk individu bermasalah apraksia berkomunikasi.
- Berikan ruang dan masa untuk individu bermasalah apraksia melakukan sesuatu tugasan. Jangan paksa mereka untuk mengulangi tugasan tersebut jika jelas mereka susah untuk melaksanakannya. Ini akan menyebabkan mereka rasa semakin tertekan dan kecewa seterusnya menyebabkan simptom apraksia semakin teruk.
- Cadangkan cara-cara alternatif untuk berkomunikasi. Contohnya, menulis perkataan yang hendak disebut.
Apakah tips untuk individu bermasalah apraksia berkomunikasi dengan efektif?
- Elakkan daripada memberi arahan kompleks.
- Gunakan ayat pendek ketika berbual untuk mengelakkan salah faham.
- Bercakap dengan nada suara biasa.
- Sediakan alat bantu komunikasi (pen, kertas, tablet) jika perlu.
Apakah komplikasi lain yang mungkin hadir bersama apraksia?
- Masalah Pembelajaran
- Kurang keyakinan diri
- Masalah sosial
Penjagaan Suara untuk Guru-guru
Pengenalan
Suara
merupakan kunci utama yang diperlukan dalam profesyen perguruan di
seluruh dunia. Hal ini disebabkan suara sangat diperlukan dalam sesi
pembelajaran di dalam kelas, memberi arahan, mengekalkan disiplin dan
memberi sokongan kepada pelajar-pelajar di dalam kelas atau di sekolah.
Persekitaran sekolah yang bising serta tahap pengetahuan dalam
penggunaan dan penjagaan suara yang rendah menjadikan profesyen
perguruan adalah profesyen yang berisiko tinggi mengalami masalah suara.
Apa itu Masalah Suara?
Suara
dikatakan bermasalah apabila kualiti suara dari aspek kelangsingan
suara dan kekuatan suara berubah dari suara kebiasaan sebelum ini. Suara
dikategorikan bermasalah apabila penutur melaporkan ketidakselesaan
atau sakit ketika menyanyi atau bercakap (ASHA, 2004).
Roy,
Merrill, Thibeault, Parsa, Gray, Smith, (2004), mendefinisikan masalah
suara apabila suara tidak dapat berfungsi, atau suara yang keluar adalah
suara yang tidak sepatutnya dan seterusnya mengganggu komunikasi
individu tersebut. Walaubagaimanapun, definisi suara normal dan suara
tidak normal adalah bergantung kepada orientasi seseorang dalam membuat
penilaian masalah suara individu lain.
Masalah
suara sering dilaporkan dalam kalangan guru berbanding profesyen lain.
Masalah suara ini banyak mengganggu guru-guru perempuan berbanding
guru-guru lelaki. Mereka melaporkan bahawa mereka sering menghadapi
masalah suara sewaktu menjalani karier sebagai guru (Kooijman et al.,
2007) dan 52% pelajar-pelajar perguruan mempunyai masalah suara ketika
tahun akademik (Miller & Sloane, 2002).
![]() |
Gambar: Penilaian Pita Suara oleh doktor ENT menggunakan Skop Feksible Sumber: Unit Terapi Pertuturan, Hospital Kuala Lumpur |
Kenapa guru sering menghadapi masalah Suara?
-
Penggunaan suara yang berlebihan
-
Kurang masa pemulihan suara
-
Terdedah dengan habuk dan persekitaran berdebu
-
Keperluan menggunakan suara yang kuat sewaktu mengajar
-
Persekitaran kelas yang kurang akustikal
-
Persekitaran bising di dalam dan di luar kelas
-
Kekurangan latihan penggunaan suara yang betul
-
Tekanan/ penat/ kurang rehat
-
Kegagalan mengenalpasti simptom-simptom penyalahgunaan suara
-
Kekurangan ilmu/pengetahuan atau kesedaran penggunaan serta penjagaan suara
-
Ketiadaan pencegahan penjagaan suara
Simptom-simptom Awal Kepenatan Suara
-
Kerap penat bila banyak bercakap
-
Sakit tekak yang kerap seperti rasa perit dan tidak selesa
-
Rasa tekanan atau sempit pada bahagian tekak apabila bercakap
![]() |
Gambar: Sakit tekak yang kerap |
Simptom-simptom Kepenatan Suara
-
Suara serak/ pecah/ kasar/ garau
-
Perlu bekerja keras untuk menghasilkan suara (effortful voice)
-
Rasa tidak selesa bila bercakap
-
Pengurangan julat kelangsingan dan fleksibiliti suara
-
Sukar melontarkan suara kuat
-
Sukar mengawal kualiti suara
-
Simptom bertambah apabila kerap bercakap dalam sehari/ seminggu
-
Suara kembali baik apabila mendapat rehat yang panjang
Apabila
kepenatan suara berlaku dengan peningkatan frekuensi suara, ini akan
menyebabkan seseorang individu mula memaksa otot-otot di sekitar leher
bekerja dengan lebih keras bagi memaksa menghasilkan getaran pada pita
suara untuk memastikan suara yang dihasilkan adalah jelas. Keadaan yang
berterusan akan menyebabkan berlakunya masalah suara yang lebih teruk di
kalangan guru-guru.
Bagaimana menjaga suara?
-
Bercakap dengan menggunakan postur badan dan sokongan pernafasan yang betul
-
Buat latihan memanaskan suara sebelum sesi mengajar bermula
-
Jangan bercakap dalam persekitaran yang bising. Bercakap dengan pelajar apabila kelas kembali senyap
-
Kurangkan menjerit di dalam kelas. Dapatkan perhatian pelajar-pelajar di dalam kelas dengan membunyikan loceng, menepuk tangan atau menepuk meja sebelum memberi arahan
-
Suara sering berkait rapat dengan emosi. Tekanan/kemurungan boleh mempengaruhi kualiti suara
-
Pengambilan air yang kerap. Sekurang-kurangnya 6-8 gelas sehari/ 2 liter sehari. Digalakkan minum sewaktu sesi mengajar kerana guru terdedah dengan habuk di dalam kelas
Gambar : Pengambilan air yang mencukupi
-
Tidak merokok atau minum minuman keras
-
Guru perlu bergerak ke tengah kelas ketika mengajar agar pelajar di bahagian belakang dapat mendengar suara guru tanpa perlu menjerit kuat.
-
Bercakap dengan jelas menggunakan kadar pertuturan yang perlahan agar arahan tidak perlu diulangi
-
Jika suara serak, jangan berbisik.
-
Jika suara serak, kurangkan bercakap atau menyanyi. Rehatkan suara sekurang-kurangnya 15 minit di antara sesi mengajar.
-
Gunakan alat bantuan suara (voice amplifier).
-
Jika suara serak berterusan sila dapatkan nasihat doktor/ Pegawai Pemulihan Perubatan (Pertuturan) yang bertauliah
Tips Berkomunikasi dengan Pesakit Strok
Apa itu strok?
Strok
atau lebih dikenali Angin Ahmar adalah masalah kesihatan yang ketiga
tertinggi di Malaysia dan penyebab kepada kehilangan upaya di kalangan
penduduk Malaysia.
Strok berlaku apabila bekalan darah ke otak terganggu dan menyebabkan otak kekurangan oksigen dan nutrien yang penting.
Strok boleh berlaku melalui 2 cara
-
Salur darah ke otak disekat dengan ketulan darah.
-
Aliran darah ke otak disekat disebabkan saluran darah yang tersumbat. Saluran darah tersumbat ini menyebabkan aliran darah ke otak adalah berkurangan. Kekurangan darah ke otak menyebabkan bahagian otak yang terlibat mengalami kekurangan oksigen dan nutrien seterusnya bahagian otak tersebut mati.
-
-
Salur darah di otak pecah dan berdarah.
-
Salur darah di otak pecah dan tisu-tisu otak di selaputi dengan darah. Darah yang meliputi bahagian otak yang terjejas memberi tekanan kepada tisu-tisu otak seterusnya menyebabkan tisu otak disekitarnya mati.
-
![]() |
Sumber: www.metcalfestchiro.com |
Kedua-dua keadaan ini menyebabkan pemahaman dan pertuturan
pesakit strok mungkin terjejas. Selain itu sebelah tubuh mungkin lumpuh
serta sikap dan daya ingatan pesakit juga mungkin berubah.
Pesakit strok dan Afasia
Pertama
sekali, ahli keluarga/ penjaga dan orang ramai perlu memahami bahawa
strok boleh memberi kesan kepada komunikasi bagi mereka yang
mengalaminya. Individu yang mengalami strok sering dikaitkan dengan
masalah tidak boleh bercakap selepas strok
Afasia
selalunya menyembunyikan pemikiran, idea, personaliti dan kepandaian
seseorang, walaupun semua ini masih ada di dalam diri seseorang. Pesakit
afasia mungkin akan mengalami satu atau lebih masalah samada dalam
memahami bahasa atau/ dan menggunakan bahasa dalam bentuk pertuturan
serta masalah dalam membaca dan menulis .
Afasia juga mungkin akan menjejaskan sedikit daya ingatan seseorang.
![]() |
Situasi ini dipanggil afasia Sumber: worldaphasia.blogspot.com |
Bagaimana Cara Terbaik Berkomunikasi dengan Pesakit Strok yang Mempunyai Afasia?
Perkara yang anda boleh lakukan untuk membantu seseorang yang mengalami afasia
-
Kurangkan atau hapuskan gangguan bising/ cari tempat yang sunyi untuk berbual. Contohnya tutup tv/radio.
-
Dapatkan perhatian mereka sebelum bercakap dan lihat muka mereka ketika berkomunikasi.
-
Hanya seorang yang bercakap pada satu-satu masa.
-
Berkomunikasi dengan cara orang dewasa bukan cara kebudak-budakkan.
-
Duduk berhadapan/bertentangan dengan pesakit.
Membantu individu yang mengalami afasia dalam memahami pertuturan
-
Beri hanya satu maklumat pada satu masa.
-
Beri banyak masa untuk mereka faham apa yang anda cakap.
-
Bercakap dengan menggunakan ayat yang pendek dan mudah.
-
Guna kadar pertuturan yang perlahan.
-
Guna isyarat badan dan ekspresi muka untuk membantu mesej anda difahami.
-
Guna tulisan dan lukisan untuk menyokong apa yang anda cakap.
-
Guna soalan ya/tidak. Contohnya “Ayah nak minum kopi?” daripada “Ayah nak minum apa?”
Membantu individu yang mengalami afasia dalam menyampaikan mesej/kehendak mereka
-
Beri masa untuk mereka luahkan apa yang mereka rasa.
-
Galakkan mereka menggunakan cara lain untuk membantu komunikasi (isyarat badan, penulisan atau lukisan).
-
Lihat pada ekspresi muka dan fahami ekspresi muka mereka.
-
Jika perbualan itu membuat mereka rasa kecewa, berhenti dan berbual balik tentang perkara itu kemudian.
-
Bawa gambar yang biasa dilihat, majalah kegemaran, barang atau gambar yang mereka suka untuk berbual tentangnya.
-
Tunggu respon mereka untuk memberi jawapan setelah soalan diajukan kepada mereka dengan sabar
Program Pertukaran Jarum Syringe (NSEP)
Apa itu program NSEP?
Program ini melibatkan pertukaran jarum suntikan serta picagari terpakai yang digunakan oleh penagih dadah secara jarum suntikan dengan yang baru.
Siapa kumpulan sasaran?
Penagih dadah yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah secara jarum suntikan
Apakah objektif dan matlamat NSEP?
Mengurangkan
risiko penularan jangkitan HIV dan juga penyakit berjangkit lain yang
menular melalui darah dan hubungan jenis seperti Hepatitis B, Hepatitis C
dan Syphillis dikalangan penagih dadah suntikan dan pasangan seks
mereka.Membolehkan pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan mendekati klien yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah ini untuk memberi khidmat nasihat kesihatan, perubatan, bantuan guaman atau bantuan lain yang mungkin mereka diperlukan.
Dimana boleh dapatkan perkhidmatan pertukaran jarum dan picagari
- Di klinik kerajaan yang menjalankan perkhidmatan NSEP
- Pekerja outreach bertanggung jawab mengutip, mengumpul serta melupus jarum dan alat suntikan terpakai dari tempat mereka berkumpul untuk menyuntik dadah. Pekerja outreach ini adalah bekas penagih dadah yang telah dilatih untuk melakukan khidmat NSEP ini mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.
Komplikasi jika NSEP tidak diterima oleh klien?
Risiko penularan HIV juga meningkat dikalangan pasangan seks mereka. Sekiranya seorang wanita itu dijangkiti HIV, bayi yang bakal dilahirkan juga boleh dijangkiti.
0 ulasan:
Catat Ulasan